Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majikan tidak boleh diskriminasi terhadap bangsa, jantina

Tindakan jadi perbuatan menyalahi undang-undang, jika Parlimen luluskan Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja
Jan 7, 2025 | 8:14 PM
Di bawah Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja, majikan tidak boleh mendiskriminasi pekerja dan pencari kerja berdasarkan lima kumpulan ciri – usia; kerakyatan; jantina, status perkahwinan, kehamilan dan tanggungjawab penjagaan; kaum, agama dan bahasa; dan ketidakupayaan serta keadaan kesihatan mental.
Di bawah Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja, majikan tidak boleh mendiskriminasi pekerja dan pencari kerja berdasarkan lima kumpulan ciri – usia; kerakyatan; jantina, status perkahwinan, kehamilan dan tanggungjawab penjagaan; kaum, agama dan bahasa; dan ketidakupayaan serta keadaan kesihatan mental. - Foto ST

Langkah mendiskriminasi pekerja dan pencari kerja berdasarkan lima kumpulan ciri – seperti bangsa, usia, ketidakupayaan dan jantina – akan menjadi satu perbuatan yang menyalahi undang-undang, sekiranya satu perundangan keadilan di tempat kerja baru diluluskan Parlimen.

Lima kumpulan ciri itu membentuk lebih 95 peratus daripada aduan diskriminasi yang diterima Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dalam bacaan kedua Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja di Parlimen pada 7 Januari.

Rang undang-undang itu, yang diperkenalkan di Parlimen pada November 2024, bertujuan mempertingkat perlindungan terhadap diskriminasi di tempat kerja, sementara memelihara norma tempat kerja yang adil dan harmoni.

Ia antara dua rang undang-undang yang akan membentuk perundangan keadilan di tempat kerja baru.

Rang kedua bakal dibentangkan pada 2025 dan akan menjelaskan prosedur bagi tuntutan terhadap diskriminasi serta memerlukan pindaan kepada Akta Tuntutan Pekerjaan.

Jika kedua-dua rang itu diluluskan, perundangan keadilan di tempat kerja baru itu akan dilaksanakan pada 2026 atau 2027.

Dr Tan berkata buat masa ini, aduan diskriminasi di tempat kerja ditangani di bawah Garis Panduan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP) melalui Tafep.

Bagaimanapun, Singapura berdepan isu penduduk semakin menua dan cabaran ekonomi.

Di tengah-tengah realiti demografi dan ekonomi itu, Dr Tan berkata tenaga kerja asing yang saling melengkapi tenaga kerja tempatan kekal penting untuk kejayaan ekonomi yang berterusan serta memastikan pekerjaan dan gaji yang baik untuk penduduk tempatan.

“Namun, kami juga jelas bahawa faedah ini hanya akan dinikmati (accrue) rakyat Singapura jika terdapat peluang sama rata yang menghalang amalan diskriminasi. Ini membolehkan semua pekerja merebut peluang dalam ekonomi bertenaga kita.

“Oleh itu, meskipun kita telah membuat kemajuan, kita tidak boleh mengambil ringan keadaan tempat kerja kita yang umumnya harmoni dan adil.

“Sebaliknya, kita harus mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan pekerja dan pencari kerja di Singapura terus diberi jaminan layanan adil di tempat kerja,” kata beliau.

Dr Tan menambah, Singapura sebuah negara meritokrasi dan majikan perlu menggajikan dan menilai pekerja berdasarkan kebolehan mereka untuk melakukan tugas dengan baik.

Setiap pekerja juga harus mempunyai peluang membangunkan potensi mereka, tanpa keputusan pekerjaan terjejas oleh bias diskriminasi, tambah beliau.

Rang undang-undang itu menjadikan diskriminasi berdasarkan lima kumpulan ciri – usia; kerakyatan; jantina, status perkahwinan, kehamilan dan tanggungjawab penjagaan; kaum, agama dan bahasa; dan ketidakupayaan serta keadaan kesihatan mental – satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Majikan tidak boleh memilih untuk tidak menggajikan seseorang, memberikan penilaian prestasi lemah, menafikan kenaikan pangkat atau peluang latihan, atau memecat pekerja berdasarkan ciri-ciri yang disebutkan di atas.

Syarikat juga dilarang mempunyai polisi atau mengeluarkan iklan kerja yang mendiskriminasi berdasarkan lima kumpulan ciri itu.

Contohnya, majikan tidak boleh diskriminasi terhadap pekerja berdasarkan usia mereka, sama ada muda atau tua.

“Misalnya, majikan tidak boleh anggap bahawa individu lebih tua kurang kuat dari individu muda untuk melakukan tugas manual…

“Disebabkan penduduk kita yang semakin menua, kita perlu memperkasa pekerja warga emas untuk menyumbang kepada tenaga kerja kita jika mereka mahu, selagi mereka kekal produktif dan terus belajar dan memperbaharui kemahiran mereka,” kata Dr Tan.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu memberi ruang untuk memastikan majikan tetap fleksibel untuk membuat keputusan berdasarkan keperluan perniagaan yang tulen.

Misalnya, syarikat keselamatan boleh mempertimbangkan sama ada seorang pegawai yang didiagnos dengan kemurungan tetapi tidak dirawat, boleh membawa senjata api demi keselamatan orang.

Antara lain, kumpulan agama mempunyai fleksibiliti untuk ambil pekerja bagi peranan berkaitan agama, seperti imam dan paderi, dan peranan berkaitan pengendalian institusi agama.

Rang undang-undang itu turut memerlukan majikan melaksanakan proses menangani aduan diskriminasi, dan menyediakan perlindungan lebih kukuh daripada tindak balas terhadap pekerja yang tampil ke hadapan untuk mengutarakan aduan.

Dr Tan berkata apabila pekerja membuat aduan, syarikat perlu menyiasat dan menyemak kes itu dan memaklumkan hasilnya kepada pekerja.

Syarikat juga perlu melindungi kerahsiaan pekerja setakat yang boleh sepanjang proses tersebut.

Majikan juga dilarang daripada bertindak balas terhadap pekerja yang membuat aduan dan tuntutan.

“Mesejnya jelas: kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap majikan yang bertindak balas terhadap mereka yang mengetengahkan aduan yang sah, dan pekerja harus rasa selamat untuk mengutarakannya.

“Selain perlindungan undang-undang rasmi ini, MOM dan Tafep akan meneruskan usaha pendidikan jangka panjang kami agar majikan dan pekerja melihat nilai mengekalkan komunikasi dan sikap terbuka,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg