Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Satu penghormatan bagi golongan majoriti berkhidmat, lindungi golongan minoriti

Oct 14, 2024 | 7:29 PM
Mantan Datuk Bandar Rotterdam, Encik Ahmed Aboutaleb, menyampaikan ucaptamanya sebagai salah satu panelis di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 pada 14 Oktober di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.
Mantan Datuk Bandar Rotterdam, Encik Ahmed Aboutaleb, menyampaikan ucaptamanya sebagai salah satu panelis di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 pada 14 Oktober di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Satu pengajaran yang paling penting dalam demokrasi adalah satu penghormatan bagi golongan majoriti untuk berkhidmat dan melindungi golongan minoriti, kata mantan Datuk Bandar Rotterdam, Belanda, Encik Ahmed Aboutaleb.

Warga Belanda berusia 63 tahun itu, yang menggalas jawatan tersebut dari Januari 2009 hingga Oktober 2024, berkongsi dalam ucaptamanya di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 pada 14 Oktober bahawa terdapat asas daripada Al-Quran dan hadis mengenai perkongsian kuasa dengan golongan lain.

Ini lebih-lebih lagi berkenaan perlindungan golongan minoriti oleh pihak majoriti, tambahnya.

“Sama ada golongan minoriti itu adalah dari segi budaya, linguistik atau agama, sebenarnya adalah satu penghormatan bagi golongan majoriti untuk melindungi golongan minoriti.

“Nabi Muhammad saw mengajarkan supaya kita mengambil panduan atau pandangan orang lain, dan berbicara dengan golongan lain, sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ini adalah penting dan bagi pihak minoriti, mereka tidak seharusnya menyatakan bahawa ‘golongan majoriti tidak akan mengendahkan pendapat’. Anda harus bersedia terlibat sama dalam proses membuat keputusan,” jelas beliau.

Encik Ahmed merupakan salah satu panelis yang memberikan pembentangannya kepada lebih 600 hadirin di ICCOS di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands – yang berlangsung pada 14 dan 15 Oktober.

Anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), persidangan yang memasuki edisi kedua itu bertemakan ‘Pemimpin Masa Depan Berinspirasi: Membangunkan Kepercayaan, Memperkasa Masyarakat’.

Beliau menambah, sebagai pemimpin Islam, adalah penting juga untuk turut mengaplikasikan latar belakang sebagai seorang Muslim dalam operasi harian bagi setiap lapisan masyarakat.

“Sebagai seorang pemimpin, anda sebenarnya bukan berada di peringkat lebih tinggi daripada masyarakat awam.

“Malah, sebagai pemimpin (beragama Islam), anda harus tunjukkan kepada rakyat (berbilang agama) bahawa dasar seorang Muslim adalah serupa dengan dasar yang diguna pakai dalam sesebuah demokrasi – iaitu dengan mengutarakan perbincangan baik.

“Siapa yang akan utarakan perbincangan ini jika (golongan minoriti) tidak ada pemimpin?” tambahnya.

Beliau menukil contoh takrifan ‘jihadist’ (orang yang berjihad), yang menurutnya mempunyai konotasi agak negatif dari sudut pandangan masyarakat Eropah.

Encik Ahmed berkata konotasi itu sebenarnya meleset kerana erti jihad adalah kerja keras, dan bukannya keganasan, seperti yang difahami masyarakat umum berbeza agama di sana.

“Siapa yang akan menjelaskan kepada golongan umum di dunia bahawa perkataan ‘jihad’ ini tidak seharusnya terkait dengan keganasan?

“Anda perlukan kebijaksanaan (kepimpinan) untuk menjelaskan hal sedemikian… yang boleh disimpulkan kepada pendekatan yang dikenali sebagai Al-Hakam – iaitu menyatukan kebijaksanaan dan melakukan perkara yang baik.

“Inilah (nilai yang harus ada) pada diri pemimpin,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg