Pemerintah: Dakwaan Lee Hsien Yang tentang 38 Oxley Road tidak tepat
Pemerintah: Dakwaan Lee Hsien Yang tentang 38 Oxley Road tidak tepat
Dakwaan Encik Lee Hsien Yang bahawa rumah 38 Oxley Road harus segera dirobohkan mengikut wasiat ayahnya tidak tepat, kata jurucakap pemerintah pada 25 Oktober. Walaupun Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, menyatakan dalam wasiatnya keutamaannya ialah rumah itu dirobohkan, beliau juga mengakui ia boleh dipulihara, tambah jurucakap Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Encik Lee Hsien Yang “tahu apa yang beliau katakan tidak tepat”, jurucakap itu berkata dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa beliau “cuba mewujudkan desakan palsu dengan menggesa agar hartanah itu dirobohkan segera”.
“Pemerintah, sebaliknya, cuba mengekalkan pilihan terbuka (termasuk merobohkan atau memulihara semua atau sebahagian hartanah itu) dan memberi masa untuk generasi rakyat Singapura semasa dan akan datang membuat keputusan,” katanya.
Persoalan tentang rumah itu timbul semula selepas kematian anak perempuan mendiang Encik Lee Kuan Yew, Dr Lee Wei Ling, pada 9 Oktober. Dr Lee, adik Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, mendiami rumah itu hingga kematiannya.
Encik Lee Hsien Yang, adik lelaki mereka, menyeru Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengambil tindakan mengenai isu itu dalam satu catatan Facebook pada 25 Oktober. Dalam catatannya, beliau juga berkata wasiat bapa mereka menyatakan rumah itu harus dirobohkan “sejurus selepas” Dr Lee Wei Ling berhenti tinggal di situ.
“Ini tanggungjawab anda. Anda mempunyai sembilan tahun untuk mempertimbangkannya. Kelewatan selanjutnya akan menjejas hasrat terakhir Lee Kuan Yew, yang anda dakwa anda hormati. Tolonglah pimpin,” tulisnya.
Dalam kenyataannya, pemerintah memetik surat yang ditulis kepada Kabinet oleh Encik Lee Kuan Yew pada 27 Disember 2011. Di dalamnya, mendiang Encik Lee mengakui anggota Kabinet sebulat suara berpendapat rumah itu tidak harus dirobohkan.
“Saya telah memikirkan perkara ini dan memutuskan jika 38 Oxley Road ingin dipulihara, asasnya perlu diperkukuh dan keseluruhan bangunan itu diperbaharui,” tulisnya. “Kemudian ia harus dibenarkan untuk didiami orang. Bangunan kosong tidak lama akan merosot dan reput.”
Pada Mac 2012, beliau mengemukakan pelan pengubahsuaian dan pembangunan semula bagi hartanah tersebut dan mendapat kelulusan daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar.
“Encik LKY, dalam mengemukakan rancangan itu, meneruskan atas dasar bahawa hartanah itu akan dipelihara,” kata jurucakap pemerintah itu. “Pandangan Encik LKY agak jelas. Keutamaannya ialah hartanah tersebut dirobohkan. Tetapi beliau menerima bahawa ia tidak perlu dirobohkan, dan memberikan pandangannya tentang bagaimana hartanah itu harus dipulihara.”
Jurucakap itu menambah ini dinyatakan dalam laporan jawatankuasa menteri tentang 38 Oxley Road. Pada 2018, jawatankuasa menteri yang diketuai Menteri Kanan Teo Chee Hean mencadangkan tiga pilihan bagi rumah itu, menyerahkan keputusan muktamad kepada “pemerintah masa hadapan”.
Pilihan itu ialah: memulihara hartanah itu dan mewartakannya bagi pemuliharaan atau sebagai monumen negara; mengekalkan ruang makan bawah tanah, yang ada kepentingan paling bersejarah, dan meruntuhkan baki hartanah itu; atau membenarkan hartanah itu dirobohkan sepenuhnya bagi pembangunan semula.
Dalam kenyataannya pada 25 Oktober, pemerintah turut merujuk kepada penghakiman oleh Mahkamah Tiga Hakim dan tribunal tatatertib pada 2020. Mereka mendapati Encik Lee Hsien Yang dan isterinya, Cik Lee Suet Fern, berbohong di bawah sumpah semasa prosiding tatatertib terhadap Cik Lee, seorang peguam, berhubung pengendalian wasiat terakhir Encik Lee Kuan Yew.
Jurucakap pemerintah itu berkata pasangan itu membentangkan “pembohongan rumit”, dan Mahkamah Tiga Hakim menyimpulkan Encik Lee Kuan Yew “akhirnya menandatangani sebuah dokumen yang sebenarnya bukan dokumen yang beliau mahu tandatangani”.
“Tuduhan berterusan Encik LHY mesti dilihat dari sudut ini,” kata jurucakap pemerintah itu. Jurucakap itu mengakui ada pelbagai pandangan dalam kalangan rakyat Singapura mengenai apa harus dilakukan mengenai rumah 38 Oxley Road.
“Ramai rakyat Singapura sebenarnya lebih suka melupakan soalan mengenai wasiat Encik LKY, dan hartanah itu, dan teruskan (kehidupan). Daripada menutup semua pilihan sekarang, kita harus memastikan pilihan itu terbuka dan menimbangkannya dengan teliti, dalam masa yang penuh, dengan mengambil kira kehendak Encik LKY, nilai sejarah tapak itu dan apa maknanya rumah itu bagi generasi semasa dan akan datang rakyat Singapura,” ujarnya.

