Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemergian Pak Wahid satu kehilangan bagi industri seni: Rahayu

May 23, 2023 | 6:08 PM
SENIMAN VETERAN: Pelawak legenda, Wahid Satay, meninggal dunia kerana
gangren dan penyakit jantung pada Isnin. 
SENIMAN VETERAN: Pelawak legenda, Wahid Satay, meninggal dunia kerana gangren dan penyakit jantung pada Isnin.  - Foto fail

PEMERGIAN seniman veteran, Wahid Satay, satu kehilangan besar bagi industri seni dan budaya di Singapura, kata Setiausaha Parlimen Kanan, Cik Rahayu Mahzam.

Wahid, atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad, 93 tahun, meninggal dunia pada Isnin kerana gangren dan masalah jantung. Allahyarham sebelum ini juga mempunyai sejarah penyakit ginjal.

“Pemergian beliau sememangnya satu kehilangan besar kepada industri seni dan budaya kita. Salam takziah kepada keluarga Pak Wahid. Semoga rohnya dicucuri rahmah,” kata Cik Rahayu, yang juga penasihat Yayasan Warisan Melayu (MHF).

“Saya amat berdukacita dengan pemergian pelakon, pelawak dan penyanyi veteran terkenal, Abdul Wahid Haji Ahmad, yang lebih mesra dikenal sebagai Wahid Satay.”

Menurut laporan Berita Harian (BH) pada Isnin, ratusan orang mengunjungi rumah Allahyarham dan pusara untuk mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Wahid memulakan kerjayanya dalam industri seni pada 1956 sebagai pelukis set studio di Cathay-Keris Studio. Pengarah B.N. Rao yang ketika itu memerlukan pelawak muda untuk membintangi filem Pontianak dikatakan melihat Pak Wahid sentiasa bergurau dengan rakan sekerjanya.

Maka beliau ditawarkan watak komedi sebagai penjual sate (maka lahirlah nama panggungnya, Wahid Satay) di sebuah kampung yang dihantui oleh seorang Pontianak.

Beliau memainkan watak itu dengan baik sehingga babak itu menjadi antara babak yang tidak dapat dilupakan dalam filem tersebut.

Menulis di Facebook, Cik Rahayu berkata filem itu mendapat sambutan hebat dan memecahkan rekod teater filem Melayu yang mengumpul lebih satu juta dolar, jumlah tertinggi pada 1957.

“Pak Wahid tampil dalam lebih 30 filem dengan karya yang mengagumkan dan memenangi pelbagai anugerah. Dia sering dibandingkan dengan pelawak dan pelakon Amerika, mendiang Jerry Lewis, dan dikenali sebagai ‘Jerry Lewis of Malaya’.

“Pada 2007, beliau telah diberikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Pesta Perdana, majlis anugerah saluran televisyen tempatan, Suria.”

Penampilan terakhirnya di khalayak ramai adalah pada Disember 2022, membuat persembahan di acara sempena Festival Filem Malaysia ke-32.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg