Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah perlu pertingkat pelaburan bagi persiap pekerja hadapi cabaran AI

PM Wong: Apec boleh pimpin usaha latih semula pekerja, bina keyakinan terhadap AI agar tidak ketinggalan
Nov 1, 2025 | 4:55 PM
Singapura, perdana menteri, Lawrence Wong, AI, Apec
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berada di Gyeongju, Korea Selatan, bagi menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hingga 1 November. Menurut beliau pemerintah perlu melabur lebih banyak bagi mempersiapkan pekerja dan tidak boleh menyerahkan persiapan tersebut kepada pasaran. - Foto ST

GYEONGJU (Korea Selatan): Seiring evolusi kecerdasan buatan (AI), pemerintah perlu melabur lebih banyak bagi mempersiapkan pekerja dan tidak boleh menyerahkan persiapan tersebut kepada pasaran, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) boleh memimpin usaha ini dengan melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja, mengubah suai pekerjaan, serta membina keyakinan terhadap AI, agar mereka tidak ketinggalan apabila perubahan berlaku, kata Encik Wong pada 1 November, lapor The Straits Times (ST).

“Dengan berbuat demikian, kita dapat memastikan pulangan daripada pelaburan AI bukan sahaja dinikmati oleh pemilik modal, malah turut dinikmati para pekerja, dan yang lebih penting, oleh seluruh rakyat kita,” katanya kepada pemimpin 21 ekonomi di sekitar Lautan Pasifik yang membentuk kumpulan Apec.

Singapura menumpukan perhatian kepada penggunaan dan aplikasi AI, kata Encik Wong yang berada di Gyeongju, Korea Selatan dari 29 Oktober hingga 1 November.

Sebagai sebuah negara bandar kecil, padat dan terhubung secara digital, Singapura tidak mampu membangunkan model asas AI canggih dengan sendiri.

Namun, ia boleh menggunakan AI untuk membangun dan menghasilkan aplikasi yang memberi “kesan terbesar” dalam bidang seperti kewangan, logistik, penjagaan kesihatan dan perkilangan maju, jelas Encik Wong.

Singapura tidak boleh melaksanakan usaha ini bersendirian, dan berminat untuk bekerjasama serta bertukar amalan terbaik dengan ekonomi Apec lain, tambah Encik Wong.

Dalam sesi perbincangan bertema Preparing For A Future-ready Asia-Pacific (Mempersiapkan Asia-Pasifik Menghadapi Masa Depan), Encik Wong berkata AI akan menjadi pemacu gelombang pertumbuhan seterusnya.

“Ia akan meningkatkan produktiviti serta mengubah cara kita hidup dan bekerja,” jelas beliau.

AI sudah pun mengubah industri di Singapura, katanya pada hari kedua Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec, mesyuarat peringkat tertinggi pada sidang kemuncak tahunan yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November.

Ketika menyatakan langkah-langkah bagi memimpin kerjasama dalam memanfaatkan teknologi itu, Encik Wong berkata ekonomi Apec perlu memperkukuh keupayaan tenaga kerja dan mempersiapkan para pekerja.

Dengan setiap gelombang teknologi baru, sesetengah pekerjaan akan hilang dan pekerjaan baru akan tercipta. 

Sejarah menunjukkan kesan teknologi itu positif, kerana lebih banyak pekerjaan baru telah diwujudkan.

Namun, tiada undang-undang ekonomi yang menjamin bahawa perkara ini akan berlaku secara automatik, kata Encik Wong.

“Hanya kerana perkara ini telah berlaku pada masa lalu, tidak bermakna ia akan berlaku pada masa akan datang. Kita tidak boleh serahkannya kepada pasaran.”

Mengenai cara Apec boleh memimpin usaha ini, Encik Wong berkata negara anggotanya mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang AI.

Sementara itu, Encik Wong telah memuji Korea Selatan sebagai tuan rumah Sidang Puncak Apec 2025, kerana menganjurkan Mesyuarat Menteri Digital dan AI Apec yang pertama.

Inisiatif AI Apec merupakan satu langkah ke arah yang betul, ujar Encik Wong.

Ia menggalakkan kerjasama lebih erat dalam bidang AI melalui pertukaran dasar dan projek pembangunan keupayaan, serta merangsang pelaburan dalam prasarana AI.

“Singapura menantikan peluang untuk bekerjasama dengan ekonomi Apec bagi memastikan masyarakat kita mendapat manfaat daripada AI,” kata Encik Wong.

Sementara itu Encik Wong berkata trend ke arah lebih banyak pemecahan ekonomi sejagat kemungkinan besar akan berterusan selepas “gencatan sementara” antara Amerika Syarikat dengan China, tetapi seluruh dunia masih mempunyai keupayaan untuk bertindak.

Singapura dan negara-negara lain bukan penonton yang pasif, katanya kepada media tempatan selepas berakhirnya sidang puncak tahunan Apec itu.

Mengibaratkan pemecahan ekonomi dengan pemanasan global, Encik Wong berkata: “Kami tahu ia sedang berlaku, tetapi kami boleh mengambil tindakan untuk mengurangkannya.

Encik Wong berada di Gyeongju bagi menghadiri mesyuarat Sidang Puncak Apec hingga 1 November. 

Beliau kemudian akan mengunjungi ibu negara Seoul untuk lawatan rasmi pada 1 dan 2 November atas jemputan Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, di mana kedua-dua negara dijadual menaik taraf hubungan dua hala mereka kepada peringkat perkongsian strategik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg