Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pemimpin lama punyai peranan sumbang kepada badan Melayu/Islam, masyarakat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Pemimpin lama punyai peranan sumbang kepada badan Melayu/Islam, masyarakat

Jan 27, 2024 | 05:30 AM



Bak kata pepatah, patah tumbuh, hilang berganti.


Namun, sedang peralihan kepimpinan itu sesuatu yang penting dan perlu, sesebuah pertubuhan itu hanya akan diperkaya sekiranya pengalaman yang dimiliki pemimpin mapan dapat terus dimanfaatkan.

Diminta mengulas, para pemerhati masyarakat memberitahu Berita Harian (BH), meskipun telah mengosongkan jawatan kepimpinan mereka, para pemimpin mapan dengan pengalaman, kebijaksanaan dan kepakaran mereka masih boleh terus menyumbang dengan cara yang bermakna, dengan pada masa yang sama memberi ruang untuk generasi muda memimpin dan memutuskan hala tuju pertubuhan.


Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, yang aktif sebagai relawan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), berkata proses pembaharuan juga perlu melibatkan pemimpin mapan.

“Pembangunan organisasi yang berkesan dan mampan harus merangkumi hubungan simbiotik antara pemimpin yang lebih mapan dan lebih muda kerana kebijaksanaan dan pengalaman adalah sama pentingnya dengan kerancakan dan kesegaran,” ujar beliau.

Sementara itu, para pemerhati itu juga menarik perhatian bahawa pembaharuan menerusi peralihan kepimpinan ini juga adalah sesuatu yang digalakkan di peringkat nasional.

Pada 2023, Majlis Amal telah menerbitkan kod tadbir urus yang disemak semula untuk badan amal dan institusi bertaraf awam (IPC).

Kod yang berkuat kuasa pada 1 Januari itu, mengesyorkan agar IPC dan badan amal bukan IPC yang besar mengenakan had penggal maksimum 10 tahun berturut-turut untuk semua ahli lembaga.

Ini bagi menggalakkan badan amal mengamalkan perancangan peralihan di peringkat lembaga dan untuk mengukuhkan proses pembaharuan kepimpinan.

Susulan had penggal, ahli boleh dilantik semula selepas berehat sekurang-kurangnya dua tahun.

Bagi ahli yang telah berkhidmat dalam lembaga tersebut lebih daripada 10 tahun berturut-turut dan ingin terus berkhidmat, badan amal itu dikehendaki mendedahkan sebabnya di dalam laporan tahunannya.

Zamil Kanan yang juga Penyelaras Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata adalah amalan yang baik jika seorang pemimpin itu tidak memegang jawatan terlalu lama.

Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa isu peralihan kepimpinan bukan soal isu golongan mapan lawan golongan muda dan usia bukanlah penentu terjaminnya kewibawaan suatu organisasi.

“Kadangkala, apabila suatu organisasi itu dipimpin oleh seorang sosok begitu lama, perjuangan organisasi dianggap sinonim dengan individu tersebut. Ini tidak seharusnya berlaku.

“Pemimpin-pemimpin muda juga tidak seharusnya tergesa-gesa mengisi kepimpinan-kepimpinan organisasi masing-masing dengan golongan seusianya sahaja, tetapi harus memberi ruang kepada golongan-golongan mapan memberikan pandangan.

“Jasa-jasa pemimpin mapan mesti dihargai dan walaupun mempunyai pandangan berbeza, mereka perlu disantuni dengan baik,” kata Dr Norshahril, yang juga Pengerusi Yayasan Warisan Melayu.

Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chua Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata meskipun beliau mengalu-alukan idea, perspektif dan semangat baru daripada pemimpin muda, beliau berharap mereka akan terus mengembangkan usaha yang telah dibina oleh generasi lalu dan menghubungkan kembali kepada warisan badan-badan tersebut.

Bak bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, Encik Zhulkarnain, yang pernah berkhidmat sebagai pengarah dan naib pengerusi di AMP, berkata lebih banyak yang boleh diraih jika pemimpin muda dan mapan dapat berkongsi ilmu dan pengalaman demi manfaat masyarakat.


“Belia bukan sahaja pemimpin masa depan tetapi rakan kongsi hari ini. Mereka boleh membuat impak sekarang tanpa mengira pengalaman dan umur mereka. Saya fikir pemimpin yang lebih berpengalaman harus memberi ruang kepada pemimpin muda untuk berkembang dan mengorak langkah ke hadapan.

“Apa yang berguna ialah perkongsian berterusan dengan pemimpin kanan masyarakat supaya pengetahuan dan pengalaman kolektif mereka dapat dikongsi dengan seramai mungkin,” kata Encik Zhulkarnain.

AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin, berkata kepelbagaian di dalam pasukan kepimpinan bukan sahaja tertumpu kepada umur, tetapi harus juga melibatkan sukarelawan dan pemimpin yang mempunyai perspektif berbeza, dari latar belakang dan jantina yang berbeza, demi mencapai tujuan yang sama.

“Terdapat ramai individu yang telah mendedikasikan hidup mereka kepada organisasi di mana mereka berkhidmat kepada masyarakat. Saya mendapat inspirasi daripada pengorbanan mereka selama ini.

“Saya bertuah dapat belajar daripada kebijaksanaan ramai pemimpin kanan, seperti di LBKM (Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud) di mana saya pernah berkhidmat sebelum ini,” kata Cik Nadia.

Dalam pada itu, beberapa pemerhati dan pemimpin masyarakat menarik perhatian bahawa peralihan kepimpinan tidak semestinya dilakukan semata-mata untuk tujuan “memberi kesegaran”, kerana ‘orang-orang lama’ yang meneraju pertubuhan juga mempunyai banyak kelebihan.

Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader, yang telah memimpin persatuan itu sejak 1980 berkata pemimpin mapan dalam MMO mempunyai khazanah ilmu dan pengalaman dan kehadiran mereka sebagai peneraju pertubuhan adalah untuk membangunkan dan mempersiap pemimpin muda untuk memimpin dengan lebih berkesan.


“Kehadiran orang lama ini akan meningkatkan keyakinan kohort baru untuk lebih menghargai dan memahami budaya organisasi yang telah dibina selama ini.

“Ilmu dan pengalaman kami boleh menjadi pemangkin bagi pemimpin muda dan menggerakkan mereka untuk memenuhi cabaran masyarakat yang sentiasa berubah, dilengkapi dengan set kemahiran mereka sendiri,” kata Encik Abdul Halim.

Mantan presiden Pertapis, Encik Hussaini Abdullah, yang berundur diri pada 2023 untuk memberi laluan kepada pembaharuan kepimpinan badan tersebut, mengalu-alukan lebih ramai pemimpin muda untuk melangkah ke hadapan untuk berkhidmat kepada masyarakat bagi memastikan organisasi kekal relevan dengan keperluan masyarakat.

Encik Hussaini yang masih menerajui Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau dan Khidmat Masyarakat Pertapis, berkata beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk terus berkhidmat dalam pelbagai cara demi kepentingan masyarakat walaupun sudah berundur daripada lembaga itu.

“Sebuah organisasi yang baik tidak boleh mengenepikan bekas pemimpin-pemimpinnya yang pernah berkhidmat dengan organisasi tersebut, dia bukan sahaja mempunyai banyak pengalaman tetapi kebijaksanaan untuk mengetahui perbezaan.

“Pemimpin lama masih menyumbang kepada organisasi dan masyarakat yang mereka minati. Mereka tidak berhenti menyumbang, malah terus memberi bimbingan dan nasihat, menyumbang tenaga, kekuatan dan minda kepada organisasi,” kata Encik Hussaini. – Laporan tambahan BATRISYIA BAHARIM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >