ICA: Rekod 245j pengembara lepasi pusat pemeriksaan S’pura pada 2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ICA: Rekod 245j pengembara lepasi pusat pemeriksaan S’pura pada 2025

Pemeriksaan tanpa pasport pacu proses imigresen lebih pantas, terutama di pusat pemeriksaan darat
Feb 23, 2026 | 7:09 PM

ICA: Rekod 245j pengembara lepasi pusat pemeriksaan S’pura pada 2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata kira-kira 127 juta pengembara melepasi pusat pemeriksaan imigresen tanpa perlu mengemukakan pasport pada tahun 2025.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata kira-kira 127 juta pengembara melepasi pusat pemeriksaan imigresen tanpa perlu mengemukakan pasport pada tahun 2025. - Foto ST

Hampir 245 juta pengembara melintasi pusat pemeriksaan Singapura pada 2025, berbanding 230 juta pada 2024 dan 217.3 juta pada 2019, tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 23 Februari berkata kira-kira tiga daripada empat pengembara memasuki negara ini melalui pusat pemeriksaan darat.

Rekod tertinggi harian dicatat pada 19 Disember 2025 apabila hampir 589,000 orang memasuki Singapura melalui laluan darat.

Jumlah kenderaan yang diperiksa di pusat pemeriksaan darat meningkat 9.5 peratus pada 2025, dengan kereta dan motosikal merangkumi 94 peratus daripada keseluruhan trafik.

ICA berkata langkah pemeriksaan tanpa pasport menjadikan proses imigresen lebih pantas, cekap dan lancar.

Kira-kira 127 juta pengembara melepasi imigresen tanpa perlu mengemukakan pasport tahun lalu.

“Setelah kod QR digunakan sepenuhnya di pusat pemeriksaan darat pada Januari 2025 dan pemeriksaan tanpa token diperluaskan di pusat pemeriksaan udara dan laut, masa pemeriksaan dapat dipendekkan.

“Ini membolehkan ICA mengendalikan pertambahan jumlah pengembara, terutama di pusat pemeriksaan darat,” jelasnya.

Mereka yang akan menggunakan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) dari Singapura ke Johor Bahru dijangka melalui imigresen menggunakan sistem kod QR.

RTS Link, yang mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, disasarkan beroperasi menjelang akhir 2026.

ICA mengumumkan langkah itu menyusuli lonjakan penggunaan kod QR di pusat pemeriksaan darat.

Sejak diperkenalkan pada Mac 2024, sistem kod QR telah digunakan oleh 134 juta pengembara di Tuas dan Woodlands.

Menjelang Disember 2025, 60 peratus penumpang bas menggunakan kod QR, meningkat berbanding 28 peratus pada Januari.

Penggunaan dalam kalangan penunggang motosikal juga melonjak kepada 57 peratus berbanding 32 peratus sebelumnya.

Bagi pemandu kereta pula, kadar penggunaan kekal tinggi pada 69 peratus, sedikit naik berbanding 68 peratus pada Januari 2025.

ICA mempergiat usaha pendidikan awam melalui video, papan tanda digital dan poster, selain menempatkan pegawai untuk membantu pengguna.

Lebih banyak inisiatif akan diperkenalkan pada 2026, termasuk sistem automatik untuk kereta, motosikal dan kenderaan kargo. Pengecaman wajah juga akan menggantikan cap jari bagi penunggang dan pembonceng motosikal.

Beberapa lorong kereta di Woodlands akan dinaik taraf menjadi lorong khas untuk motosikal automatik.

Penduduk Singapura dan pelawat asing yang bertolak dari Singapura kini boleh menggunakan biometrik wajah dan iris tanpa pasport atau kod QR.

Sistem ini dilaksanakan di Lapangan Terbang Changi dan Pusat Pelayaran Marina Bay pada 2024, serta diperluas ke Terminal Feri Tanah Merah dan Lapangan Terbang Seletar menjelang Julai 2025.

ICA berkata tumpuan pegawai kini lebih kepada penilaian risiko dan siasatan.

Jumlah warga asing yang ditolak masuk meningkat 38 peratus kepada 45,700 kes pada 2025 setelah dinilai sebagai berpotensi menimbulkan ancaman, termasuk bekerja secara haram, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, atau menjejas keselamatan negara.

Kes barangan larangan turut meningkat kepada 57,400 pada 2025 berbanding 43,900 pada 2024, dengan peningkatan 30.6 peratus cubaan penyeludupan yang digagalkan.

Pegawai turut mengesan 223 kes penggunaan pelbagai identiti.

Seramai 538 pesalah imigresen ditahan pada 2025, manakala tangkapan terhadap pelindung dan majikan pesalah menurun kepada 277 kes, berbanding 389 pada 2024.

Kes perkahwinan palsu merosot kepada 15 orang berbanding 41 pada 2024.

Mengenai isu vape, 667 kes dikesan dengan lebih 350,000 vape dan komponennya dirampas.

ICA menegaskan tindakan keras terhadap penyeludupan vape melalui penguatkuasaan dan kerjasama rapat dengan agensi lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg