Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah kaji kekalkan sebahagian kawasan hijau, warisan Sunset Way, Gillman Barracks
Pemerintah kaji kekalkan sebahagian kawasan hijau, warisan Sunset Way, Gillman Barracks
Pemerintah kaji kekalkan sebahagian kawasan hijau, warisan Sunset Way, Gillman Barracks
Pemerintah sedang mengkaji pengekalan kawasan kehijauan yang ketara di sepanjang bekas tapak Laluan Kereta Api Jurong sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan Sunset Way berdekatan Hutan Maju pada masa hadapan.
Ini akan memelihara bahagian penting warisan kereta api Singapura sambil mengekalkan ketersambungan ekologi di dalam tapak tersebut, kata Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan.
Berucap di Parlimen pada 4 Ogos, Encik Tan berkata pemerintah juga sedang mengkaji pengekalan aliran semula jadi dan penampan tebing sungai di sekelilingnya, yang menyediakan perlindungan untuk hidupan liar.
“Kawasan hijau yang dikekalkan ini akan ditambah dengan lebih banyak pokok asli, dan berfungsi sebagai penampan antara kawasan kejiranan masa hadapan dan estet kediaman sedia ada, kata Encik Tan.
Encik Tan berkata demikian semasa menjawab soalan yang difailkan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) – menggariskan pelan pemeliharaan untuk pelan pembangunan masa hadapan untuk Sunset Way dan Gillman Barracks.
Perbincangan awam tercetus susulan pengeluaran pelan konseptual dan laporan alam sekitar dan warisan mengenai dua kawasan tersebut pada 10 Julai oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Pada 4 Ogos, Encik Tan menegaskan bahawa pelan pembangunan untuk Gillman Barracks dan Sunset Way belum dimuktamadkan dengan rundingan awam akan diteruskan lebih lanjut selepas 6 Ogos.
Berkenaan rancangan untuk memelihara Gillman Barracks, Encik Tan berkata pemerintah sedang mengkaji cara untuk mengekalkan sebahagian besar hutan di dalam tapak tersebut dan mengekalkan hubungan ekologi di arah timur-barat dan utara-selatan.
Hubungan timur-barat akan menghubungkan kawasan tersebut kepada Taman Bukit Telok Blangah dan HortPark manakala sambungan utara-selatan akan terdiri daripada koridor ekologi yang menyokong pergerakan burung ke arah Berlayar Creek dan Rizab Alam Semula Jadi Labrador, tambah Encik Tan.
“Gillman Barracks juga mempunyai ciri warisan yang tersendiri,” kata Encik Tan.
“Oleh itu, kami sedang mengkaji pengekalan semua bangunan yang dinilai mempunyai kepentingan warisan “luar biasa”, serta kebanyakan bangunan yang dinilai mempunyai kepentingan warisan “tinggi”.
“Ini akan membolehkan kawasan kejiranan masa hadapan membina berdasarkan ciri dan daya tarikan bangunan kolonial lama,” tambah beliau.
Beliau menambah bahawa jika bangunan warisan tidak dapat dikekalkan kerana kekangan tapak praktikal, pemerintah akan meneroka cara lain untuk memelihara sejarahnya.
Ini termasuk dokumentasi terperinci, menyelamatkan dan menggunakan semula bahan yang sesuai, dan menggabungkan interpretasi warisan ke dalam pembangunan masa hadapan.