Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, AS sahkan semula hubungan kukuh dua hala
S’pura, AS sahkan semula hubungan kukuh dua hala
PM Wong terima kunjungan Setiausaha Pertahanan AS, pemimpin negara lain di luar acara Dialog Shangri-La
S’pura, AS sahkan semula hubungan kukuh dua hala
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, mengesahkan semula hubungan kukuh Singapura-Amerika semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Istana pada 29 Mei menjelang Dialog Shangri-La, sidang puncak keselamatan tertinggi Asia.
Pertemuan itu, yang diadakan di Istana, dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo.
Demikian menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Encik Hegseth berada di Singapura dari 29 Mei hingga 30 Mei bagi menghadiri edisi ke-23 Dialog Shangri-La.
Beliau dijadual berucap pada sesi pleno bertajuk, ‘Strategi Keamanan Amerika Syarikat di Indo-Pasifik’ pada 30 Mei.
Semasa pertemuan itu, Encik Wong dan Encik Hegseth turut menarik perhatian tentang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Singapura-Amerika dan mengesahkan semula “perkongsian pertahanan dua hala yang saling menguntungkan dan telah lama terjalin” antara Singapura dengan Amerika, kata Mindef.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik dan isu keselamatan serantau, dan mengulangi komitmen bersama mereka terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
“Setiausaha Hegseth mengesahkan sokongan berterusan Amerika terhadap latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Amerika, dan Encik Wong menekankan sokongan Singapura yang telah lama wujud terhadap kehadiran Amerika di rantau ini,” kata Mindef.
Pada sebelah petang, Encik Hegseth dijamu makan tengah hari oleh Encik Chan di Hotel Shangri-La di mana mereka membincangkan perkembangan keselamatan sejagat dan serantau dan bagaimana kedua-dua negara dapat memperkukuhkan kerjasama pertahanan.
Encik Chan turut merakamkan penghargaan atas sokongan Amerika yang telah lama wujud terhadap latihan SAF di Amerika, serta akses teknologi SAF.
Menurut Mindef, lawatan Encik Hegseth menggariskan kekuatan perkongsian pertahanan dua hala antara Singapura dengan Amerika.
Pada hari yang sama, Encik Chan bertemu Timbalan Perdana Menteri Qatar merangkap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan, Sheikh Saoud Abdulrahman Al Thani.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan mengenai perkembangan di Timur Tengah dan bersetuju tentang kepentingan menegakkan hak dan kebebasan pelayaran di laluan air antarabangsa.
Encik Chan dan Sheikh Saoud juga mengulangi komitmen bersama terhadap keamanan dan kestabilan serantau, dan membincangkan cara memperkukuh hubungan pertahanan, kata Mindef.
Secara berasingan pada 29 Mei, Encik Wong bertemu Menteri Angkatan Tentera Perancis, Cik Catherine Vautrin, yang juga berada di Singapura untuk menghadiri Dialog Shangri-La.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin mengesahkan semula hubungan substantif dan luas antara Singapura dengan Perancis, terutama dalam bidang latihan ketenteraan, teknologi pertahanan dan keselamatan siber.
“Mereka juga bertukar pandangan tentang cabaran keselamatan sejagat dan serantau, dan membincangkan bagaimana kedua-dua pihak dapat memperkukuhkan kerjasama pertahanan,” kata Mindef.
Pertemuan antara Encik Wong dengan Cik Vautrin dibina berdasarkan peristiwa penting yang dicapai pada 2025 apabila Encik Wong dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menaik taraf hubungan dua hala antara kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), kata Mindef.
Seramai 54 wakil peringkat menteri dari 44 negara menghadiri Dialog Shangri-La dari 29 hingga 31 Mei di Hotel Shangri-La.
Dianjurkan Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di London, forum itu merupakan sidang kemuncak pertahanan utama di Asia bagi membincangkan cabaran keselamatan kritikal di rantau Asia-Pasifik.
