Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemenang peraduan rekaan kasut sniker tampil mesej positif

Feb 25, 2025 | 6:05 PM
Juara peraduan ‘Design Your Sneaker’, Cik Sarah Gwee, 19 tahun, di acara ‘Sneaker Con SEA’ pada 23 Februari.
Juara peraduan ‘Design Your Sneaker’, Cik Sarah Gwee, 19 tahun, di acara ‘Sneaker Con SEA’ pada 23 Februari. - Foto ST

Meski tidak pernah menghadiri kelas seni secara formal, Cik Sarah Gwee, 19 tahun, berjaya meraih tempat pertama dalam peraduan Design Your Sneaker, pada 23 Februari.

Para pemenang acara yang dianjurkan bersama oleh Sneaker Con SEA 2025 dan SPH Media diumumkan di ekspo bertemakan pakaian jalanan atau ‘streetwear’, yang diadakan pada 22 dan 23 Februari di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Peraduan itu dibuka kepada pelanggan muda The Straits Times (ST) berusia 16 hingga 25 tahun.

Rekaan Cik Gwee, yang dinamakan No Rain, No Rainbows (Tiada Hujan, Tiada Pelangi), meraih tempat pertama dan mengalahkan 182 penyertaan lain.

Rekaan itu menampilkan pelangi yang meliputi separuh kasut, dengan perkataan ‘no rain’ dan ‘no rainbows’ terukir pada bahagian tengah kasut tersebut.

Pelajar tahun ketiga di Politeknik Temasek (TP) itu ingin mengingatkan orang ramai bahawa dengan ketabahan, seseorang dapat mengatasi cabaran dan menuju masa depan lebih cerah.

Beliau turut melukis formula dan peralatan saintifik daripada pelbagai subjek secara rawak di seluruh kasut untuk melambangkan kekuatan dan kelemahan yang dimiliki setiap pelajar.

Tajuk rekaan itu adalah versi cerianya bagi pepatah popular, ‘no pain, no gain’ (tiada kesakitan, tiada keuntungan).

“Perkataan ‘kesakitan’ menakutkan orang kerana mereka tidak mahu mengalaminya. Namun ‘hujan’ berbeza kerana ia biasa (dilalui) dan kurang menakutkan.

“Pelangi itu menggambarkan pencapaian peribadi seseorang yang telah melalui cabaran hidup dan mengingatkan mereka bahawa masa yang lebih bahagia menanti mereka,” jelas Cik Gwee.

Rekaan itu dibuka untuk undian awam dari 8 hingga 16 Februari, lapor ST.

Cik Gwee memperoleh jumlah undian tinggi serta markah yang cemerlang daripada panel juri dan akhirnya muncul sebagai juara.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $3,000 bersama sepasang kasut sniker edisi terhad semasa majlis penyampaian hadiah yang diadakan pada 23 Februari.

Pemenang tempat kedua dan ketiga, Cik Nur Rasyiqah Zil Husham, 24 tahun, dan Cik Cherie Kok, 17 tahun, masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak $2,000 dan $1,000 serta sepasang kasut sniker edisi terhad.

“Peraduan itu merupakan satu pameran hebat yang menampilkan kreativiti generasi akan datang.

“Kami sangat kagum dengan imaginasi dan kesenian pelajar – setiap rekaan menceritakan kisah yang unik dan mengembangkan lagi budaya kasut sniker,” kata jurucakap O4X, syarikat di sebalik acara Sneaker Con SEA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg