Pemilik tunggal sebuah kedai konsainan di Shenton Way yang menjual beg mewah bagi pihak pemiliknya menyeleweng hampir $140,000 daripada lima mangsa.

Ringga Dwi Rizky Irianto, 36 tahun, yang mengendalikan West Closet di OUE Downtown Gallery, telah membayar balik $41,000 dan dihukum penjara lapan bulan pada 13 Ogos.

Dia turut diperintahkan membayar pampasan $91,950 kepada mangsa melalui pegawai penyiasat, atau dipenjara tambahan 24 hari jika gagal membayarnya.

Pesalah warga Indonesia itu mengaku bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah melibatkan tiga mangsa dan $108,000.

Dua lagi tuduhan dikaitkan mangsa lain dan baki wang terbabit turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

West Closet mengiklankan perkhidmatannya di Carousell dan media sosial seperti Instagram.

Pelanggan perlu menyerahkan beg untuk dijual selama 60 hari atau dikenakan penalti $60 jika mengambilnya lebih awal.

West Closet mengambil antara $200 hingga $900 daripada hasil jualan, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Darren Sim.

Pada 2 Julai 2022, seorang mangsa menyerahkan tiga beg, dua Hermes dan satu Chanel, secara konsainan dan dijamin menerima $51,000 jika semuanya terjual.

Mangsa dijamin bayaran akan disalurkan ke akaun banknya dalam tujuh hari selepas jualan.

Ringga kemudian menjual ketiga-tiga beg itu dan memperoleh sekitar $51,000.

Namun, dia menyeleweng wang itu untuk pesanan pelanggan lain dan bukannya menyerahkannya kepada mangsa seperti dipersetujui.

Dengan kaedah sama, dia menyeleweng $33,500 daripada mangsa kedua dan $23,500 daripada mangsa ketiga, masing-masing melibatkan beg Hermes.

Ringga ditangkap pada September 2022 dan didakwa pada 2024.

Ikat jaminnya ditetapkan $15,000 pada 13 Ogos, dan dia dijangka mula dipenjarakan pada Oktober.

Setiap kesalahan pecah amanah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.