Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Generasi baru teruskan warisan Kedai Buku Haji Hashim

Nov 2, 2025 | 5:30 AM
Kedai Buku Haji Hashim, Zaki Abdul Aziz, abdul aziz yusof
Sebagai anak tunggal kepada Encik Abdul Aziz Yusof, pemilik generasi ketiga, Encik Zaki Abdul Aziz akan meneruskan warisan perniagaan ini sebagai pengurus dan pemilik generasi keempat kedai tersebut. - Foto BM oleh KHALID BABA

Lebih seabad telah berlalu sejak Kedai Buku Haji Hashim mula membuka pintunya kepada pencinta ilmu dan buku Islam di Singapura.

Walaupun ia telah menjadi kedai sehenti bagi kebanyakan orang dalam masyarakat, hala tuju perniagaan keluarga itu sering dipersoalkan.

Ini terutama sekali dengan perubahan tabiat membaca di kalangan masyarakat.

Namun, di sebalik rak-rak buku dan naskhah lama yang masih tersusun kemas, hadir generasi baru yang meneruskan legasi - Encik Zaki Abdul Aziz, 31 tahun, kini memikul amanah keluarga.

Sebagai anak tunggal kepada Encik Abdul Aziz Yusof, pengurus dan pemilik generasi ketiga, Encik Zaki berkata keputusan untuk mengambil alih bukanlah sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa.

Pemilik generasi keempat itu berkata ia lahir daripada rasa tanggungjawab dan sayang terhadap warisan keluarganya.

“Saya mula ‘bekerja’ di kedai ini sejak saya di sekolah rendah lagi.

“Saya lihat bagaimana bapa dan datuk saya melayan pelanggan dengan penuh mesra.

“Dari situ saya sedar bahawa kedai ini bukan sekadar tempat menjual buku tetapi, ia adalah ruang di mana orang ramai mendapat ilmu dan juga meningkatkan pengetahuan dengan buku-buku yang ditawarkan,” jelasnya.

Diasaskan pada 1922, Kedai Buku Haji Hashim telah menyaksikan perubahan pesat Singapura, lebih-lebih lagi sejak kemerdekaan negara ini pada 1965.

Kedai Buku Haji Hashim bermula di Arab Street dan membuka cawangan di Geylang Serai pada 1960.

Kedai di Geylang Serai kemudiannya berpindah ke Joo Chiat Complex pada 1984 sementara cawangan di Onan Road ditutup.

Kini didaftar sebagai Haji Hashim Enterprise, perniagaan ini diteruskan generasi seterusnya.

Sejak pengasasnya, Encik Hashim Abdullah meninggal dunia pada 1968, anaknya, Encik Yusof Hashim meneruskan pengurusan kedai di Geylang Serai dan juga cawangan di Onan Road sebelum berpindah ke Joo Chiat Complex.

Selepas Encik Yusof meninggal dunia pada 2009, anaknya Encik Aziz mengambil alih.

Walaupun Encik Aziz, bapa kepada dua orang anak itu bersemangat untuk meneruskan perniagaan warisan ini, beliau memahami terdapat cabaran yang beliau menghadapi.

Antaranya termasuk menarik minat pembaca muda yang kini lebih cenderung menggunakan bahan bacaan digital.

Demi mengatasi cabaran tersebut, Encik Zaki berusaha untuk menawarkan bahan bacaan yang sedia ada di wadah e-dagang seperti Shopee untuk mendekati generasi anak muda serta golongan ibu bapa muda.

“Ramai pelanggan lama yang masih datang ke kedai kami kerana nostalgia.

“Tapi dengan wadah e-dagang ini, kami dapat menarik perhatian generasi muda dengan cara yang baru dan memberi peluang kepada mereka untuk akses bahan bacaan kami dengan lebih muda,” katanya yang mula menawarkan khidmat ini sejak awal 2025.

Bagi Encik Zaki, meneruskan perniagaan ini bukan hanya tentang menjaga nama keluarga, tetapi juga satu bentuk dakwah.

“Ramai masih datang mencari buku agama, bukan sekadar membeli, tetapi untuk memahami dan mendalami ilmu

“Bagi saya ini adalah perkara yang saya harap dapat teruskan kerana saya lihat peranan kedai buku kecil kita memainkan dalam masyarakat,” ujar lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang sains politik.

Selain daripada usaha beliau sendiri untuk meneruskan legasi perniagaan warisan, Encik Zaki berharap pemerintah juga dapat menyokong perniagaan warisan seperti beliau pada masa hadapan.

“Kedai buku kami dan banyak perniagaan warisan lain mempunyai sejarah yang mungkin tidak diketahui oleh sesetengah pihak.

“Jika kita boleh bekerjasama dengan pemerintah untuk mengadakan lawatan warisan, saya fikir ia akan membantu kita dikenali generasi akan datang dan meneruskan legasi kita,” katanya dengan penuh harapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg