Trafik dijangka amat sesak di semua pusat pemeriksaan darat 13-22 Mac
Trafik dijangka amat sesak di semua pusat pemeriksaan darat 13-22 Mac
Para pelawat yang menuju ke Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas dari 13 hingga 22 Mac dijangka berdepan keadaan “trafik amat sesak”, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 9 Mac.
Keadaan itu berikutan cuti sekolah Mac, Hari Raya Puasa yang jatuh pada 21 Mac, serta pemeriksaan keselamatan yang dipertingkatkan.
ICA, sebelum ini, mengumumkan langkah mempertingkatkan pemeriksaan di pusat pemeriksaan berikutan situasi keselamatan sejagat yang semakin meruncing menyusuli perkembangan terkini di Timur Tengah.
Menurut ICA, pelawat boleh menjangkakan masa menunggu lebih lama untuk melepasi imigresen dan dinasihatkan agar menyemak keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan.
Kemas kini trafik di pusat pemeriksaan darat boleh disemak di laman web, One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), serta akaun Facebook dan X ICA.
Dalam kenyataan itu, ICA berkata mereka yang melalui pusat pemeriksaan dengan kereta semasa perayaan Tahun Baru Cina dari 13 hingga 19 Februari terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi imigresen pada waktu sibuk.
ICA menambah, lebih tiga juta pelawat melalui pusat pemeriksaan darat sepanjang tempoh tersebut.
Bilangan tertinggi pelawat dicatat pada 13 Februari apabila lebih 565,000 orang melepasi imigresen melalui kedua-dua pusat pemeriksaan pada hari tersebut.
ICA turut menasihatkan para pemandu supaya berhati-hati ketika menghampiri Pusat Pemeriksaan Woodlands berikutan kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang sedang dijalankan di kawasan sekitar.
Pihak berkuasa itu turut menggalak pelawat menggunakan kod QR yang dijana melalui aplikasi mudah alih MyICA untuk melepasi imigresen tanpa perlu menggunakan pasport.
Namun, mereka tetap perlu membawa pasport apabila melakukan perjalanan ke luar negara.
Pelawat yang menggunakan kerusi roda dan kumpulan keluarga sehingga seramai empat orang boleh menikmati pelepasan imigresen lebih pantas menggunakan kod QR di laluan bantuan khas jika mereka melakukan perjalanan dengan bas.
Bagi mereka yang perlu melakukan perjalanan semasa tempoh sibuk ini, ICA menasihatkan supaya mempertimbangkan perkhidmatan bas rentas sempadan bagi mengelak kesesakan.
Para pemandu yang didapati memotong barisan akan diarahkan kembali beratur.
ICA memaklumkan 59 pemandu telah ditangkap kerana melakukan kesalahan berkaitan trafik sepanjang tempoh Tahun Baru Cina dari 13 hingga 17 Februari.

