Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah perkenal skim galak kenderaan berat guna tenaga bersih

Feb 18, 2025 | 7:00 PM
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari, mengumumkan bahawa Komponen Tetap Tambahan (AFC) dalam cukai jalan raya bagi bas dan kenderaan barang berat elektrik akan diperkenalkan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari, mengumumkan bahawa Komponen Tetap Tambahan (AFC) dalam cukai jalan raya bagi bas dan kenderaan barang berat elektrik akan diperkenalkan. - Foto fail

Pemerintah akan memperkenalkan skim dan geran bagi mempercepat kenderaan berat menggunakan tenaga bersih dalam usahanya menyahkarbon sektor pengangkutan Singapura.

Mengumumkan demikian dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata Skim Pelepasan Sifar Kenderaan Berat dan Geran Pengecas Kenderaan Berat Elektrik itu akan memberi insentif bagi pembelian kenderaan berat yang menggunakan tenaga bersih, dan pembiayaan bersama prasarana mengecas.

Sektor pengangkutan di Singapura membentuk sekitar 15 peratus pengeluaran karbon di sini.

Pemerintah menyasarkan semua kenderaan menggunakan tenaga lebih bersih menjelang 2040, dan negara ini sedang mencatat kemajuan baik ke arah sasaran itu, ujar Encik Wong.

Pada 2024, sekitar sepertiga kereta baru yang didaftar adalah kenderaan elektrik dan hampir separuh adalah kenderaan hibrid.

Tetapi penggunaan kenderaan berat yang menggunakan tenaga bersih adalah lebih perlahan disebabkan model yang terhad, kos pendahuluan yang lebih tinggi dan prasarana mengecas yang agak sukar diakses.

Butiran lanjut tentang skim dan geran baru itu akan dikongsi Menteri Pengangkutan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS).

Encik Wong turut mengumumkan bahawa Komponen Tetap Tambahan (AFC) dalam cukai jalan raya bagi bas dan kenderaan barang berat elektrik akan diperkenalkan.

Buat masa ini, pemandu kenderaan enjin pembakaran dalaman membayar duti eksais bahan api.

Duti itu menyumbang kepada pendapatan dan juga berfungsi sebagai satu bentuk caj penggunaan.

Encik Wong berkata kenderaan elektrik, walaupun kurang menyebabkan pencemaran, tidak harus dikecualikan daripada caj penggunaan.

“Kami masih mempertimbangkan bagaimana untuk mewujudkan mekanisme caj penggunaan bagi kenderaan tenaga lebih bersih.

“Buat sementara waktu, kami telah memperkenalkan AFC dalam cukai jalan raya bagi kereta dan kenderaan barang ringan elektrik,” kata Encik Wong.

Dengan bas dan kenderaan berat elektrik lebih mudah didapati sekarang, pemerintah akan memperkenalkan AFC bagi bas dan kenderaan barang berat elektrik, bagi mengekalkan kesetaraan dengan caj penggunaan bagi kenderaan berat enjin pembakaran dalaman.

AFC itu akan ditetapkan pada $250 setahun untuk kenderaan barang berat elektrik dan $190 serta $550 setahun bagi bas mini elektrik dan bas besar elektrik.

Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun mulai Januari 2026 dan akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang Januari 2028.

Di samping memainkan peranan mengurangkan pengeluaran di Singapura, Encik Wong berkata langkah itu juga perlu diambil bagi melindungi negara ini daripada risiko iklim termasuk banjir pantai yang boleh menjejas sekitar sepertiga Singapura.

Dalam hal ini, beliau mengumumkan tokokan $5 bilion kepada Dana Perlindungan Banjir dan Pantai untuk membuat pelaburan dalam langkah perlindungan pantai dan banjir yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2030-an.

Ini termasuk struktur seperti dinding laut dan langkah khusus seperti pintu air pasang surut.

Pemerintah turut mengumumkan projek penambakan besar-besaran Long Island di bahagian tenggara Singapura yang antara lain akan menaikkan paras tanah di atas paras laut yang meningkat.

“Pelaksanaan sebenar langkah-langkah ini boleh mengambil masa dua dekad atau lebih, bermula dari 2030-an.

“Tetapi adalah bijak untuk mengetepikan dana sekarang bagi memastikan kita dapat meneruskan dengan pelaburan besar ini, yang akan memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang,” ujar Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg