Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah akan perkukuh kemahiran digital pelajar rentas semua disiplin

Lebih ramai pendidik bersekutu, kaunselor ditugas ke sekolah dengan tumpuan kepada CCE bagi penyesuaian teknologi AI
Aug 17, 2025 | 8:44 PM
model kecerdasan buatan AI
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah akan memperkukuh kemahiran digital pelajar di peringkat pengajian tinggi, merentas semua disiplin sebagai sebahagian usaha mendidik pelajar membina dan menggunakan model kecerdasan buatan (AI) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah dalam bidang masing-masing. - Foto MDDI

Pemerintah akan memperkukuh kemahiran digital pelajar di peringkat pengajian tinggi, bukan sahaja dalam kalangan mereka yang mempelajari sains komputer atau kejuruteraan bahkan merentasi semua disiplin.

Ia merupakan sebahagian usaha mendidik pelajar membangun dan menggunakan model kecerdasan buatan (AI) demi menjana idea dan menyelesaikan masalah dalam bidang masing-masing.

Dalam pada itu, lebih ramai pendidik bersekutu dan guru kaunselor juga akan ditempatkan di sekolah.

Ini demi memberi lebih tumpuan kepada Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kepesatan teknologi yang baru muncul seperti AI.

Demikian diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya semasa Rapat Hari Kebangsaan, yang berlangsung pada 17 Ogos, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.

“Semakin anak-anak kita meningkat dewasa, mereka perlu mengemudi dunia digital dengan yakin. Kita mesti membantu mereka membina daya tahan digital.

“Ini agar mereka dapat memahami risikonya. Dapatkan kemahiran dan pengetahuan. Dan belajar menggunakan teknologi dengan selamat dan berkesan,” kata Encik Wong.

Beliau berkata guru-guru memainkan peranan penting di sekolah dengan mengajar pelajar mengenai kesihatan siber dan menyemai tabiat digital yang baik.

Antara tugas lain, guru juga membantu pelajar menjadi pengguna teknologi yang arif dan bertanggungjawab, selain menggunakan AI secara kreatif bagi meningkatkan hasil pembelajaran, tambahnya.

Menurut Encik Wong, pendidik bersekutu tambahan dan guru kaunselor yang ditempatkan di sekolah akan membantu pelajar membangun keupayaan untuk berfikir, menyelesaikan masalah dan terus belajar sepanjang hayat dalam era AI.

“Ini adalah keutamaan bagi pemimpin dan pendidik sekolah kita dan saya harap ibu bapa akan memberikan sokongan penuh kepada mereka kerana kita sedang mempersiapkan pelajar kita, bukan untuk peperiksaan, tetapi untuk kehidupan.

“Kami mahu mereka mempunyai rasa ingin tahu untuk terus belajar. Empati untuk mengambil berat terhadap orang-orang di sekeliling mereka.

“Yang penting, keyakinan dan kebingkasan dalam menyahut cabaran hidup yang pastinya akan dilontarkan kepada mereka,” tambah Encik Wong.

Singapura ujar Encik Wong, mesti menggunakan sepenuhnya teknologi baru kerana terdapat kelebihan besar dalam ketersambungan digital.

Ini seperti mempunyai lebih banyak akses kepada pengetahuan, lebih banyak jalan untuk melahirkan pandangan mereka dan cara baru untuk berhubung antara satu sama lain.

Namun demikian, beliau memberi amaran bahawa pengguna, terutama pelajar, juga mesti meneliti dengan jelas tentang kelemahan teknologi, dan menguruskannya dengan berhati-hati.

“Ini bermakna mencapai keseimbangan yang betul. Keseimbangan antara melindungi anak muda kita daripada potensi bahaya dengan melengkapkan serta memperkasakan mereka untuk mengeksploitasi sepenuhnya manfaat teknologi,” kata Encik Wong.

Semasa ucapannya, beliau turut menukil contoh bagaimana seorang guru telah memberitahunya tentang esei pelajar yang bertambah baik hampir semalaman kerana menggunakan aplikasi AI, ChatGPT, dalam memperbaiki dan menggilap tulisan mereka.

Daripada melarang ChatGPT, Encik Wong berkata guru lelaki itu memilih untuk menggunakan esei yang dijana AI itu di dalam kelas dan menggalak pelajarnya mencabar ChatGPT dengan mengkritiknya dan mencadangkan cara menjadikan esei itu lebih baik.

Mengulas mengenai pendekatan guru itu, Encik Wong berkata: “Itulah jenis pengajaran yang tidak boleh digantikan oleh AI dan itulah dedikasi yang guru kita bawa kepada pelajar mereka setiap hari!

“Dalam zaman AI ini, apa yang benar-benar penting adalah mutu (sentuhan) insani yang tidak dapat ditiru oleh mesin seperti perwatakan, nilai diri, sikap empati dan tujuan hidup.”

“Semakin anak-anak kita meningkat dewasa, mereka perlu mengemudi dunia digital dengan yakin. Kita mesti membantu mereka membina daya tahan digital. Ini agar mereka dapat memahami risikonya. Dapatkan kemahiran dan pengetahuan. Dan belajar menggunakan teknologi dengan selamat dan berkesan.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg