Kehilangan tokoh cemerlang dalam bidang pentadbiran yang rendah hati dan kekal tenang dalam apa jua keadaan.
Demikian dikongsi mereka yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Syed Haroon Mohamed Aljunied, 77 tahun, yang meninggal dunia kerana radang paru-paru pada 27 November.
Allahyarham merupakan mantan Setiausaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dari 1985 hingga 2007.
Ketika itu, ia salah satu jawatan tertinggi Muis sebelum badan tersebut menjalani penyusunan semula kepimpinan pada 2013 – kini setara Timbalan Pegawai Eksekutif.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 27 November, Muis menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang membentuk semula pentadbiran hal ehwal Islam di Singapura.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu hantaran di Facebook pada 28 November, menyifatkan Allahyarham sebagai pegawai berdedikasi dan mempunyai wawasan luar biasa.
Beliau berkata: “Salah satu pencapaian terbesar Syed Haroon sebagai Setiausaha Muis adalah pendekatan transformatif terhadap pengurusan tanah-tanah wakaf.
“Menyedari keperluan untuk perubahan, Allahyarham memulakan pelan untuk menaik taraf tanah-tanah wakaf yang tidak digunakan sepenuhnya.
“Visi ini membawa kepada penubuhan Warees Investments Pte Ltd untuk mengurus tanah-tanah wakaf secara profesional, sekali gus meningkatkan nilai hartanah wakaf kita.”
Encik Masagos hadir di Masjid Ba’alwie pada 28 November bersama lebih 300 hadirin, untuk menunaikan solat jenazah pimpinan mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram.
Timbalan Pegawai Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad, menyifatkan Allahyarham Syed Haroon sebagai tunjang Muis yang melakar rancangan membawa pertubuhan tersebut ke hadapan.
“Arwah banyak berbakti dalam memastikan Muis menjadi institusi yang mempunyai urus tadbir yang baik dan tahap profesionalisme yang tinggi,” ujarnya, sambil menambah arwah juga bijak mencungkil dan mengembangkan bakat yang ada di Muis.
Beliau memberi contoh usaha Allahyarham memastikan tatakerja dan sistem yang ada di Muis diperkembangkan agar ia “selaras dengan sistem kebangsaan”.
Contoh tersebut diserlahkan Encik Masagos dalam hantarannya itu kerana di bawah kepimpinan Allahyarham, Muis “melalui proses pemodenan dari segi pentadbiran, pengkomputeran perakaunan Muis dan semua masjid di merata Singapura”.
Allahyarham juga merupakan salah seorang pengasas badan kebajikan Casa Raudha yang diasaskan pada 2008 dan memberi tempat berteduh untuk wanita atau kanak-kanak mangsa keganasan domestik.
Perkhidmatan badan itu kini telah diperluaskan untuk meliputi jangkauan masyarakat dan menurut laman rasminya telah membantu lebih 1,600 mangsa keganasan domestik.
Anggota Jawatankuasa Lembaga Casa Raudha, Encik Hamzah Abdul Mutalib, berkata pengalaman meluas Allahyarham dalam bidang pentadbiran menjadikannya individu berwawasan tinggi.
“Pada waktu itu, terdapat banyak perkara di luar tabii yang belum diperkembangkan dan masyarakat belum bersedia berhadapan dengannya seperti isu keganasan domestik.
“Pada peringkat kebangsaan, ia juga tidak begitu diserlahkan,” kata beliau.
Anak sulung Syed Haroon, Encik Hafez Haroon Aljunied, berkata:
“Semua anggota keluarga datang kepada bapa untuk dapatkan nasihat kerana mereka diberi jaminan arwah tidak akan menghakimi mereka dan bersifat empati serta ada penyelesaian rasional.”
Allahyarham dikebumikan di Pusara Aman sekitar tengah hari 28 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg