Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Pembaharuan kepimpinan badan Melayu: Perkukuh matlamat, perbetul hasrat dan bangun sifat intelektual

Peralihan kepimpinan kepada tenaga muda bagi sebahagian badan Melayu adalah perkembangan menggalakkan, namun pemimpin muda harus sudah memikirkan peralihan kepimpinan badan yang mereka terajui sebaik sahaja memegang jawatan utama itu
Aug 13, 2023 | 05:31 AM



Baru-baru ini, organisasi-organisasi dan badan-badan Melayu/Islam di Singapura memperlihatkan satu perkembangan yang menarik.

Lebih ramai orang-orang muda yang tampil ke hadapan untuk menerajui pucuk kepimpinan badan-badan kita atau yang sering disebut sebagai MMO (Malay/Muslim Organization).

Misalnya, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) kini dipimpin oleh Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, yang juga baru dinamakan sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Sebelum ini, beberapa pemimpin-pemimpin muda lain juga yang sudah mengambil-alih MMO, antaranya Encik Nassar Zain, dan kini menggalas tugas sebagai presiden Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi atau 4PM, Ustaz Muhammad Azri Azman selaku presiden Muhammadiyah, dan Cik Hazlina Halim sebagai presiden Persatuan Pemuda Pemudi Islam (PPIS).

Pemimpin-pemimpin ini juga berusia dalam lingkungan yang sama, iaitu sekitar lewat 30-an atau awal 40-an tahun.

Salah seorang muda yang baru juga mengambil kepimpinan masyarakat adalah Ustaz Tarmizi Wahid, yang kini dipilih sebagai presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas).

Malah bukan sahaja golongan muda memegang jawatan tertinggi MMO, barisan kepimpinan nombor dua dan tiga juga dibarisi golongan muda.

Walaupun kurang tampil di media, Cik Suree Rohan, seorang akauntan berwibawa, adalah naib presiden PPIS.

Dekad yang lalu, isu peralihan kuasa ini kurang diperhalusi dan dilaksanakan.

Masyarakat Melayu/Islam boleh berasa lega dengan perkembangan terbaru ini, kerana ia memberikan ruang golongan pelapis bergiat aktif dalam masyarakat.

Terus-terang, menggalas kepimpinan masyarakat ini adalah kerja-kerja sukarela. Badan-badan masyarakat juga harus menjadi pemangkin dalam menyuntik semangat sukarelawanan mereka. 

Bagaimanapun, isu peralihan kepimpinan ini bukan soal isu golongan mapan lawan golongan muda. Usia bukan penentu kewibawaan sesuatu organisasi itu terjamin.

Muncul satu persepsi bahawa pemimpin mapan itu anti-pembaharuan, tidak faham sekitaran sukarelawan baru, atau hanya mengitar-semula idea-idea lapuk atau anakronistik.

Sebaliknya, hanya yang muda-muda sahaja yang dilihat sebagai agen pembaharuan atau kesegaran. Malangnya, kadang-kala, ukuran kesegaran bagi sesuatu badan-badan Melayu itu dilihat pada acara-acara gah.

Malah, kejayaan atau kekurangan sesuatu organisasi dinilai daripada sudut jumlah hadirin,  atau sama ada ia dihadiri tokoh-tokoh ternama.

Ukuran yang lebih tepat adalah sama ada MMO memenuhi objektif utama organisasi tersebut, atau kesannya pada masyarakat.

MMO juga perlu mengelakkan duplikasi matlamat atau acara agar sumbangan buat masyarakat lebih menyeluruh dan bermakna. 

Lebih mengkhuatirkan lagi, keberkesanan sesuatu projek itu diukur lewat berapa pengunjung ke lelaman sesawang, atau berapa “klik” sesuatu posting di media sosial.

Sebagaimana yang dapat dipelajari daripada politik di rantau ini, khusus dalam sesuatu suasana pilihan raya, sentimen di media sosial tidak semestinya selari dengan sentimen masyarakat.

Ramai yang pilih untuk tidak menyuarakan pandangan mereka di media sosial.

Satu klik juga boleh membawa tafsiran berbeza: ia boleh bererti setuju, faham, ikut, marah, atau resah. 

Pemimpin-pemimpin muda juga tidak seharusnya tergesa-gesa mengisi kepimpinan-kepimpinan organisasi masing-masing dengan golongan seusianya sahaja, tetapi harus memberi ruang kepada golongan-golongan mapan memberikan pandangan.

Jasa-jasa pemimpin senior mesti dihargai, dan walaupun mempunyai pandangan berbeza, mereka perlu disantuni dengan baik. Mereka dan pasukan masing-masing berjuang demi penakatan organisasi. 

Dua nilai penting yang perlu disemai dalam diri pemimpin-pemimpin muda.

Pertama adalah untuk memperteguh matlamat dengan memahami sejarah organisasi yang mereka pimpin. Pemahaman ini tidak semestinya dapat digarap dengan hanya meneruskan legasi pemimpin sebelumnya, tetapi ia memerlukan pembacaan dan kajian yang luas.

Kadang-kadang, pemimpin-pemimpin sebelumnya tidak ikut objektif utama sesuatu organisasi, dengan ketat, justeru pemimpin baru harus memperteguh gagasan utama mengapa sesuatu pertubuhan diasaskan.

Ini tidak bermakna matlamat ini harus kekal statik dan tidak boleh diubah, tetapi ia tidak boleh tersasar jauh. Hal ini penting agar ramai yang mahu tampil ke hadapan untuk melibatkan diri dalam organisasi tersebut tidak rasa sangsi tentang perjuangan.

Kadangkala, apabila sesuatu organisasi itu dipimpin oleh seorang sosok begitu lama, perjuangan organisasi dianggap sinonim dengan individu tersebut.

Ini tidak seharusnya berlaku.

Pendekatan pemimpin muda boleh berubah, tetapi matlamat perjuangan adalah sakral. MMO bukan milik individu-individu tertentu.

Kedua, pemimpin perlu memperkayakan lagi budaya intelek dalam MMO.

Ini boleh dilakukan dengan pembacaan yang lebih meluas tentang sesuatu isu yang diperjuangkan organisasi tersebut.

Sekadar melakarkan acara-acara gah sahaja tidak mencukupi, tanpa memahami bagaimana perdebatan isu-isu yang serupa dimainkan di negara-negara lain, terutama di negara-negara maju seperti Singapura.

Sebagai contoh, bagi organisasi yang memperjuangkan hal-hal agama, banyak perdebatan baru dalam ilmu politik perbandingan yang menceritakan tentang pengakhiran kuasa (end of power) tradisional di zaman ini, seperti dalam tulisan-tulisan Moises Naim.


Ini bermakna cara kepimpinan agama juga harus ikut peredaran zaman.

Kesan-kesan terhadap kepimpinan atau wacana masa kini dengan proses pendigitalan juga banyak diperkatakan, dan ini sebenarnya memberi kesan pada penglibatan masyarakat secara fizikal di peringkat akar umbi. Justeru, cara masyarakat mempamerkan identiti masing-masing juga rencam.

Bagi isu-isu berkenaan gender pula, kajian-kajian sosiologi tentang perubahan struktur keluarga, seperti peranan ibu atau bapa tunggal dalam penjagaan keluarga, juga semakin terperinci. 

Saya yakin, dengan barisan kepimpinan yang baru dalam masyarakat Melayu/Islam kita ini dapat menyuntik kesegaran dalam pembaharuan masyarakat.

Kita perlu pastikan bahawa pemimpin muda wanita juga diberikan peluang yang sama agar kepimpinan masyarakat tidak didominasi satu kaum sahaja.

Mentelah, hasrat seseorang tampil ke hadapan sebagai pemimpin juga perlu betul, kerana ini adalah amanah besar.

Perjuangan ini adalah perjuangan organisasi, bukan perjuangan peribadi. Banyak iktibar yang boleh diambil daripada bagaimana badan-badan amal di peringkat nasional diuruskan, termasuk pengurusan kewangan yang telus dan diaudit.

Antara lain, satu amalan yang baik adalah seorang pemimpin tidak memegang jawatan terlalu lama, dan dihadkan selama enam tahun sahaja sebelum diganti.

Maka pemimpin muda sudah harus memikirkan peralihan kepimpinan organisasi yang mereka terajui sebaik sahaja memegang jawatan utama tersebut.

Semoga kita terus menyokong tugas-tugas badan Melayu/Islam kita dan kepimpinan yang baru.

Penulis Zamil Kanan Iseas – Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Malaysia, Singapura dan Indonesia, dan seorang Duta Bahasa 2020.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >