Pemimpin belia, Encik Muhammad Zuhaili Sabudin, baru-baru ini menyertai perbincangan tentang kecerdasan buatan (AI) di peringkat antarabangsa dalam satu forum di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Austria.
Forum tersebut, AI bagi Negara Membangun (AIFOD), yang berlangsung dari 17 hingga 18 Julai, bertujuan mencari jalan untuk memanfaatkan potensi AI demi mewujudkan dunia lebih saksama.
Seramai 500 wakil daripada serata dunia turut menghadiri forum tersebut.
“Sudah tentu apabila saya dijemput saya rasa sangat gembira kerana ia merupakan satu penghormatan bagi saya,” kongsi Encik Zuhaili, 34 tahun, yang berucap di acara itu selaku pengerusi eksekutif Liga Belia Islam Antarabangsa (IIYL) bagi kawasan Asia.
“Alhamdulillah pandangan saya diimbangi dengan serius dan diterima baik dalam muafakat forum tersebut,” tambah beliau, apabila dihubungi Berita Harian (BH).
Forum ini juga merupakan usaha untuk merapatkan jurang digital antara negara yang wujud pada masa sekarang, memupuk inovasi serta membentuk masa depan di mana teknologi dapat dimanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat di serata dunia.
Encik Zuhaili, yang peka tentang situasi kehidupan di negara Asia seperti Cambodia, Thailand, Malaysia dan lain-lain lagi, dijemput ke forum tersebut untuk menyampaikan ucaptama mengenai keseimbangan nilai kemanusiaan dengan AI.
Tajuk ucaptama beliau ialah berkaitan manfaat yang harus diberikan oleh teknologi kepada manusia.
Beliau tidak menafikan kepentingan AI dalam kehidupan manusia hari ini.
“Kini, kami semua sedar AI telah menjadi satu keperluan berbanding pada masa lalu di mana AI hanya merupakan sesuatu kehendak,” jelas beliau, yang merupakan pengarah urusan MZ Quran Centre dan MZ Academy.
Beliau juga berkata tanpa AI, tidak boleh dinafikan seseorang itu akan ketinggalan berbanding mereka yang mempunyai akses kepada AI.
Namun, beliau juga tekankan kepentingan nilai kemanusiaan dalam AI.
“Dalam dunia sekarang, kami memang memerlukan AI, namun kami juga harus periksa diri sendiri dan mengimbangkan kesannya,” kata Encik Zuhaili.
“Jikalau kami terlalu bergantung kepada AI, ketamadunan manusia akan terjejas,” tambah beliau.
Beliau juga berkongsi fokus utama ucaptama beliau ialah kepentingan kewujudan nilai manusia tertentu yang tidak boleh diambil alih oleh AI iaitu rasa cinta dan belas kasihan.
“Kami tidak ingin kehilangan nilai kemanusiaan yang kami miliki dan kami juga tidak ingin mencapai kejayaan tanpa sifat kejiwaan,” ujar Encik Zuhaili.
“Kami harus mengimbangi konsep kemanusiaan dan kecerdasan buatan agar ia tidak mendatangkan ketidakadilan kepada pembangunan AI dan ketamadunan manusia,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg