Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemilik firma pembersihan didakwa atas pelbagai kesalahan pekerjaan

Jan 9, 2025 | 5:48 PM
MOM berkata selain menjadi pemilik tunggal Xpress Cleaning & Service, Qin juga pengarah dua syarikat lain.
MOM berkata selain menjadi pemilik tunggal Xpress Cleaning & Service, Qin juga pengarah dua syarikat lain. - Foto ST

Seorang pemilik tunggal sebuah syarikat pembersihan didakwa menggajikan dua pekerja secara haram selain menerima wang untuk mendapatkan pas kerja bagi 20 warga asing.

Pada 9 Januari, Qin Xiaoxi, 30 tahun, dikenakan sebanyak 23 tuduhan, termasuk 20 tuduhan berkaitan pengambilan pekerja secara haram, lapor The Straits Times.

Daripada baki tiga tuduhan, dua melibatkan menggaji pekerja secara haram dan satu lagi melibatkan pernyataan palsu mengenai pekerjaan.

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 9 Januari, selain menjadi pemilik tunggal Xpress Cleaning & Service, Qin juga pengarah dua syarikat lain, iaitu Xpress Manufacture dan Express Manufacture, yang tidak beroperasi.

Dari Mei hingga September 2022, Qin didakwa mendapatkan pas kerja untuk 20 warga asing yang bekerja di dua syarikat tersebut dengan menerima bayaran.

MOM berkata warga asing itu bagaimanapun tidak bekerja dengan kedua-dua syarikat tersebut selepas tiba di Singapura.

Qin juga didakwa membuat pernyataan palsu dalam permohonan S-Pass pada atau sekitar 3 Februari 2022, dengan menyatakan bahawa seorang lagi warga asing akan diambil bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Xpress Manufacture, walaupun dia tidak berhasrat mengambil warga asing tersebut untuk jawatan itu.

Antara Jun dengan Disember 2022, Qin turut didakwa menggajikan dua warga asing tanpa pas kerja yang sah untuk bekerja di Xpress Cleaning & Service.

Oleh kerana syarikat itu tidak mempunyai kuota untuk menggajikan lebih ramai pekerja asing, kedua-dua pekerja tersebut memperoleh pas kerja melalui Xpress Manufacture dan Express Manufacture.

Menurut dokumen mahkamah, salah seorang pekerja didakwa bekerja sebagai pemandu untuk Xpress Cleaning & Service, manakala seorang lagi bertugas sebagai eksekutif pentadbiran di syarikat tersebut.

MOM menambah, siasatan terhadap warga asing yang terlibat dalam kesalahan yang dinyatakan masih dijalankan.

Kes Qin ditangguhkan ke 6 Februari.

MOM turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pekerjaan yang mencurigakan, seperti warga asing yang memperoleh pas kerja secara haram atau bekerja tanpa pas kerja yang sah, supaya melaporkan perkara itu melalui perkhidmatan eService MOM di pautan berikut: https://www.mom.gov.sg/eservices/services/report-an-infringement

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg