Topik diikuti
Pergi ke BHkuSim Ann: S’pura ambil pendekatan khusus kawal selia dalam talian, tumpu kepentingan nasional
Sim Ann: S’pura ambil pendekatan khusus kawal selia dalam talian, tumpu kepentingan nasional
Beliau tekankan pentingnya punyai masyarakat yang termaklum serta sentiasa berwaspada terhadap kandungan mencurigakan
Sim Ann: S’pura ambil pendekatan khusus kawal selia dalam talian, tumpu kepentingan nasional
Singapura mengambil pendekatan seimbang dalam menangani jumlah maklumat dalam talian yang banyak, dengan menumpukan usaha pengawalan secara ketat pada isu-isu yang memberi kesan kepada kepentingan nasional dan awam.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, berkata demikian ketika bercakap sebagai ahli panel dalam forum bertajuk ‘Holding the Centre: Navigating Online Polarisation’ yang berlangsung di Temasek Shophouse pada 13 Jun.
Sambil menarik perhatian bahawa adalah mustahil untuk mengawal selia segala-galanya di alam siber, Cik Sim menekankan pentingnya mempunyai masyarakat yang termaklum serta sentiasa berwaspada terhadap kandungan mencurigakan yang mungkin tidak sejajar dengan kepentingan negara.
Forum tersebut dihadiri sekitar 100 orang awam yang turut menyertai perbincangan berkumpulan mengenai polarisasi dalam talian dan maklumat salah di platform digital.
Cik Sim memetik Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) sebagai langkah yang membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan notis pembetulan kepada pihak yang menyebarkan kenyataan yang mengelirukan.
“Kami menerima bahawa terdapat pandangan subjektif mengenai banyak perkara,” katanya sambil menambah bahawa ia akan menimbulkan masalah jika sesuatu kenyataan fakta dipersoal dan tidak disahkan kebenarannya.
Pengarah Urusan Black Dot, Encik Nicholas Fang, pula berkata usaha untuk mendapatkan maklumat yang tepat boleh dicabar oleh algoritma media sosial.
Menurut beliau, algoritma sedemikian sering kali dibina untuk menggalak kandungan yang meraih perhatian dan melampau demi mengekalkan pengguna di platform berkenaan.
Pendekatan itu sering membawa kepada polarisasi dan penyebaran maklumat salah.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa pihak berkuasa tidak boleh mengambil pandangan yang keterlaluan terhadap syarikat media sosial, memandangkan kehadiran mereka sebagai entiti komersial di Singapura.
Salah seorang peserta bertanyakan ahli panel sama ada pihak berkuasa mengambil sebarang tindakan terhadap fenomena ‘manosphere’, iaitu masyarakat dalam talian yang menggalak kelelakian dan ‘ketuanan lelaki’ (male supremacy).
Penganalisis Kanan di Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR), Encik Saddiq Basha, akur terdapat kebanjiran kandungan sedemikian yang boleh menyebabkan golongan lelaki tertarik kepada idea-idea tersebut, malah mendorong ke arah keganasan.
Beliau menarik perhatian golongan belia yang melakonkan watak sebagai anggota ISIS dalam permainan.
Encik Fang menambah bahawa pengguna lebih muda mungkin belum dilengkapi dengan kecekapan untuk mengendalikan kandungan eksplisit sedemikian.
Ditanya oleh seorang peserta sama ada pemerintah sedang bekerjasama dengan syarikat media sosial bagi menangani kesan buruk algoritma yang boleh memburukkan lagi polarisasi dalam talian, Cik Sim berkata buat masa ini terdapat rangka kerja sedia ada untuk mengenal pasti individu yang telah menjadi radikal.
Beliau menambah bahawa kejayaan ini juga hasil usaha masyarakat dan ahli keluarga individu terbabit, yang berupaya mengenal pasti tanda-tanda radikalisasi dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Semasa perbincangan panel itu, Cik Sim berkata pemerintah juga sedang mempelajari impak media sosial untuk melihat apa yang boleh dilakukan untuk melindungi generasi muda daripada bahaya yang mungkin timbul.
Encik Saddiq berkata selain celik media, adalah penting bagi golongan muda untuk menjalin hubungan dengan orang di sekeliling mereka.
“Saya banyak menemui insiden yang mencetuskan polarisasi, konflik dan peperangan. Perkara pertama yang saya lakukan adalah mendekati dan berbual dengan rakan-rakan rapat serta ahli keluarga, dan bertanya kepada mereka apa pendapat mereka mengenainya,” katanya.
Encik Fang berkata polarisasi mungkin tidak hanya berpunca daripada perbezaan pendapat, tetapi daripada pihak berniat jahat yang cuba mempengaruhi masyarakat.
Merujuk kepada catatan dalam talian yang diarah untuk diturunkan oleh pihak berkuasa baru-baru ini kerana menyasarkan masyarakat India, Encik Fang berkata pihak yang berniat jahat tahu di mana terletaknya kelemahan masyarakat.
“Mereka sedang mencuba untuk melihat apakah kesan perkara ini terhadap masyarakat kita,” katanya.
