Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemilik Rumah Makan Minang gesa sokongan lebih kukuh kepada perniagaan warisan
Pemilik Rumah Makan Minang gesa sokongan lebih kukuh kepada perniagaan warisan
Pemilik Rumah Makan Minang gesa sokongan lebih kukuh kepada perniagaan warisan
Pemilik generasi ketiga Rumah Makan Minang menggesa pemilik hartanah, agensi pemerintah dan masyarakat supaya memperkukuh sokongan kepada perniagaan warisan di Kampong Gelam, di tengah-tengah kenaikan kos operasi dan kadar sewa.
Gesaan itu dibuat sedang restoran Nasi Padang yang telah ditubuhkan lebih tujuh dekad itu merasmikan cawangan utamanya yang diperbaharui di 18 dan 18A Kandahar Street menerusi satu majlis pada 24 Julai.
Majlis tersebut dihadiri Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; wakil perniagaan warisan, pertubuhan masyarakat serta pelbagai pihak berkepentingan di Kampong Gelam.
Pemilik restoran tersebut, Encik Muhamad Ariff Mohamed Zin, berkata usaha memelihara warisan tidak seharusnya tertumpu kepada pemulihan bangunan semata-mata, sebaliknya memerlukan pelaburan berterusan terhadap perniagaan tempatan, kerjasama strategik dan masyarakat.
“Restoran yang diperbaharui ini bukan bertujuan mengubah siapa kami, tetapi memastikan warisan ini dapat diteruskan untuk generasi akan datang,” kata Encik Ariff dalam ucapannya di acara tersebut.
Beliau berkata Rumah Makan Minang berharap terus menjadi tempat keluarga berkumpul, di samping menjadi ruang tradisi dan budaya Minangkabau yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Seorang lagi pemilik Rumah Makan Minang, Cik Syahidah Mohamed Zin, berkata Kampong Gelam mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai hab usahawan tempatan, perniagaan warisan dan perusahaan berasaskan masyarakat.
Dalam ucapannya lagi, Encik Ariff turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) – selaku pemilik bangunan yang menempatkan restoran itu – atas sokongan berterusan kepada Rumah Makan Minang.
“Ketika banyak perniagaan berdepan tekanan kenaikan sewa, kesediaan MTFA menyokong perniagaan warisan telah memberi perbezaan yang besar. Kami berharap lebih ramai pemilik hartanah melihat nilai perniagaan yang menyumbang kepada warisan, identiti dan kehidupan masyarakat di Kampong Gelam,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Syed Harun berkata pemeliharaan warisan bukan sekadar memastikan sesebuah perniagaan terus beroperasi, bahkan turut memainkan peranan dalam pembentukan identiti negara.
“Apabila kita bercakap tentang warisan, ia bukan sekadar mengenai perniagaan atau memastikan ia terus bertahan. Ia sebenarnya menyentuh jiwa sesebuah negara. Inilah yang membentuk identiti kita, dan Rumah Makan Minang merupakan sebahagian daripada warisan yang perlu terus dipelihara,” katanya.
Beliau turut memuji pendekatan berpandangan jauh Rumah Makan Minang yang bukan sahaja memelihara tradisi, malah terus meneroka model perniagaan baharu dan membina keupayaan strategik.
Menurutnya, restoran itu kini mempunyai empat cawangan, termasuk kiosk terbaharunya di New Bahru, selain sedang membuat persiapan membuka sebuah kilang di Malaysia bagi menyokong pertumbuhan perniagaannya.
Pengarah Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, pula memberitahu Berita Harian (BH) pembaharuan restoran tersebut bukan sekadar menaik taraf ruang makan, tetapi menjadi wadah untuk menceritakan perjalanan jenama yang diasaskan pada 1954 daripada sebuah gerai kecil hidangan Minangkabau kepada antara restoran Nasi Padang paling dikenali di Singapura.
“Sebagai antara Perniagaan Warisan yang diiktiraf Lembaga Warisan Negara (NHB), kami mahu pengunjung memahami bagaimana Rumah Makan Minang berkembang merentasi tiga generasi dan mengapa warisan ini penting untuk dipelihara,” katanya.
Menurut beliau, pelaburan itu turut melibatkan penambahbaikan susun atur restoran, sistem giliran pelanggan, kaunter minuman khusus serta peningkatan infrastruktur bagi meningkatkan pengalaman pelanggan tanpa menjejaskan identiti bangunan warisan tersebut.
Encik Hazmi mengakui banyak perniagaan warisan di Kampong Gelam telah gulung tikar atau berpindah akibat kos operasi yang semakin meningkat.
“Perniagaan warisan bukan sekadar menyewa sebuah kedai. Mereka memberikan identiti, kisah dan semangat kepada sesebuah kawasan. Saya berharap hubungan antara pemilik hartanah dan penyewa terus dilihat sebagai satu perkongsian jangka panjang,” katanya.
Mengulas perkara itu, Pengerusi Hartanah MTFA, Encik Shafiq Ferroz, berkata hubungan antara pemilik hartanah dan penyewa perlu dibina atas asas kepercayaan, bukannya sekadar urusan komersial.
“Ramai beranggapan hubungan kami hanya berasaskan perniagaan, sedangkan ia dibina atas kepercayaan.
“Penyewa komited memenuhi tanggungjawab mereka, manakala kami bertanggungjawab membantu apabila timbul sebarang masalah. Kepercayaan yang dibina selama bertahun-tahun inilah yang membolehkan kami terus menyokong penyewa seperti Rumah Makan Minang dan kami berharap mereka akan terus bersama kami untuk jangka masa panjang,” katanya.
Encik Hazmi berkata kelangsungan Kampong Gelam sebagai daerah warisan bergantung kepada kerjasama semua pihak.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada sejarah. Kita perlu terus meningkatkan mutu, menerima inovasi dan kekal relevan. Apabila perniagaan, pemilik hartanah, agensi pemerintah dan masyarakat bekerjasama, Kampong Gelam akan terus berkembang sebagai sebuah daerah warisan yang hidup,” ujarnya.