Kepimpinan kolektif 21 ekonomi Apec diperlukan untuk reformasi dan mengukuhkan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) supaya ia kekal berkesan dan relevan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Sidang Puncak Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada 31 Oktober.
Walaupun WTO tidak sempurna, negara-negara seharusnya tidak mencari jalan untuk mengabaikan badan perdagangan tersebut, sebaliknya berusaha untuk memperbaikinya, kata Encik Wong di sesi Pertemuan Ketua Ekonomi Apec (AELM) yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November di Gyeongju, Korea Selatan.
Encik Wong menegaskan bahawa mesyuarat 2025 diadakan di tengah-tengah tekanan multilateralisme dan cabaran ekonomi global, dan menggesa anggota Apec menyokong mekanisme baru untuk “membuat keputusan yang berpandukan hasil” di WTO, kerana prinsip konsensusnya kini menjadi punca kelumpuhan prosesnya, lapor The Straits Times (ST).
Mereka juga harus menerima multilateralisme yang fleksibel, supaya negara-negara yang sehaluan dapat bergerak dahulu untuk menangani isu-isu baru, sementara yang lain boleh menyertai apabila mereka bersedia, tambahnya.
Kenyataan Encik Wong itu dikeluarkan beberapa hari selepas Ketua WTO, Dr Ngozi Okonjo-Iweala, menyeru reformasi peraturan konsensus badan perdagangan tersebut yang memerlukan persetujuan sebulat suara daripada 166 anggotanya untuk memeterai perjanjian perdagangan global.
Pendekatan baru diperlukan terutamanya kerana sistem perdagangan global sedang mengalami gangguan terbesar dalam tempoh lapan dekad, kata Dr Okonjo-Iweala pada 28 Oktober.
Pada 31 Oktober, Encik Wong menyuarakan seruan bagi pemimpin Apec lain untuk memberikan sokongan politik mereka bagi memulakan proses reformasi apabila anggota WTO bertemu di Cameroon pada Mac 2026.
Mesyuarat tersebut, yang diadakan setiap dua tahun, merupakan platform tertinggi dalam membuat keputusan di badan perdagangan berusia 30 tahun itu.
“Apec ditubuhkan dengan misi untuk menyokong perdagangan dan pelaburan bebas serta terbuka di rantau Asia-Pasifik.
“Misi ini kini lebih penting berbanding sebelumnya, dan kepimpinan kolektif kita akan membolehkan kita mencapai matlamat ini,” katanya.
Encik Wong juga menggariskan cara-cara lain bagi ekonomi Apec memperkukuh sistem perdagangan multilateral yang berasaskan peraturan.
Contohnya, kerjasama antara kumpulan perdagangan perlu diperkukuh untuk mencapai matlamat jangka panjang mewujudkan kawasan perdagangan bebas Asia-Pasifik.
Beliau menegaskan bahawa sudah ada perjanjian perdagangan bebas yang komprehensif seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP).
CPTPP adalah perjanjian perdagangan bebas yang pertama kali ditandatangani pada 2018 dan kini mempunyai 12 anggota termasuk Jepun, United Kingdom, Canada dan Mexico.
Ia berkembang daripada satu kumpulan yang lebih kecil yang dimulakan oleh Singapura bersama tiga negara Apec lain – Chile, New Zealand dan Brunei.
Encik Wong juga menyebut tentang pakatan seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital (Depa) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Hijau (Gepa) yang pertama di dunia dan mengatakan bahawa ini boleh membawa kepada penyelarasan piawaian dan peraturan dalam bidang-bidang baru ini.
Pada 31 Oktober, Singapura, Chile, dan New Zealand mengumumkan rundingan mengenai Gepa, perjanjian perdagangan hijau yang merangkumi kerjasama dalam bahan api penerbangan mampan, kredit karbon dan sijil tenaga boleh diperbaharui.
Depa, yang memudahkan perdagangan digital, ditandatangani pada 2020 antara tiga negara yang sama. Korea Selatan menyertainya sebagai anggota keempat pada 2024.
Beberapa ekonomi kecil yang bergantung kepada perdagangan seperti Singapura juga telah memulakan platform baru seperti Perkongsian Pelaburan dan Perdagangan Masa Depan.
Apec boleh menyokong dan memperluas inisiatif berpotensi ini untuk memastikan rantau ini terus terbuka, bersambung, dan kondusif untuk perdagangan serta pelaburan, kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg