Lulusan yang baru tamat pengajian universiti mendapati lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan tetap sepenuh masa, dengan peratusan turun di bawah 80 peratus, menurut tinjauan pekerjaan lulusan terkini.
Keputusan daripada tinjauan yang dikeluarkan pada 24 Februari menunjukkan bahawa 79.5 peratus lulusan berjaya mendapatkan pekerjaan sepenuh masa pada 2024, berbanding 84.1 peratus pada 2023.
Namun, mereka yang berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa memperolehi pendapatan lebih tinggi dengan gaji bulanan kasar median pada $4,500 pada 2024, berbanding $4,317 pada 2023.
Lebih ramai lulusan baru menganggur – 12.9 peratus pada 2024, meningkat berbanding 10.4 peratus pada 2023. Kumpulan itu merujuk kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan atau bakal memulakan kerja atau perniagaan, lapor The Straits Times.
Lebih ramai juga bekerja sambilan atau sementara – 6 peratus, naik berbanding 4 peratus pada 2023 – atau melakukan kerja bebas (1.6 peratus, meningkat berbanding 1.5 peratus pada 2023).
Menurut tinjauan, kebanyakan lulusan dalam kumpulan itu memilih pekerjaan tersebut secara sukarela.
Seramai 12,500 lulusan daripada program sepenuh masa di Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), serta Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) menyertai tinjauan itu, dengan kadar respons 73.3 peratus.
Lulusan yang ditinjau oleh lima universiti mengenai status pekerjaan mereka pada 1 November 2024, sekitar enam bulan selepas tamat peperiksaan akhir mereka.
Disebabkan kalendar akademik yang berbeza, tinjauan bagi Institut Teknologi Singapura (SIT) masih berjalan dan akan dikeluarkan pada tarikh lain.
Sekitar 11,100 responden memasuki pasaran kerja. Daripada kumpulan itu, 87.1 peratus berjaya mendapat pekerjaan tetap, kerja bebas, atau sambilan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, susut berbanding 89.6 peratus pada 2023.
Lulusan dalam tenaga buruh merujuk kepada mereka yang bekerja atau menganggur tetapi sedang aktif mencari pekerjaan.
Bidang sains kesihatan, perniagaan, serta teknologi maklumat dan digital merupakan tiga kelompok kursus yang terus mencatat kadar pekerjaan tetap sepenuh masa tertinggi bagi lulusan pada 2024, dengan kadar antara 83 peratus dengan 88 peratus.
Lulusan daripada kursus teknologi maklumat dan digital terus menerima gaji bulanan tertinggi sekitar $5,600, meningkat berbanding $5,500 pada 2023.
Semua kelompok lain turut mencatat gaji bulanan kasar median yang lebih tinggi bagi lulusan dalam pekerjaan tetap sepenuh masa.
Pada 2024, ekonomi Singapura berkembang 4.4 peratus, berbanding anggaran awal 4 peratus, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 14 Februari dalam tinjauan ekonominya untuk tahun tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg