Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemeriksaan keselamatan, penutupan jalan bagi pembukaan Parlimen ke-15 pada 5 Sep

Sep 4, 2025 | 3:40 PM
Parlimen, penutupan jalan
Pembukaan sesi pertama Parlimen ke-15 akan diadakan pada 5 September di Bangunan Parlimen. - Foto fail ST

Pemeriksaan keselamatan akan dijalankan ke atas orang ramai yang melalui kawasan sekitar Bangunan Parlimen pada 5 September, di mana pembukaan sesi pertama Parlimen ke-15 akan diadakan.

Pemeriksaan ini adalah sebahagian operasi keselamatan untuk acara tersebut. 

Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan polis, dan sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang, kata polis dalam kenyataan pada 4 September, lapor The Straits Times (ST).

Beberapa jalan dan lorong akan ditutup kepada lalu lintas kenderaan.

High Street akan ditutup dari 12 pagi hingga 7 pagi pada 5 dan 6 September.

Pada 5 September, Parliament Place antara Supreme Court Lane dengan St Andrew’s Road, jalan susur dari Parliament Place ke St Andrew’s Road, dua lorong kanan di High Street di antara tiang lampu bernombor 4 dengan North Bridge Road, serta dua lorong kanan di Parliament Place di antara North Bridge Road dengan Supreme Court Lane, akan ditutup dari 12 tengah hari hingga 11.59 malam.

Pemandu dinasihatkan supaya mengelakkan jalan-jalan di sekitar Bangunan Parlimen, termasuk High Street, dan menggunakan laluan alternatif.

Ini termasuk Bras Basah Road jika mereka menuju ke North Bridge Road dari Eu Tong Sen Street, Hill Street atau Victoria Street, dan North Bridge Road jika mereka menuju ke Parliament Place atau South Bridge Road.

Selain itu, perkhidmatan bas SBS Transit 195 akan mengelak daripada berhenti di perhentian bas di Parliament Place di hadapan Mahkamah Agung antara 12 pagi dengan 7 pagi pada 5 September, dan dari 12 tengah hari pada 5 September hingga 7 pagi pada 6 September.

Semasa tempoh penutupan, hanya kenderaan yang dibenarkan serta kenderaan polis dan kecemasan yang boleh melalui kawasan tersebut.

Pegawai polis dan pegawai polis bantuan akan dikerahkan di sepanjang North Bridge Road, Parliament Place dan High Street, untuk membantu dan mengarah pemandu.

Sekatan tempat letak kereta akan dikuatkuasakan dan kenderaan yang diletakkan secara haram atau menghalang lalu lintas akan ditunda.

Secara berasingan, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan menyediakan Kawasan Terhad Sementara (TRA) di ruang atas Bangunan Parlimen pada 5 September dari  3 petang hingga 10.30 malam.

Aktiviti pesawat dan pesawat tanpa pemandu di dalam dan menuju ke dalam TRA dilarang. 

Pesalah boleh dikenakan denda hingga $20,000 untuk kesalahan pertama dan hukuman lebih berat, termasuk penjara, untuk kesalahan berulang di bawah Perintah Pengemudian Udara dan Peraturan Operasi Pesawat Tanpa Pemandu.

Orang ramai boleh menghubungi 6332-6666 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg