Pemerintah akan menyediakan sumber yang lebih mudah diperolehi dan bermanfaat kepada ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka membangun tabiat digital yang sihat, kata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Ini termasuk menyesuaikan sumber mengikut pelbagai tahap dalam perjalanan keibubapaan, berdasarkan peringkat usia pembangunan anak dan juga pengalaman mereka dalam perkembangan digital.
Contohnya, pendedahan kepada skrin untuk kali pertama dan apabila anak memiliki telefon bimbit yang pertama.
“Ia akan berorientasikan tindakan dalam membantu ibu bapa memupuk tabiat digital yang baik dalam anak-anak mereka dari usia muda,” kata kementerian itu.
Langkah itu menyusuli kajian yang dijalankan MDDI untuk lebih memahami bagaimana ibu bapa mengendalikan kegiatan digital anak-anak mereka.
Dapatan kajian itu menunjukkan hampir sembilan daripada 10 ibu bapa telah mengambil sekurang-kurangnya satu tindakan, seperti mengehad masa penggunaan skrin atau jenis kandungan yang ditonton, dalam usaha menjaga tabiat digital anak mereka.
Namun, hanya 37 peratus daripada mereka yang ditinjau berasa yakin dengan keupayaan mereka untuk membimbing anak berhubung tabiat digital.
“Bagi ibu bapa yang melahirkan rasa kurang yakin atau tidak yakin, cabaran utama yang disebutkan adalah masa terhad disebabkan kerja atau komitmen lain; keengganan anak untuk mematuhi peraturan; keupayaan anak memintas kawalan ibu bapa; dan pengetahuan terhad ibu bapa tentang kawalan ibu bapa atau alat pemantauan,” tambah MDDI.
Lebih separuh, atau 59 peratus ibu bapa yang ditinjau, berkata mereka mahukan lebih banyak sokongan pemerintah untuk membantu mengendalikan kegiatan digital anak mereka.
Ini termasuk perundangan lebih kukuh untuk melindungi kanak-kanak dalam talian dan akses kepada sumber relevan seperti panduan kursus dalam talian dan bengkel.
Kajian mengenai Keibubapaan Digital itu, yang diadakan buat julung-julung kali, telah dijalankan pada Februari 2025 dan melibatkan 1,986 ibu bapa yang merupakan penduduk Singapura dengan anak-anak berusia dari dua hingga 17 tahun.
MDDI berkata dapatan kajian itu “akan membantu pemerintah dalam memberikan sokongan lebih baik kepada ibu bapa” dalam usaha mengendalikan kegiatan digital anak.
Dalam satu video yang membincangkan dapatan kajian itu, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata ibu bapa boleh membina keyakinan mereka dalam membimbing tabiat digital anak.
Ini dapat dilakukan dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui sumber dan panduan.
“Ibu bapa boleh membina keyakinan dalam mengemudi ruang digital ini. Keyakinan datang dengan adanya pengetahuan dan kemahiran.
“Oleh itu, dengan sokongan yang menunjukkan cara bagi mereka mendapatkan kemahiran ini, saya harap mereka akan dapat membina keyakinan,” kata beliau.
Profesor Komunikasi dan Teknologi Lee Kong Chian di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Lim Sun Sun, berkata adalah tidak mengejutkan ramai ibu bapa berasa kurang yakin dengan keupayaan mereka dalam membimbing anak dalam tabiat digital kerana teknologi berkembang pesat.
Seiring itu, muncul genre kandungan dan wadah baru yang mendekati kanak-kanak.
“Oleh itu, ibu bapa berasa tenggelam dengan cabaran mengikuti perkembangan ini, meskipun sedang anak-anak mereka membangun dan keperluan mereka berubah dengan setiap detik perkembangan,” kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Ketua dan Profesor Madya di Jabatan Komunikasi dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Carol Soon, pula berkata meskipun ibu bapa mengambil tindakan dalam menjaga tabiat digital anak mereka, ramai yang berpendapat langkah yang diambil tidak berkesan dan mereka tidak pasti apakah yang lebih sesuai.
“Ia juga mungkin bermakna mereka menghadapi pelbagai kesukaran yang dirasakan semasa mengambil tindakan.
“Kedua-dua senario membimbangkan dan menunjukkan masalah ibu bapa dari segi kesedaran dan pengambilan tindakan,” kata Dr Soon, yang juga Naib Pengerusi Majlis Kecelikan Media.
Selain menyediakan sumber yang lebih bermanfaat dan mudah diakses untuk ibu bapa, MDDI berkata ia akan mempertingkat usaha pendekatannya dengan secara proaktif mendekati ibu bapa dalam masyarakat setempat.
Ini termasuk bekerjasama dengan rakan masyarakat untuk membangun program seperti bengkel bagi melengkapi ibu bapa dengan kemahiran berbincang dengan anak-anak tentang tingkah laku dalam talian yang berisiko dan cara kekal selamat di alam maya.
Pemerintah juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi seperti ibu bapa yang merupakan pempengaruh untuk berkongsi kandungan melalui media sosial.
Ia selain kerjasama dengan badan akar umbi, industri dan rakan korporat untuk menggalak lebih banyak inisiatif dan usaha seluruh masyarakat dalam menyokong perjalanan ibu bapa dalam era digital.
Menurut Cik Rahayu, langkah memupuk tabiat digital yang sihat dalam kalangan anak-anak memerlukan usaha bersama dan berterusan.
“Kami akan terus bekerja rapat dengan pertubuhan bukan hanya untuk mencipta bersama sumber dan program yang menarik dan praktikal, malah menjadikan ia lebih mudah dan boleh diakses ibu bapa,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg