Penumpang feri yang berangkat dari HarbourFront ke pulau berdekatan tidak lama lagi perlu beratur di kaunter dan mencetak sendiri pas masuk atau tiket di mesin layan diri sebelum menaiki feri.

Sekiranya lapar, mereka juga mempunyai pelbagai pilihan makanan.

Kemudahan ini, termasuk pemeriksaan pasport biometrik, akan diperkenalkan apabila terminal baru Pusat Kapal Persiaran Singapura (SCC) di HarbourFront mula beroperasi secara berperingkat dalam tempoh dua minggu akan datang.

Batam Fast Ferry akan memulakan perkhidmatan di terminal itu mulai 7 Julai.

Empat lagi pengendali feri – Horizon Fast Ferry, Majestic Fast Ferry, Sindo Ferry dan Indo Falcon Shipping and Travel – serta operasi kapal persiaran antarabangsa akan menyusul mulai 15 Julai.

Laluan, jadual perjalanan, perkhidmatan feri dan kapal persiaran serta tempat berlabuh feri dan kapal persiaran kekal tidak berubah.

Kemudahan lain yang disediakan termasuk bilik penyusuan, bilik solat, lif kerusi roda dan tempat mengecas kenderaan elektrik.

Terminal baru di 5 HarbourFront Avenue itu terletak kira-kira 70 meter dari HarbourFront Centre, iaitu tapak terminal feri antarabangsa selama hampir 35 tahun.

HarbourFront Centre dibuka pada 1978 sebagai Pusat Dagangan Dunia, yang turut menempatkan dewan pameran di tapak yang kini diduduki VivoCity.

Selepas diubah suai, bangunan itu dinamakan semula sebagai HarbourFront Centre sebelum dibuka semula pada Februari 2003.

Pusat beli-belah di HarbourFront Centre akan ditutup mulai 27 Julai bagi membolehkan pembangunan semula tapak itu menjadi bangunan pelbagai guna setinggi 33 tingkat dengan ruang pejabat, runcit dan taman bertingkat.

Pada 2 Julai, terminal itu menjalani pemeriksaan akhir sebelum dibuka kepada orang ramai.

Di tingkat bawah terdapat 25 kiosk daftar masuk layan diri seperti di Lapangan Terbang Changi, selain kaunter yang dikendalikan pengendali feri.

Naib Presiden Perkhidmatan Korporat SCC, Encik Sean Tan, berkata para penumpang boleh menikmati lebih banyak pilihan makanan apabila lebih 10 penyewa beroperasi di kawasan pelepasan dan ketibaan, termasuk rangkaian karipap Old Chang Kee.

Kaunter penyerahan bagasi kini ditempatkan di tingkat yang sama dengan kaunter tiket.

Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Cik Jacqueline Tan, berkata: “Pada masa ini, penumpang yang membeli tiket dalam talian masih perlu mendapatkan pas daripada pengendali feri. Ia bertujuan mengadakan permulaan perjalanan yang lebih menyenangkan.”.

Semasa waktu sibuk, kaunter daftar masuk kapal persiaran di tingkat dua boleh dijadikan ruang tempat duduk tambahan.

Selain cawangan sandwic Subway dan kedai runcit 7-Eleven, tingkat dua turut menempatkan ruang istirahat ‘VIP’ yang boleh memuatkan sehingga 70 penumpang.

Selepas pemeriksaan keselamatan, kaunter imigresen akan menggunakan biometrik pengecaman wajah tanpa memerlukan pasport bagi pengguna berdaftar.

Kawasan pelepasan mempunyai enam pintu masuk automatik yang boleh ditambah kepada lapan jika diperlukan.

Kawasan ketibaan pula dilengkapi 26 lorong pemeriksaan automatik bagi mempercepatkan proses imigresen.