Walaupun skim sokongan kewangan akan datang untuk golongan yang menganggur bakal menampung kira-kira enam daripada 10 pekerja sedemikian, Menteri Tenaga Manusia (MOM), Dr Tan See Leng, tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan lagi inisiatif itu.
Dalam temubual podcast bersama The Straits Times (ST), beliau berkata pemerintah akan menyemak data pasaran pekerja suku tahunan untuk menilai kesan Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture selepas ia dilancarkan pada April 2025.
Apabila data yang mencukupi telah dikumpulkan, pemerintah akan dapat melihat cara untuk memperbaikinya, kata Dr Tan.
Beliau berkata skim itu telah disasarkan kepada sebahagian besar populasi penduduk.
Temu bual Dr Tan bersama penolong editor podcast ST, Cik Lynda Hong, dan wartawan, Encik Tay Hong Yi, telah diterbitkan pada 14 Oktober, sebagai sebahagian daripada rancangan podcast ST, In Your Opinion.
Ia tertumpu kepada skim yang akan menyediakan bantuan kewangan sementara sehingga $6,000 dalam tempoh enam bulan kepada golongan yang menganggur tanpa pilihan, tertakluk kepada kriteria seperti pendapatan dan nilai tahunan harta.
Skim itu akan dibuka kepada warga Singapura mulai April 2025 dan Penduduk Tetap (PR) mulai suku pertama 2026.
Apabila ditanya sama ada kriteria skim itu akan menjadikan ia rumit bagi pemohon, Dr Tan berkata pemerintah merancang untuk menggunakan data pekerja yang sudah sedia ada untuk melancarkan proses permohonan.
Untuk mengeluarkan skim semasa itu, Dr Tan perlu melakar proses rundingan yang sukar dengan rakan kongsi tiga pihak, yang dianggotai wakil daripada pemerintah, pergerakan pekerja serta pihak majikan.
Ini termasuk perbincangan sama ada skim itu akan dikeluarkan berasaskan insurans pengangguran, di mana majikan atau pekerja perlu membayar premium untuk mendapatkan perlindungan.
Namun idea skim berasaskan insurans pengangguran itu terlalu rumit dan menimbulkan banyak persoalan.
Ini seperti siapa yang perlu membayar caruman insurans – pekerja atau majikan, cara menetapkan harga premium aktuari, bila pembayaran akan dibuat dan sebagainya.
“Jadi, setelah... semua perbincangan bebas yang hangat (berlaku) di belakang tabir, kami akhirnya sampai kepada ini (skim semasa), bahawa pemerintah (perlu) sekurang-kurangnya menanggung beban itu,” jelas Dr Tan.
Salah satu kriteria yang melayakkan seseorang itu menerima bantuan melalui skim itu adalah mereka tidak menerima sebarang pembayaran daripada skim tersebut selepas ia dilancarkan, selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
Dr Tan berkata tempoh masa tiga tahun itu dipilih kerana secara amnya, pekerja dapat mengenal pasti kesesuaian mereka untuk sesuatu pekerjaan, kerana matlamat skim itu adalah untuk menggalakkan pekerja melabur masa untuk mencari pekerjaan yang sesuai untuk diri mereka.
Beliau juga menjelaskan sebab skim semasa itu tidak dibezakan mengikut sektor, walaupun pekerjaan di beberapa sektor mungkin mempunyai risiko pengangguran tanpa pilihan yang lebih tinggi daripada yang lain.
“Kami berpendapat bahawa memulakan skim ini dalam bentuk yang luas dapat memberi manfaat kepada sebahagian besar orang (pekerja), dan turut merangkumi mereka yang (bergaji) sedikit di atas median, dengan (set kemahiran) yang agak umum,” kata Dr Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg