Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemilik rumah privet tak perlu tunggu 15 bulan untuk beli flat jualan semula HDB
Pemilik rumah privet tak perlu tunggu 15 bulan untuk beli flat jualan semula HDB
Pemilik rumah privet tak perlu tunggu 15 bulan untuk beli flat jualan semula HDB
Tempoh menunggu selama 15 bulan bagi pemilik hartanah privet yang ingin membeli flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dimansuhkan serta-merta, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Mengumumkannya pada 28 Julai, Encik Chee berkata keadaan pasaran telah bertambah baik dan pemerintah menilai langkah penyejukan itu telah mencapai matlamatnya.
Beliau berkata harga jualan semula HDB telah menurun dengan ketara, daripada 10.4 peratus pada 2022 kepada 2.9 peratus pada 2025. Harga jualan semula HDB turut merosot bagi suku kedua berturut-turut pada suku kedua 2026, selepas susut buat kali pertama dalam tempoh hampir tujuh tahun pada suku pertama 2026.
“Dengan perubahan ini, pemilik hartanah privet daripada semua peringkat umur tidak lagi perlu menunggu untuk membeli flat jualan semula HDB tidak bersubsidi, tanpa mengira saiznya,” kata Encik Chee dalam ucapannya pada Persidangan Semakan Ekonomi Singapura ke-11.
Diperkenalkan pada September 2022, tempoh menunggu selama 15 bulan itu bertujuan membendung permintaan pemilik rumah privet yang mempunyai wang tunai mencukupi untuk membeli flat jualan semula HDB tidak bersubsidi.
Tidak lama selepas memegang jawatan Menteri Pembangunan Negara pada Mei 2025, Encik Chee berkata langkah itu bukan bertujuan dilaksanakan secara kekal, dan akan dimansuhkan “apabila keadaan bertambah baik”.
Beliau kemudian berkata pada Jun 2025 bahawa pemilik hartanah privet mungkin tidak perlu menunggu sehingga 2027 atau 2028 untuk semakan syarat tempoh menunggu itu, memandangkan bekalan berterusan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baharu serta unit jualan semula dijangka membantu mengekang kenaikan harga jualan semula.
Sehingga 31 Mac 2025, HDB menerima dan mengendalikan kira-kira 5,500 rayuan bagi pengecualian syarat itu, dengan kira-kira seperempat daripadanya diluluskan.
Dalam kenyataan bersama pada 28 Julai, Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB berkata pasaran jualan semula yang semakin mantap turut disokong pertambahan flat baharu yang memasuki pasaran itu selepas memenuhi Tempoh Penginapan Minimum (MOP).
Kira-kira 13,500 flat akan mencapai MOP pada 2026, meningkat kepada 15,000 pada 2027 dan 19,500 pada 2028.
Dalam ucapannya, Encik Chee berkata pemerintah telah mengubah dasar perumahan bagi golongan bujang sejak beberapa tahun lalu, termasuk membuka pasaran jualan semula flat kepada golongan bujang berusia 35 tahun ke atas pada 1990-an.
Pada 2010-an, golongan bujang dibenarkan membeli flat BTO dua bilik di estet tidak matang. Menerusi pengelasan flat semasa diperkenalkan pada 2024, mereka kini boleh membeli flat sedemikian di seluruh Singapura.
“Untuk menyokong golongan bujang lebih muda, pemerintah sedang meneliti cadangan menurunkan had umur kelayakan 35 tahun bagi pembelian flat HDB oleh golongan bujang. Dasar ini kini diteliti dengan rapi,” katanya.
Encik Chee berkata contoh-contoh itu mencerminkan pendekatan pragmatik pemerintah dalam menggubal dasar, sambil menambah bahawa memastikan dasar terus disesuaikan dengan keperluan semasa penting bagi menjamin hasil yang baik.
Selain mengkaji semula dasar dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan masyarakat yang berubah, Encik Chee berkata pemerintah juga perlu mengimbangi pelbagai pertimbangan dalam pembangunan Singapura yang mempunyai tanah terhad.
Beliau berkata saiz Singapura yang terhad menyebabkan ia sering membuat pertimbangan dalam perancangan guna tanah, dan pemerintah akan “terus berunding secara terbuka dan telus dengan orang ramai” mengenai perkara itu serta mencari keseimbangan yang sewajarnya.
Azam pemerintah untuk menyediakan perumahan awam yang mampu dimiliki oleh semua rakyat Singapura juga melibatkan pelbagai pertimbangan, katanya.
“Ketika kita mengimbangi pelbagai pertimbangan dalam penggunaan tanah bagi memastikan bekalan perumahan kekal kukuh, kita juga menghadapi pertimbangan fiskal yang besar. Setiap dolar yang dibelanjakan untuk perumahan awam bermakna setiap dolar yang tidak dapat diperuntukkan kepada pendidikan, pertahanan, penjagaan kesihatan, pembangunan ekonomi atau kebajikan sosial,” katanya.
Encik Chee berkata HDB menanggung kerugian berjumlah berbilion-bilion dolar setiap tahun bagi menyokong pemilikan rumah di Singapura, termasuk melalui pembinaan flat dan pemberian geran pembelian flat.
Katanya, pemerintah membuat pelaburan itu kerana percaya setiap generasi rakyat Singapura perlu berpeluang memiliki rumah awam pada harga berpatutan, sambil menambah azam itu kekal menjadi iltizam pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) kepada rakyat Singapura.