Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah tidak teragak-agak ambil tindakan tegas sekat kandungan palsu AI gugat harmoni
Pemerintah tidak teragak-agak ambil tindakan tegas sekat kandungan palsu AI gugat harmoni
Tindakan demi kepentingan negara susulan sekatan 14 hantaran platform China yang cuba pecah belah masyarakat berbilang kaum
Pemerintah tidak teragak-agak ambil tindakan tegas sekat kandungan palsu AI gugat harmoni
Lebih banyak kandungan palsu, termasuk bahan yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI), telah memasuki ruang dalam talian Singapura, dan pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk bertindak sekiranya ia demi kepentingan negara, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming.
Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Neo Kok Beng, mengenai sama ada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang mengkaji semula cara menangani pengaruh luar, berikutan tindakan pemerintah menyekat 14 hantaran dalam talian yang menyasarkan masyarakat India.
Memberikan responsnya, Encik Goh berkata pada 7 Julai ketika Parlimen bersidang, pihak berkuasa sedang memantau ruang maklumat dengan teliti.
Beliau menambah pemerintah turut mengkaji semula undang-undangnya secara berkala bagi memastikan ia kekal “bersesuaian dengan tujuan asalnya” dalam menangani landskap yang sentiasa berkembang.
Dr Neo turut bertanya sama ada rangka kerja semasa, termasuk Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) dan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma), bersifat terlalu reaktif, dan sama ada MHA sedang mempertimbangkan langkah yang lebih proaktif.
Menjawab persoalan itu, Encik Goh berkata terdapat pelbagai langkah yang boleh digunakan setiap kali naratif memecah belah muncul, termasuk pilihan untuk “bertindak di peringkat awal”.
Dalam kes tersebut, beliau berkata hantaran tersebut menyerang asas Singapura sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, dan memandangkan ia berasal daripada sumber asing, adalah penting bagi pemerintah untuk bertindak tegas.
Siasatan menunjukkan kandungan tersebut berkemungkinan berasal daripada sebuah platform yang berpangkalan di China, dan kemudian disebarkan pada platform serta laman web lain.
Apabila ditanya Encik Darryl David (GRC Ang Mo Kio) sama ada kandungan itu diselaraskan oleh mana-mana agensi atau pertubuhan, Encik Goh berkata pada masa ini, tiada bukti menunjukkan ia adalah kempen yang diselaraskan oleh pemerintah atau pertubuhan tertentu.
Sebanyak 14 hantaran atas talian tersebut, yang kebanyakannya dalam bahasa Cina, mendakwa Singapura sedang ‘dibanjiri’ orang India.
Hantaran itu menggunakan imej dan rakaman secara terpilih menunjukkan jalan-jalan sesak di Little India, serta penganut Hindu pada satu perayaan keagamaan di Pagoda Street, bagi menyokong dakwaan palsu mereka.
Selain daripada perundangan, Encik Goh berkata adalah penting juga untuk mendidik orang ramai supaya lebih bijak menilai maklumat.
Beliau memetik laman web SG101, yang menggariskan pendirian Singapura mengenai isu sensitif serta menghimpunkan sumber berkaitan campur tangan asing, sebagai satu tempat di mana orang ramai boleh “lebih memahami pendirian negara kita dan kekal berdaya tahan terhadap sebarang percubaan untuk memecahbelahkan kita”.
Taklimat, dialog dan bengkel turut diadakan untuk pelbagai kumpulan bagi meningkatkan kesedaran mengenai campur tangan asing.
Encik Goh berkata: “Pada akhirnya, penduduk yang bijak menilai maklumat merupakan pertahanan paling penting terhadap sebarang percubaan mempengaruhi atau memecahbelahkan masyarakat kita.
“Kami menggesa rakyat Singapura supaya bijak menilai maklumat semasa, mengguna dan menyebarkan maklumat di atas talian, serta menolak sebarang percubaan untuk memecahbelahkan masyarakat kita.”
