Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah salur $1j, agih sama rata 4 pertubuhan bagi bantuan kemanusiaan Gaza

Dec 20, 2025 | 5:17 PM
sumbangan $1j, bantuan kemanusiaan Gaza, Humanity Matters  
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong (tiga dari kiri), berinteraksi dengan hadirin dalam acara perasmian kutipan dana di jalanan anjuran Humanity Matters di Gereja Armenia pada 20 Disember. Bersama beliau ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi (empat dari kiri), dan Penasihat Khas (Kemanusiaan) Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad (kiri). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Pemerintah akan menyalurkan sebanyak $1 juta sebagai wang pendahuluan dalam menyokong usaha mengumpul dana awam bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Jumlah itu akan diagihkan secara sama rata kepada Palang Merah Singapura (SRC), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Humanity Matters (HM) dan Mercy Relief sebagai wang bagi membiayai bekalan air, kumbahan, kebersihan, makanan dan usaha bantuan lain di Gaza.

Ia membentuk pakej bantuan kemanusiaan ke-11 dari pemerintah Singapura bagi para mangsa di Gaza sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, umum Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 20 Disember.

MFA menambah dengan pakej bantuan terkini, jumlah sumbangan keseluruhan meliputi lebih daripada $25 juta.

Berita Harian difahamkan bahawa ini adalah kali pertama inisiatif seumpama itu dilaksanakan dalam usaha bantuan kemanusiaan bagi para mangsa di Gaza.

Salah satu badan bukan pemerintah (NGO) yang menerima sebahagian wang pendahuluan itu, HM, mengadakan edisi ketiga acara kutipan dana di jalanan serata negara bagi memperoleh sumbangan derma awam demi mengumpul dana untuk mangsa di Gaza.

Acara tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dalam satu majlis di Gereja Armenia di Hill Street pada 20 Disember.

Turut hadir dalam acara itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; Duta Kelana dan pengerusi HM, Encik Ong Keng Yong, dan pemimpin berbilang agama, antara lain.

Berkongsi kepada media, Encik Gan berkata dengan sumbangan wang pendahuluan kepada empat NGO yang tertera, ia sedikit sebanyak diharap dapat “meredakan kesengsaraan penduduk yang terjejas di Gaza”.

“Ini merupakan (pakej) bantuan ke-11 Singapura untuk Gaza dan adalah penting bagi kami untuk terus mengekalkan gencatan senjata yang aman di Gaza dan berusaha ke arah fasa pembinaan semula Gaza yang seterusnya,” ujarnya.

Menurut Encik Gan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai rakyat Singapura dari pelbagai kaum, agama berbeza berkumpul dan bersama dengan pertubuhan amal tempatan, bagi mencari jalan membantu mereka yang di Gaza.

“Dan hari ini, kita juga melihat ramai pekerja asing yang berada di sini, warga asing yang berada di sini, memainkan peranan mereka juga ke arah tujuan yang sangat wajar ini dan ini adalah pelengkap kepada pendekatan Singapura,” tambah Encik Gan.

Sehubungan itu, dalam satu catatan berasingan di Facebook pada 20 Disember, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata sumbangan yang disalurkan oleh pemerintah dan warga Singapura terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza “bukti semangat belas ihsan dan sifat keprihatinan warga terhadap mereka yang memerlukan”.

Ini lebih-lebih lagi sedang penduduk di Gaza sedang melalui cuaca sejuk dek musim sejuk kini.

Beliau berkata: “Kami terus menggesa semua pihak memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan pantas dan tanpa halangan.”

Acara kutipan dana di jalanan HM menyaksikan penyertaan sekitar 200 sukarelawan.

Mereka terdiri daripada rakyat dan penduduk Singapura serta pekerja migran dan warga asing, yang membawa tin derma sambil mengedarkan pelekat, ‘Satu Negara, Satu Kemanusiaan’, kepada orang awam.

Ia diadakan bersempena Hari Perpaduan Manusia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang jatuh pada 20 Disember, dan membentuk sebahagian daripada kempen pengumpulan dana bagi bantuan di Gaza dari November hingga Februari 2026.

Semasa majlis perasmian, para tetamu, sukarelawan dan rakan kerjasama turut menyertai pemimpin berbilang agama dalam sesi bertafakur seminit bagi memperingati mangsa serangan tembakan beramai-ramai yang mengorbankan 16 nyawa di Pantai Bondi pada 14 Disember.

Ini di samping krisis dan cabaran kemanusiaan serantau yang berterusan seperti di Sumatera, selatan Thailand, Vietnam, Myanmar dan sempadan Thailand-Kemboja.

Sejak Oktober 2023, Humanity Matters telah mengumpulkan lebih $1.9 juta dalam bentuk bantuan bagi mangsa konflik di Gaza.

Dari November 2023 hingga Ogos 2025, NGO itu telah menghantar lebih 84.4 tan bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui lintasan Rafah, Kerem Shalom, Erez dan Zikim, di samping bantuan yang digugurkan dari udara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg