Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah nasihat SingPost tegakkan tadbir urus susulan insiden pemecatan

Pengerusi SingPost turut beri bimbingan secara lebih dekat kepada pihak pengurusan; operasi khidmat pos dalam negara tidak terjejas
Jan 7, 2025 | 6:26 PM
SingPost telah beroperasi mengikut standard mutu perkhidmatan – yang diaudit secara bebas – selama empat tahun lalu.
SingPost telah beroperasi mengikut standard mutu perkhidmatan – yang diaudit secara bebas – selama empat tahun lalu. - Foto fail

Pemerintah menasihatkan Singapore Post (SingPost) agar menegakkan tadbir urus korporat yang betul susulan insiden pendedahan yang dikatakan melibatkan pemalsuan data penghantaran e-dagang antarabangsa.

Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, menyatakan dalam sesi Parlimen pada 7 Januari bahawa pemerintah bimbang mengenai isu tadbir urus dan pemecatan eksekutif kanan di SingPost.

“Kami prihatin berhubung dengan dua dapatan melibatkan kejadian pemberi maklumat dan pemecatan yang berlaku kemudian, dan sedang memantau keadaan dengan teliti bagi memastikan khidmat pos dalam negara kekal tidak terjejas sepanjang tempoh, sementara ketua pegawai eksekutif kumpulan yang baru belum dilantik,” kata Encik Tan.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), yang di bawah naungan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), sedang mengawasi perkhidmatan pos, lapor The Business Times.

IMDA juga bekerjasama dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) unit perniagaan domestik SingPost bagi memastikan kesinambungan perniagaan tidak terjejas, semangat pekerja dikekal, dan SingPost patuh pada peraturan pelesenan.

Ini meskipun selepas IMDA menilai insiden tersebut tidak menjejas perkhidmatan pos dalam negara dan hanya terhad kepada penghantaran bungkusan antarabangsa.

Encik Tan berkata SingPost telah memenuhi standard mutu perkhidmatan – yang diaudit secara bebas – sepanjang empat tahun lalu, dan beliau memberi jaminan bahawa perkhidmatan pos bagi pemberitahuan undang-undang serta perintah mahkamah tidak terjejas.

MDDI menyatakan bahawa SingPost memandang perkara itu “dengan serius” dan telah mengambil langkah.

Pengerusi, Encik Simon Israel, turut memberi bimbingan secara lebih dekat kepada pihak pengurusan.

Di samping itu, CEO unit perniagaan Singapura yang mengawasi perkhidmatan pos domestik kekal dalam jawatannya, ketua pegawai kewangan (CFO) kumpulan digantikan dengan eksekutif berpengalaman, dan jawatan ketua pegawai operasi (COO) kumpulan dibentuk untuk mengawasi operasi dalam negara.

Berhubung semakan semula sektor pos domestik yang sedang mengalami penurunan, beliau berkata ia tidak terjejas oleh insiden tersebut dan diteruskan bagi memastikan perkhidmatan pos mampan, mudah diakses serta melindungi kepentingan awam serta kakitangan pos.

SingPost mengumumkan pada 22 Disember pemecatan mantan CEO kumpulan, Encik Vincent Phang; mantan CFO kumpulan, Encik Vincent Yik; dan mantan CEO unit perniagaan antarabangsa, Encik Li Yu.

Mereka didapati “terlalu cuai” dalam mengendalikan siasatan dalaman berhubung laporan pemberi maklumat yang diterima oleh syarikat tersebut pada awal 2024.

Ini adalah kali pertama laporan pendedahan disebut, dan skandal itu – yang digelar ‘Parcelgate’ oleh pengamat – mendedahkan apa yang disifatkan sebagai kecuaian terkini SingPost dalam tadbir urus korporat sejak 2005.

SingPost kini mencari CEO kumpulan baru, sementara Encik Isaac Mah, yang ketika itu CFO perniagaan Australia FMH Group, dilantik sebagai CFO kumpulan yang baru.

SingPost turut melantik CIk Neo Su Yin sebagai COO kumpulan dalam jawatan baru untuk mengawasi unit perniagaan Singapura, antarabangsa, dan hartanah kumpulan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg