Mulai 2028, semua pemilik tanah di pesisir yang mempunyai baki tempoh pajakan sekurang-kurangnya 30 tahun mesti mempunyai rancangan untuk membina pertahanan pesisir bagi melindunginya daripada kenaikan paras air laut setinggi 2.15 meter (m) menjelang 2150.

Sementara mereka yang mempunyai baki kurang daripada 30 tahun tempoh pajakan harus menyediakan kawasan pesisir mereka bagi kenaikan paras laut setinggi 0.7m – peningkatan yang dijangkakan berlaku pada 2050 di bawah senario pencairan ais terburuk, yang kemungkinan kecil berlaku.

Keperluan ini, yang dikenakan terhadap pemilik tanah swasta dan awam, telah didedahkan dalam buku peraturan yang dikeluarkan pada 17 Jun.

Ia memperincikan apa yang perlu mereka lakukan untuk memastikan perlindungan yang berterusan bagi mencegah banjir di kawasan pesisir di Singapura.

Pemerintah, yang memiliki 70 peratus kawasan pesisir, akan bertanggungjawab melindungi sebahagian besarnya.

Baki 30 peratus tanah privet adalah tapak bukan kediaman dan kebanyakannya merupakan limbungan kapal dan pelabuhan, serta perniagaan dalam sektor minyak dan gas serta pengilangan.

Kebanyakannya terletak di pantai barat daya dan utara, termasuk Pulau Jurong dan estet perindustrian Tuas, Pioneer dan Senoko.

Mengumumkan Kod Amalan Perlindungan Pantai itu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata:

“Bagi pemilik tanah, jurutera dan kontraktor, ia akan memberikan kejelasan tentang perlindungan pantai yang baik dan bagaimana untuk melaksanakannya dengan baik.”

Dokumen setebal 80 halaman itu merangkumi keperluan reka bentuk langkah perlindungan pantai, dan bagaimana ia harus diperiksa dan diselenggara dalam tempoh lama.

Ia turut menjelaskan arahan tentang bagaimana kawasan yang mudah dilanda banjir sementara seperti pantai dan taman harus diuruskan dengan latihan kecemasan yang kerap.

Kod amalan itu berfungsi untuk membimbing pemilik dan pemegang tanah pajakan tepi laut agar dapat memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang baru yang memerlukan penghuni membina langkah perlindungan pantai mereka sendiri.

Mereka yang gagal berbuat demikian pada masa depan, atau gagal memastikan adanya pertahanan berterusan terhadap kenaikan paras air laut, boleh dikenakan denda dan hukuman penjara.

Berucap dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Ketahanan Pantai dan Banjir sempena Minggu Air Antarabangsa Singapura, Cik Fu berkata:

“Kod ini juga akan dikemas kini untuk mengikuti perkembangan baru mengenai kenaikan paras laut dan teknologi untuk menyokong langkah perlindungan pantai.”

Senario 2.15m adalah berdasarkan unjuran kenaikan paras laut Singapura untuk 2150, dalam senario terburuk akibat pelepasan gas rumah hijau.

Namun, ini tidak bermakna tembok laut, cerun atau perisai pantai hanya akan dibina setinggi 2.15m atau 0.7m untuk senario 2050.

Ketinggian tepat dalam langkah perlindungan itu bergantung pada lokasinya di sepanjang garis pantai, dan juga perlu menimbangkan faktor seperti ombak, pasang surut air dan kenaikan paras laut, tambah buku peraturan itu.