Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen S’pura umum pelan tempat duduk penggal ke-15

PM Wong diapit DPM Gan, Shanmugam apabila Parlimen bersidang 5 Sep
Aug 21, 2025 | 4:33 PM
Parlimen, PM Wong, DPM Gan, 5 Sep
Segala persiapan telah dilakukan bagi Parlimen ke-15, dengan seramai 99 Anggota Parlimen (AP) bakal bersidang untuk membincangkan pelbagai isu perundangan dan dasar Singapura sepanjang lima tahun akan datang. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan diapit oleh timbalannya, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, apabila Parlimen dibuka semula pada 5 September.

Seterusnya, yang duduk paling rapat dengan beliau ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Ini merupakan perubahan daripada penggal Parlimen sebelum ini apabila Encik Wong duduk di antara Encik Lee dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Heng Swee Keat.

Parlimen pada 21 Ogos mengeluarkan pelan tempat duduk bagi penggal ke-15 di laman webnya.

Ia menunjukkan tempat duduk yang ditetapkan bagi seramai 99 Anggota Parlimen (AP) di Dewan Parlimen.

Tempat duduk AP disusun mengikut amalan tradisi, lapor The Straits Times (ST).

Di sebelah kanan Speaker ialah tempat duduk pemerintah, khususnya anggota Kabinet dan pemegang jawatan politik.

Di barisan depan, Encik Wong mengambil tempat duduk di tengah, iaitu sembilan kerusi dari Speaker.

Di sebelah kanan beliau ialah Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan, manakala di sebelah kiri beliau pula ialah Encik Shanmugam.

Menteri Kabinet yang lain mengisi baki tempat duduk barisan depan, yang mempunyai 18 kerusi kesemuanya.

Ketua Dewan, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, duduk paling hampir dengan Speaker.

Kesemua Menteri Negara Kanan mengisi baki tempat duduk di sebelah kanan Speaker, diikuti Menteri Negara dan Setiausaha Parlimen Kanan.

Beberapa kerusi yang masih ada di bahagian Dewan diisi oleh AP penggal pertama.

Di sebelah kiri Speaker, Pemimpin Pembangkang, Encik Pritam Singh, duduk di barisan depan menghadap Encik Wong.

Encik Pritam, Ketua Parti Pekerja (WP), mengambil tempat yang diduduki ‘Kabinet bayangan’ di United Kingdom, yang sistem Parlimennya dijadikan model sistem Parlimen Singapura.

Beliau diapit oleh sebilangan AP yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC).

Mereka adalah sekumpulan AP tanpa jawatan Menteri daripada PAP, yang berperanan meneliti dasar-dasar pemerintah.

Terdapat sejumlah 12 GPC yang secara umum dibentuk agar sesuai dengan kementerian sedia ada, dan lazimnya berkhidmat sepanjang satu penggal Parlimen.

Seramai 12 AP baru dipilih pada Julai untuk mengetuai jawatankuasa tersebut.

Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, turut berada di barisan depan.

AP PAP dan WP yang lain mengisi bahagian kiri Dewan.

Dalam Parlimen penggal ke-15 ini, terdapat 87 AP PAP dan 12 AP WP kesemuanya.

Daripada 87 ahli politik parti pemerintah, seramai 24 daripada mereka adalah muka baru yang dipilih semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei.

Mereka menyertai PAP selepas 20 AP parti itu bersara sebelum GE2025.

Bagi WP, seramai lima AP adalah muka baru, termasuk Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Eileen Chong dan Encik Andre Low.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg