Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemilik kedai Sim Lim Square dijel jual peranti penstriman haram

May 30, 2025 | 5:10 PM
Wang Yue, Ace Technologies
Wang Yue, dijatuhi hukuman penjara enam bulan, manakala syarikatnya, Ace Technologies, didenda $181,000. - Foto fail

Seorang pemilik kedai di Sim Lim Square dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku menjual peranti penstriman haram di pusat beli-belah tersebut.

Dia adalah individu kedua di Singapura yang dipenjarakan sejak Akta Hak Cipta dipinda pada 2021 untuk mengharamkan penjualan peranti sedemikian yang memberi akses kepada kandungan cetak rompak.

Pada 30 Mei, Wang Yue, 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam bulan, manakala syarikatnya, Ace Technologies, didenda $181,000.

Warga China itu mengaku bersalah atas 17 pertuduhan berkaitan pelanggaran hak cipta pada 20 Mac.

Dia juga mengaku bersalah atas 17 lagi pertuduhan berkaitan hak cipta yang dikenakan terhadap Ace Technologies.

Lagi 33 pertuduhan turut diambil kira semasa mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Wang dan syarikatnya, lapor The Straits Times (ST).

Ace Technologies mengendalikan empat unit kedai di Sim Lim Square dan menjual peranti penstriman haram antara 2018 dengan 2022.

Peranti tersebut memberi pembeli akses kepada kandungan cetak rompak daripada Disney, Warner Bros, Discovery Inc dan permainan bola sepak Liga Perdana England (EPL).

Wang mendapatkan peranti tersebut daripada pembekal luar negara.

Dia turut mengaku mengarahkan pekerjanya menawarkan peranti tersebut, dengan memberitahu pelanggan bahawa mereka boleh mengakses kandungan yang mempunyai hak cipta, tanpa menanggung kos menonton melalui sumber yang sah.

Dengan setiap peranti dijual pada harga $149 hingga $249, Wang memperoleh keuntungan antara $39 dengan $99 bagi setiap transaksi.

Syarikat itu memperoleh keuntungan bulanan hingga $18,000 daripada penjualan peranti tersebut.

Wang terus menjualnya, walaupun selepas menerima dua surat amaran pada Januari dan Oktober 2020 daripada Persatuan Bola Sepak Liga Perdana, supaya menghentikan penjualan peranti itu kerana ia melanggar hak cipta liga tersebut.

Dia ditangkap pada 4 Oktober 2022 selepas serbuan oleh pegawai polis daripada Cawangan Hak Cipta Intelektual (IPRB) polis.

Ini adalah kes kedua seumpamanya yang dibawa ke mahkamah.

Pendakwaan pertama bagi pelanggaran hak cipta oleh peniaga komersial peranti penstriman haram berlaku pada Oktober 2024.

Dalam kes itu, pemilik satu lagi kedai, Ge Xin, 37 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan, manakala dua kedainya – MT Gadget+ dan Grandnew – masing-masing didenda $200,000 dan $100,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg