Aroma oud, kasturi, dan bunga-bungaan pasti menyapa pengunjung yang melangkah ke dalam tiga cawangan kedainya yang terletak di Bussorah Street dan North Bridge Road.
Perniagaan warisan yang telah bertapak di Singapura hampir 100 tahun, Jamal Kazura Aromatics, seakan menjadi salah satu ‘mercu tanda’ di kawasan Kampong Gelam.
Bagi pemilik generasi ketiga, Encik Samir Kazura, botol kaca yang berderet di hadapan kedainya itu bukan sekadar mengandungi minyak wangi, malah menyimpan sejarah serta legasi keluarganya yang ingin diteruskan.
Encik Samir, 42 tahun, akur usaha tersebut – untuk memastikan perniagaannya dapat terus menyesuaikan diri dengan peredaran masa serta tingkah laku pengguna yang kian berubah – semakin hari semakin mencabar.
Beliau sedar perniagaan turun-temurun seperti yang dikendalikannya tidak boleh hanya bergantung kepada produk serta nostalgia dan sejarah semata-mata.
Sebaliknya, ia memerlukan gabungan tradisi dan inovasi serta kesediaan untuk membimbing generasi baru dalam seni yang semakin kurang diberi perhatian.
Menurutnya, terdapat tiga perkara yang ditekankan dalam usaha memastikan perniagaannya terus mekar: kerelevanan, hormat dan hubungan.
“Kita perlu berani berkembang dan faham gaya hidup pelanggan hari ini, sesuaikan diri tanpa hilang identiti kita sebenar. Hormat pula bermaksud kita perlu setia dengan akar tradisi, setiap resipi, ramuan, teknik yang diturunkan datuk dan ayah saya membawa sebahagian daripada sejarah kami. Menjaga seni pembuatan dan etika itu yang memastikan keaslian kami kekal.
“Akhir sekali, hubungan dengan pelanggan, artisan, pembekal dan terutama sekali keluarga, semua perlu dijaga dengan baik,” ujarnya.
Meskipun tetap percaya dengan teknik tradisional, perniagaan itu kini menerajui pendekatan kontemporari, mencipta profil haruman moden, berkongsi di media sosial dan memperkenal varian lebih ‘ringan’ yang sesuai gaya hidup masa kini.
Beliau juga menyesuaikan pemasaran produknya kerana bagi ramai anak muda, minyak wangi tradisional atau minyak atar sesuatu yang asing dan baunya terlalu ‘berat’ berbanding minyak wangi komersial lain.
“Pendekatan saya bukan untuk terus yakinkan mereka, tapi secara perlahan tarik mereka masuk, bermula dengan perkongsian kisah di sebalik setiap minyak wangi – dari mana datang bahannya, apa maknanya dalam budaya kita, dan bagaimana ia terikat kepada emosi dan memori kita.
“Apabila mereka faham minyak atar ini bukan sekadar bau tetapi sebahagian daripada sejarah dan seni, pandangan mereka berubah. Mereka mula lihatnya lebih daripada hanya produk dalam botol kaca,” katanya.
Menyedari kehalusan seni membuat minyak wangi sukar dipelajari melalui buku, beliau kini membuka ruang kepada pelajar dan peminat untuk mempelajari seni tersebut.
Matlamatnya ialah mewujudkan program yang dapat membangun bakat seterusnya, dengan gabungan ilmu tradisional dan pendekatan moden.
Beliau berharap lebih banyak sokongan jangka panjang diberikan kepada penggiat seni tradisional, bukan sekadar melalui bantuan kewangan, malah melalui pengiktirafan bahawa kraf tersebut merupakan sebahagian daripada identiti Singapura.
Encik Samir turut mencadangkan supaya program diadakan bagi membantu menghubungkan generasi muda dengan penggiat seni tradisional – termasuk pembuat minyak atar, pelukis batik dan pengukir kayu – supaya mereka dapat mempelajari dan menghargai kraf tradisional itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg