Dalam menghadapi prospek pengambilan pekerja yang mencabar, pemerintah akan memantau dengan teliti keadaan pekerjaan lulusan baru, kata Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, pada 9 Julai.
Beliau berkata institusi pengajian tinggi sedang mempergiat usaha membantu lulusan yang menghadapi kesukaran dalam mencari pekerjaan, termasuk menyediakan bimbingan kerjaya, kursus peningkatan kemahiran, serta menganjurkan Hari Kerjaya.
Cik Gan bercakap kepada media selepas sesi pertemuan pelajar di Politeknik Republic (RP) bersama sekitar 20 lulusan baru dan pelajar tahun akhir daripada lima politeknik di Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Kajian tahunan mengenai pekerjaan lulusan yang dijalankan oleh universiti dan politeknik menunjukkan bahawa jumlah mereka yang mendapat pekerjaan sepenuh masa pada 2024 kian berkurang.
Bagi lulusan universiti, 79.5 peratus mendapat pekerjaan sepenuh masa pada 2024, berbanding 84.1peratus pada 2023.
Lulusan politeknik yang mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa menurun kepada 54.6 peratus pada 2024, berbanding 60 peratus pada 2023.
Menurut Cik Gan, ekonomi Singapura masih kukuh walaupun lulusan berdepan dengan cabaran pasaran kerja dan pengaruh kecerdasan buatan (AI).
Beliau menggalakkan lulusan agar kekal optimis dan meluaskan pencarian pekerjaan, kerana pasaran kerja masih stabil dengan syarikat terus mengambil lulusan baru.
Cik Gan menambah bahawa Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bekerjasama rapat dengan jurulatih pendidikan dan kerjaya untuk menyokong lulusan baru yang memerlukan lebih banyak bantuan, terutama mereka yang berada di sektor tertentu.
Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura yang diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, sedang mengkaji cara menyokong lulusan yang menganggur, katanya.
Beliau mengakui kebimbangan lulusan baru tahun ini (2025), berbanding sebelumnya, dan berkata, “Kebimbangan ini difahami kerana tarif Amerika menjejas perdagangan dan ekonomi sejagat,” sambil menambah bahawa beberapa syarikat mungkin lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja.
Penolong Setiausaha Agung NTUC dan Anggota Parlimen (AP) Pioneer, Encik Patrick Tay, berkata institusi pengajian tinggi perlu lebih tangkas dan proaktif dalam meramalkan permintaan kemahiran masa depan, terutama dalam era AI.
“Terdapat jurang yang semakin besar antara kemahiran lulusan dengan keperluan pasaran,” katanya, sambil menyeru langkah disasarkan seperti Program Pelatih SGUnited dan akses lebih luas kepada latihan industri bermutu serta sokongan pemadanan pekerjaan.
“Usaha ini dapat mencegah masalah pengangguran jangka panjang,” tambah Encik Tay.
Salah seorang lulusan yang hadir pada sesi 9 Julai bersama Cik Gan adalah Cik Nur Farisya Fahrurazi, 20 tahun, dari Politeknik Ngee Ann (NP).
Walaupun minatnya dalam bidang pemasaran, beliau ditawarkan kebanyakan jawatan pentadbiran yang memerlukan ijazah atau pengalaman dua hingga tiga tahun.
“Saya telah menghantar hampir 20 permohonan pekerjaan,” katanya.
Cik Farisya kini menerima kontrak dua tahun di syarikat farmaseutikal dan berharap mendapat pekerjaan tetap serta melanjutkan pengajian ijazah perniagaan sambil bekerja.
Berbeza dengan Cik Farisya, Encik Shaun Tan, lulusan Politeknik Nanyang (NYP), hanya mula mencari pekerjaan pada 2030.
Beliau, yang tamat pengajian dalam bidang Kerja Sosial pada Mei 2025, akan memulakan Perkhidmatan Negara (NS) pada Oktober sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2027.
Walaupun prospek suram, beliau optimis mengenai peluang pekerjaan dalam sektor tersebut, tetapi risau tentang gaji yang bersaing dengan inflasi dan kenaikan kos.
“Nasib baik, bidang kami (kerja sosial) tidak begitu terjejas oleh perang perdagangan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg