SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemerhati: Undang-undang perairan antarabangsa mesti dipertahan, kritikal bagi ekon terbuka S’pura

Pemerhati: Undang-undang perairan antarabangsa mesti dipertahan, kritikal bagi ekon terbuka S’pura

Kenyataan Vivian di Parlimen berhubung isu Selat Hormuz hanya tertumpu pada kepentingan S’pura
Apr 9, 2026 | 8:11 PM

Pemerhati: Undang-undang perairan antarabangsa mesti dipertahan, kritikal bagi ekon terbuka S’pura

Kapal kargo dilihat di perairan dari utara Ras al-Khaimah, Amiriah Arab Bersatu (UAE) berdekatan Selat Hormuz, di tengah-tengah konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Kapal kargo dilihat di perairan dari utara Ras al-Khaimah, Amiriah Arab Bersatu (UAE) berdekatan Selat Hormuz, di tengah-tengah konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran. - Foto REUTERS

Hak pelayaran di perairan antarabangsa adalah hak mutlak yang termaktub di bawah undang-undang antarabangsa, dan ini amat penting bagi negara seperti Singapura, yang merupakan sebuah ekonomi yang sangat terbuka dan bergantung pada perdagangan.

Mesej paling penting berhubung isu yang sedang berlaku di Selat Hormuz adalah mengekalkan ciri undang-undang selat antarabangsa sebagai perairan bebas yang boleh dilalui oleh semua kapal tanpa sekatan, kata para pemerhati kepada Berita Harian (BH).

Pengerusi Institut Timur Tengah, Profesor Joseph Liow, berkata:

“Kita merupakan sebuah ekonomi yang sangat terbuka, kita bergantung kepada perdagangan, dan kita juga merupakan sebuah ekonomi yang sangat mementingkan perdagangan maritim.

“Isu mengenai status perairan antarabangsa ini – serta usaha memastikan status antarabangsa tersebut dilindungi dan diperkukuhkan – adalah sangat penting bagi kita,” kata beliau.

Pandangan yang dikongsi Profesor Liow itu menyusuli kenyataan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di Parlimen pada 7 April.

Dr Balakrishnan menegaskan Singapura tidak akan, atas dasar prinsip, terlibat dalam rundingan dengan Iran untuk melalui Selat Hormuz.

Ini kerana tindakan sedemikian secara tidak langsung akan menghakis prinsip undang-undang Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), di mana Singapura merupakan salah satu negara penandatangan.

Dr Balakarishnan merujuk kepada Artikel 44 Unclos yang menetapkan kewajipan secara langsung dan jelas ke atas negara yang bersempadan dengan selat antarabangsa, yang menyatakan bahawa “negara-negara yang bersempadan dengan selat tidak boleh menghalang laluan transit” dan “tidak boleh ada penggantungan terhadap laluan transit”.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi, tentang sama ada pemerintah sedang mendekati pihak berkuasa Iran untuk menjamin transit melalui Selat Hormuz untuk kapal berbendera Singapura – langkah serupa yang dilakukan negara lain seperti Malaysia – dan sama ada ia bersedia untuk membayar tol.

Atas dasar prinsip dan bukan kerana Singapura memihak kepada sesiapa, Dr Balakrishnan berkata bahawa beliau “tidak boleh terlibat dalam rundingan bagi laluan selamat kapal-kapal atau berunding mengenai kadar tol”.

Beliau turut berkata bahawa laluan melalui Selat Hormuz mempunyai kepentingan yang amat mendalam buat Singapura, memandangkan negara ini terletak di Selat Melaka – satu lagi titik genting yang kritikal bagi perkapalan sejagat.

Ketua Bersama Kumpulan Undang-Undang dan Dasar Lautan di Pusat Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Tara Davenport, percaya pendirian Singapurah bahawa tiada keperluan untuk berunding dengan Iran mengenai laluan kapal berbendera Singapura melalui Selat Hormuz adalah kerana perkara itu sememangnya telah dijamin di bawah undang-undang antarabangsa.

Sebagai negara pihak kepada Unclos, Singapura boleh menuntut hak laluan transit, dan laluan transit tersebut tidak boleh digantung di bawah konvensyen berkenaan.

Iran telah menandatangani Unclos tetapi belum meratifikasinya.

Meski Iran belum mengesahkan konvensyen itu, di bawah hukum adat pun, wujud hak laluan damai melalui Selat Hormuz yang tidak boleh digantung, jelas Dr Davenport.

“Sebagai sebuah negara kecil, menegakkan aturan undang-undang antarabangsa adalah kritikal bagi kelangsungan hidup Singapura, walaupun aturan tersebut tidak semestinya selari dengan kepentingan nasional kita yang tertentu,” kata beliau.

“Peraturan mengenai pelbagai rejim laluan dalam Unclos digubal kerana kepentingan kritikal perkapalan antarabangsa terhadap perdagangan sejagat, terutama melalui titik genting yang penting seperti Selat Melaka, Selat Singapura, dan Selat Hormuz.

“Saya percaya Singapura sentiasa mengambil pendirian bahawa bertindak secara konsisten dengan undang-undang antarabangsa adalah demi kepentingan nasional Singapura yang lebih luas.

“Ini memandangkan undang-undang antarabangsa menyediakan benteng penting (walaupun tidak dijamin sepenuhnya) terhadap kekuatan politik dan ketenteraan negara-negara yang lebih besar,” tambah Dr Davenport, yang juga Penolong Profesor di fakulti undang-undang NUS.

Profesor Liow menambah, sebagai ekonomi yang sangat bergantung kepada perdagangan maritim, Singapura tidak boleh membiarkan negara pesisir sewenang-wenangnya mengubah status perairan antarabangsa menjadi perairan wilayah mereka.

“Bayangkan jika negara-negara pesisir di serata dunia mula memantau, menutup perairan, atau mengenakan tol ke atas kapal yang melalui perairan antarabangsa.

“Impaknya terhadap perdagangan sejagat dan kedaulatan undang-undang antarabangsa, serta negara kecil yang bergantung pada perdagangan seperti Singapura, adalah sangat besar,” kata beliau.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui realiti dunia hari ini amat mencabar, dengan undang-undang antarabangsa hari ini dicabar oleh beberapa negara, sekali gus mewujudkan keadaan yang tidak menentu.

Dengan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, serta keadaan di Selat Hormuz yang terus berubah, Singapura perlu mencari keseimbangan yang sesuai.

“Sebagai sebuah negara kecil yang mempunyai kepentingan yang sangat besar dalam pergerakan terbuka trafik maritim di perairan antarabangsa, kita perlu mengikuti perkembangan dengan amat teliti.

“Dan jika perlu, kita harus melakukan penyesuaian, kerana pada akhirnya, kita juga perlu mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan rakyat kita,” kata Profesor Liow.

Jawapan Dr Balakrishnan di Parlimen berhubung isu Selat Hormuz itu bagaimanapun telah menarik perhatian dari seberang Tambak.

Ini termasuk daripada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, yang menyifatkan keengganan Singapura berunding dengan Iran sebagai “amat dikesali”, dengan beliau menganggap tindakan itu mencerminkan pendirian strategik sempit yang mengabaikan tanggungjawab serantau dan alat diplomasi dalam mengekalkan kestabilan.

Mengulas, Profesor Liow berkata adalah dikesali jawapan Dr Balakrishnan itu telah “disalah tafsir dan disalah anggap” sebagai ulasan terhadap pendekatan Malaysia dalam menangani keadaan tersebut.

Beliau menambah, kenyataan Dr Balakrishnan di Parlimen memberi tumpuan kepada kepentingan nasional Singapura, dan bukannya satu kritikan terhadap pendekatan Malaysia.

“Hakikatnya adalah Malaysia, Singapura, dan banyak lagi negara semua berkongsi kepentingan yang sama dalam memastikan ciri dan sifat antarabangsa selat-selat tersebut dikekalkan,” kata Profesor Liow.

“Itulah isu asas yang sepatutnya kita beri tumpuan, dan bukannya fokus kepada tindakan mempolitikkan bagaimana negara itu atau negara ini menangani isu tersebut.

“Kita hidup dalam dunia yang terdiri daripada negara-negara berdaulat, dan setiap negara berhak untuk menangani cabaran mereka mengikut cara yang mereka anggap sesuai,” tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg