Kebakaran yang berlaku di sebuah kedai kopi di Bukit Batok pada pagi 11 Oktober dijangka menyebabkan gerai makanan Barat halal, Fatty Bom Bom, mengalami kerugian hasil pendapatan antara $50,000 dengan $80,000, demikian menurut pemilik rangkaian berkenaan, Encik Ken Tan.

Antara gerai makanan lain yang terjejas ialah Nurul Delights, L&M Seafood dan Al Madina.

Seramai 30 penduduk pula terpaksa dipindahkan dengan seorang dikejarkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) ketika menjawab soalan Berita Harian (BH).

SCDF menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di situ pada 3.50 pagi. Kebakaran itu menjejas tiga gerai makanan.

Pegawai SCDF terpaksa masuk secara paksa ke dalam kedai kopi berkenaan dan memadamkan kebakaran menggunakan dua jet air.

Punca kebakaran sedang disiasat, tambah SCDF.

Semasa BH melawat lokasi kejadian pada 12 Oktober antara 1.30 dengan 3 petang, keseluruhan kedai kopi itu kelihatan terjejas dan tidak beroperasi.

Kawasan kedai kopi itu dikepung oleh tali garisan, dengan sebahagian besar ruang dalamnya diselaputi debu hitam.

Terdapat juga jubin yang retak akibat kebakaran tersebut.

Tiga gerai rentung di kedai kopi yang terbakar itu.
Tiga gerai rentung di kedai kopi yang terbakar itu. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Ketika dihubungi BH, Encik Tan berkata tiada petugas Fatty Bom Bom yang berada di kedai kopi itu semasa kebakaran berlaku.

Mereka dibenarkan kembali ke kedai kopi itu oleh SCDF pada sekitar 8 pagi pada 11 Oktober setelah kebakaran dikawal, kongsi Encik Tan.

“Ini benar-benar merupakan kejadian mengecewakan, namun ia sesuatu yang di luar kawalan kami,” katanya.

Beliau amat bersyukur mereka mempunyai insurans untuk melindungi ruang perniagaan serta pekerja mereka, walaupun tiada petugas Fatty Bom Bom cedera.

Fatty Bom Bom antara gerai makanan yang terjejas oleh kebakaran di kedai kopi terletak di Blok 413 Bukit Batok West Avenue 4 pada 11 Oktober. BH melawat kedai kopi berkenaan pada 12 Oktober.
Fatty Bom Bom antara gerai makanan yang terjejas oleh kebakaran di kedai kopi terletak di Blok 413 Bukit Batok West Avenue 4 pada 11 Oktober. BH melawat kedai kopi berkenaan pada 12 Oktober. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Turut meluahkan rasa sedih atas kebakaran itu ialah peniaga generasi kedua rangkaian gerai makanan Nurul Delights, Encik Mohamed Fadli Basir.

Dari segi kewangan, beliau menganggarkan gerai itu mengalami kerugian antara $4,000 hingga $6,000 akibat kerosakan bahan mentah serta peralatan yang rosak.

Ini sebelum mengambil kira kerugian hasil pendapatan daripada tidak dapat beroperasi buat sementara ini.

Ketika dihubungi BH, beliau yang berusia 47 tahun berkata:

“Saya memang terkejut dan sedih… Kami bukan sekadar rugi hasil pendapatan, tetapi ramai pelanggan sudah biasa dengan gerai kami di situ.

“Pendapatan pekerja kami turut terjejas dan saya rasa bersalah kerana sumber mata pencarian mereka terjejas (buat masa ini),” kata Encik Fadli, yang mengendalikan beberapa cawangan Nurul Delights.

Namun, beliau bersyukur kerana kebakaran itu tidak meragut sebarang nyawa.

Buat masa ini, kededua Encik Tan dan Encik Fadli dimaklumkan oleh pengendali kedai kopi itu, O2 Cafe, bahawa mereka mungkin dapat beroperasi semula setelah tempoh sehingga sebulan, setelah kerja pengubahsuaian dijangka selesai.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak polis dan SCDF memindahkan kira-kira 30 orang dari blok yang terjejas itu pada 11 Oktober.

Antara yang dipindahkan ialah Cik Halipah Kadir, yang merupakan ibu kepada Encik Fadli.

Cawangan Nurul Delights di Blok 413, Bukit Batok West Avenue 4, adalah yang pertama, dan telah dibuka oleh Cik Halipah dan suaminya, Encik Basir Sujari pada 2001.

Encik Fadli telah mengendalikan gerai itu bersama ibunya sejak cawangan yang terjejas itu dibuka.

Ketika ditemui BH di flatnya yang terletak di tingkat dua, Cik Halipah berkata beliau dikejutkan oleh jiran pada sekitar 3 pagi mengenai kebakaran tersebut.

Beliau dibawa ke tempat letak kereta berhampiran dengan blok 413 selama sekitar satu jam sebelum mereka dibenarkan kembali ke flat masing-masing.

Meskipun melalui situasi itu, Cik Halipah kelihatan tenang dan ditemani beberapa ahli keluarga yang hadir menziarahinya bagi bertanyakan khabar serta memantau keadaannya.

Sebuah kedai runcit bersebelahan, Nurul Pasar Mini, tidak terjejas dalam kebakaran tersebut, kata pemiliknya, Encik Fahzil Roslan.

Beliau tiba di kedai runcit miliknya sekitar 4.15 pagi pada 11 Oktober lalu untuk memantau keadaan.

Pada kira-kira 4.45 pagi, beliau dibenarkan masuk ke dalam premisnya.

Sebuah kedai runcit bersebelahan, Nurul Pasar Mini, tidak terjejas dalam kebakaran tersebut, kata pemiliknya, Encik Fahzil Roslan. 
Sebuah kedai runcit bersebelahan, Nurul Pasar Mini, tidak terjejas dalam kebakaran tersebut, kata pemiliknya, Encik Fahzil Roslan.  - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL