Pemilik tanah pesisir layak terima geran tangani kenaikan paras laut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemilik tanah pesisir layak terima geran tangani kenaikan paras laut

Mar 6, 2026 | 7:21 PM

Pemilik tanah pesisir layak terima geran tangani kenaikan paras laut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
perlindungan pesisir, kenaikan paras laut, pemilik tanah, pub, coastal landowners
Geran itu akan menampung kos kajian risiko banjir, pengalihan talian elektrik dan bekalan air, serta pembinaan langkah perlindungan pantai. - Foto PUB

Semua pemilik tanah pesisir di Singapura layak menerima geran untuk menampung kos pembinaan benteng bagi melindungi aset daripada kenaikan paras laut, seperti diwajibkan di bawah undang-undang perlindungan pesisir baru yang diluluskan Parlimen pada 6 Mac.

Geran itu akan menampung kos kajian risiko banjir, pengalihan talian elektrik dan bekalan air, serta pembinaan langkah perlindungan pesisir, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu. 

Beliau tidak mendedahkan jumlah geran tersebut.

Di bawah Rang Undang-Undang Perlindungan Pesisir dan Pindaan Lain, agensi pemerintah dan syarikat swasta di pesisir Singapura wajib melaksanakan langkah perlindungan daripada kenaikan paras laut atau berdepan denda serta hukuman penjara.

Pemerintah, yang memiliki kira-kira 70 peratus tanah pesisir, akan bertanggungjawab melindungi sebahagian besar garis pantai.

Baki 30 peratus tanah milik swasta adalah tanah bukan kediaman, termasuk kawasan kerja kapal, pelabuhan serta perniagaan dalam sektor minyak, gas dan perkilangan.

Kebanyakannya terletak di pesisir barat daya dan utara, termasuk Pulau Jurong serta kawasan perindustrian Tuas, Pioneer dan Senoko.

Penghuni tanah pesisir akan diberikan notis pemberitahuan kira-kira 10 tahun untuk melaksanakan langkah perlindungan seperti membina tembok laut, menaikkan aras tanah atau memasang pengadang di jeti.

Fasa pertama notis dijangka dihantar kepada pemilik tanah terjejas bermula awal 2030-an. 

Pemilik tanah boleh memohon geran selepas menerima notis tersebut.

Cik Fu berkata jumlah dana akan ditetapkan berdasarkan garis panduan dengan mengambil kira kadar pasaran semasa dan inflasi.

Menurutnya, jumlah geran akan diagihkan secara berperingkat bagi membantu perancangan dan aliran tunai pemilik tanah. 

Pemerintah juga akan menawarkan nasihat teknikal dan perundingan.

Beliau menambah program latihan perlindungan pesisir turut disediakan bagi meningkatkan kecekapan sektor kejuruteraan. 

Salah satu program ialah kelas induk perlindungan pesisir oleh Persatuan Air Singapura (SWA).

Geran dan sokongan teknikal itu diperkenalkan selepas syarikat pesisir memaklumkan kos perlindungan tambahan yang tidak diambil kira ketika tanah disewa atau dibeli.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas perbahasan dua jam melibatkan lapan Anggota Parlimen (AP).

AP Cik Poh Li San (Sembawang West) bertanya tentang risiko daya pertahanan pesisir di sekeliling Singapura ditembusi jika langkah perlindungan tidak diselaraskan dengan baik.

Undang-undang baru itu mewajibkan pemilik tanah memastikan perlindungan pesisir bagi satu lot disambungkan, rapat dengan lot bersebelahan bagi membentuk satu garis pertahanan berterusan.

“Walaupun semua syarikat atau pemilik tanah mempunyai niat yang baik, mereka mungkin menghadapi jurang pengetahuan dan kegagalan penyelarasan,” kata Cik Poh.

Cik Fu berkata undang-undang itu akan membenarkan pemilik tanah melalui hartanah jiran jika perlu bagi menyambungkan perlindungan banjir supaya air tidak menembusinya.

Menurut beliau, langkah perlindungan perlu disesuaikan dengan keperluan setiap tapak. 

Contohnya, sebuah kawasan kerja kapal mungkin membina tembok laut di sekeliling sambil mengekalkan pintu masuk ke laut untuk laluan kapal.

“Adalah sukar bagi pemerintah melaksanakan langkah perlindungan pesisir yang seragam bagi pelbagai jenis penggunaan tanah,” jelas Cik Fu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg