Di luar peranannya melaporkan berita, Berita Harian (BH) berada di kedudukan yang unik untuk menggerak dan menggalak masyarakat tampil membantu golongan memerlukan dan membentuk Singapura yang lebih prihatin dan memiliki belas ihsan.
Kerjasamanya dengan pertubuhan seperti AMP Singapura (AMP) menjadi bukti bagaimana wadah media mapan dan badan-badan Melayu/Islam (MMO) boleh berganding bahu menggerakkan sumber bagi melaksanakan program yang dapat membantu golongan memerlukan – termasuk keluarga berpendapatan rendah.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, semasa bertemu media di Orchid Country Club pada 22 Julai.
Beliau merupakan tetamu terhormat bagi Acara Golf Amal dan Jamuan Malam anjuran BH dan AMP yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60).
Hasil keseluruhan dana yang terkumpul daripada para penaja acara golf amal tersebut akan disalurkan kepada AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura, selain sebahagiannya diperuntukkan bagi Hadiah Buku Berita Harian.
“Sebagai sebuah wadah media, saya rasa BH mempunyai pengaruh dan jangkauan yang luas yang dapat menyampaikan kepada masyarakat tentang bagaimana mereka dapat membantu dan memainkan peranan membina masyarakat akan datang.
“Ini salah satu cara bagaimana media seperti BH dan juga MMO seperti AMP dapat bekerjasama untuk mengumpulkan dana (bagi menjana) program-program AMP yang bertujuan membantu mereka yang memerlukan,” ujar Encik Zaqy.
BH dan AMP telah berjaya mengumpulkan lebih $260,000 melalui acara tersebut, dengan jumlah keseluruhan dijangka mencecah $400,000 dengan geran pemadanan yang bakal diterima.
Ini melebihi sasaran awal sebanyak $300,000.
Menurut Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, sambutan daripada penaja dan penderma amat menggalakkan.
“Ini merupakan kali pertama BH mengadakan acara golf amal dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan AMP sebagai rakan kongsi dan penganjur bersama.
“Acara ini bukan setakat permainan golf. Ia mencerminkan usaha gigih BH untuk mendekati masyarakat khususnya para pembaca dan audiens kami,” kongsi beliau.
Acara tersebut menyaksikan penaja ‘Berlian’, Sheng Siong Group dan Yayasan Salleh Marican, masing-masing menyumbang $60,000, manakala penaja ‘Platinum’ Bengawan Solo, menyumbang $20,000.
Penaja ‘Emas’ termasuk AGSH Builders Pte Ltd, Karva Travel Group Pte Ltd dan Maybank Singapore Ltd masing-masing menyumbang $10,000.
Dana yang dikumpulkan melalui acara itu akan disalurkan kepada tiga daya usaha utama – separuh untuk program sokongan sosial AMP bagi keluarga kurang berkemampuan; 40 peratus kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura; dan 10 peratus bagi hadiah buku kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IHL) dalam bidang Komunikasi, Media atau Pengajian Melayu.
Bagi Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid, acara itu memaparkan bagaimana semangat perpaduan mampu membawa perubahan positif yang berkekalan.
“Kerjasama kami dengan BH, serta sokongan para penderma, penaja, dan pemain golf, mencerminkan kekuatan semangat masyarakat kita.
“Usaha sebegini mengingatkan kita bahawa kerjasama merentasi pelbagai segmen masyarakat boleh mencetuskan impak jangka panjang yang bermakna,” kata beliau.
Acara golf amal itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran 95 pemain golf dalam 24 ‘flight’ (kumpulan).
Antara mereka yang hadir adalah atlet lawan pedang negara, Kiria Tikanah Abdul Rahman.
Ketika ditemui BH, atlet negara berusia 25 tahun itu berkongsi bahawa acara tersebut menawarkan peluang untuk beliau menyumbang semula kepada masyarakat yang telah banyak menyokong perjalanan sukan beliau.
“Saya memang ingin melakukan kerja-kerja amal, sama ada dalam kemampuan saya sebagai seorang atlet atau lebih daripada itu.
“Jadi apabila saya diberitahu tentang peluang ini, saya rasa ia peluang yang baik untuk bermain golf dan pada masa yang sama menyumbang kembali kepada masyarakat,” ujar beliau.
“
“Ini merupakan kali pertama BH mengadakan acara golf amal dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan AMP sebagai rakan kongsi dan penganjur bersama. Acara ini bukan setakat permainan golf. Ia mencerminkan usaha gigih BH untuk mendekati masyarakat khususnya para pembaca dan audiens kami.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg