Perniagaan warisan membentuk sebahagian penting fabrik budaya dan sosial Singapura.
Ia juga kian mendapat perhatian pemerintah di bawah Pelan Warisan SG Kita 2.0, yang bertujuan melindungi identiti budaya dan warisan Singapura, serta menyokong ekosistem warisan yang lebih luas di sini.
Namun, usaha untuk terus menyesuaikan diri dan kekal relevan dalam persekitaran moden kini terbukti semakin mencabar bagi pengusaha perniagaan warisan.
Cita rasa pelanggan yang semakin berubah serta kekurangan pelapis untuk meneruskan legasi keluarga merupakan antara cabaran utama yang dihadapi.
Tambahan lagi, usaha mengimbangi kerelevanan dan mengekalkan elemen warisan juga semakin sukar, menurut beberapa pemilik perniagaan warisan yang ditemu ramah Berita Minggu (BM).
Pengarah urusan dan pemilik generasi ketiga Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, memberitahu BM bahawa kesinambungan perniagaan keluarganya itu tidak datang dengan mudah.
Antara cabaran terbesar yang dihadapi perniagaannya yang sudah bertapak di Arab Street sejak tahun 1950-an itu adalah dari segi operasi dan cara menarik pelanggan muda.
“Nasi padang di Singapura sekarang sangat generik dan tidak menawarkan hidangan padang seperti apa restoran padang hidangkan.
“Kadangkala anak-anak muda sekarang tidak tahu apa nasi padang asli.
“Jadi cara kami mendekati mereka dan mengajar mereka tentang makanan dan budaya kita juga adalah penting,” ujarnya.
Selain cabaran operasi, masalah kurangnya pelapis turut menjadi hambatan bagi perniagaan warisan.
Pengurus besar Halijah Travel yang sinonim dengan perjalanan haji dan umrah sejak 1970-an, Encik Haffidz Abdul Hamid, mengakui beliau kini menghadapi kesukaran mencari generasi baru untuk teruskan legasi keluarga.
Katanya, minat anak muda untuk melanjutkan perniagaan yang bersejarah agak kurang.
“Saya ada anak saudara yang sudah mula mahu belajar tentang perniagaan.
“Tetapi saya masih belum tahu sekiranya beliau nak teruskan perniagaan dan legasi syarikat pelancongan ini,” katanya yang telah mengambil alih urusan syarikat itu bersama abangnya setelah kakaknya, Hajah Halijah Abdul Hamid, meninggal dunia pada 1997.
Sementara itu, di Kedai Buku Haji Hashim yang berusia lebih seabad, perubahan tabiat membaca menjadi keprihatinan utama.
Pengurus dan pemilik generasi keempat, Encik Mohd Zaki Abdul Aziz, berkata beliau terpaksa mencari cara lain untuk menarik pelanggan ketika minat terhadap buku fizikal semakin berkurangan.
“Ramai sekarang lebih selesa membeli buku secara dalam talian atau membaca e-book.
“Jadi kami harus mencari pendekatan lain agar kedai ini bukan sekadar menjadi sejarah saja tetapi dapat menjadi legasi yang diteruskan dalam 100 tahun akan datang,” katanya.
Kini perniagaan itu menawarkan barangan keperluan harian lain untuk terus kekal relevan.
Di sebalik cabaran yang dihadapi, perniagaan warisan merupakan nadi penting kepada identiti negara, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB).
Menurut NHB, usaha mengekalkan perniagaan sebegini bukan sekadar soal ekonomi, tetapi tentang memelihara memori dan nilai bersama masyarakat.
“Perniagaan warisan adalah cerminan warisan kaya dan pelbagai di Singapura.
“Ia mewarisi kemahiran, hasil tangan dan adat dari generasi ke generasi serta menjadi tunjang masyarakat,” kata NHB.
Melalui pelancaran Skim Perniagaan Warisan SG baru-baru ini, NHB mengiktiraf perniagaan warisan yang mempunyai kepentingan budaya dalam masyarakat.
Meskipun terdapat sokongan pemerintah untuk membantu perniagaan warisan, NHB turut menekankan pentingnya sokongan masyarakat.
“Kami berharap masyarakat dapat mengurangkan jurang antara penghargaan dan tindakan dengan terus menyokong dan mempromosikan perniagaan warisan tempatan.”
“Kami ingin membina ekosistem yang membolehkan perniagaan warisan berkembang – agar kisah, rasa dan hasil tangan mereka terus hidup untuk generasi seterusnya,” kata NHB.
Di bawah skim ini, tumpuan telah diberikan kepada kawasan tengah Singapura.
Ditanya sekiranya skim tersebut akan ditawarkan kepada lebih banyak perniagaan warisan keliling Singapura, NHB berkata ini bergantung kepada hasil percubaan sedia ada.
“Matlamat jangka panjang kami adalah untuk Skim Perniagaan Warisan SG untuk berkembang menjadi usaha seluruh negara yang mengiktiraf dan memartabatkan perniagaan warisan di seluruh Singapura,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg