Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin masyarakat Melayu/Islam lahir sokongan ke atas Masagos

May 1, 2025 | 11:29 PM
Naib Presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab.
Naib Presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab. - Foto ZAOBAO

Beberapa pemimpin masyarakat Melayu/Islam melahirkan sokongan mereka di atas sumbangan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), pada 1 Mei.

Mereka terdiri daripada pemimpin politik, aktivis masyarakat dan gerakan pekerja.

Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, dalam hantarannya di Facebook menganggap Encik Masagos sebagai pemimpin yang gigih memperjuangkan kemajuan masyarakat Melayu/Islam, dengan dedikasi yang mendalam kepada Singapura dan rakyatnya, walaupun berdepan dengan cabaran.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Encik Masagos, masyarakat telah melihat kemajuan ketara dalam aspek sokongan sosial dan peningkatan kebolehpasaran penduduk Melayu/Islam.

“Adalah penting untuk kita mengiktiraf serta hargai komitmen dan ketekunannya yang tidak goyah meskipun berdepan dengan cabaran.

“Walaupun kita mungkin tidak selalu bersetuju dengan pendekatannya, kita tidak boleh menafikan impak transformasi yang telah dibawanya kepada rakyat Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam,” kata Encik Abdul Samad.

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, sepakat dengan pandangan Encik Abdul Samad, dan menyuarakan perkara serupa di samping menyifatkan Encik Masagos sebagai pemimpin berperanan besar dalam memperkukuh masyarakat, menyokong usaha kebajikan, bersandarkan visi berpandangan jauh.

“Saya telah bekerjasama dengan Menteri Masagos, jauh sebelum saya ceburi bidang politik.

“Hasil usahanya jelas di sekeliling kita dengan rangkaian keluarga yang lebih kukuh, hati yang bersatu, dan sebuah masyarakat yang dikasihi.

“Beliau tidak sekadar membina program, namun seseorang yang membina insan,” ujar Encik Zhulkarnain dalam hantarannya di Facebook.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Post (SingPost) Singapura, Encik Shahrin Abdol Salam, pula menghormati Encik Masagos sebagai pemimpin yang berpegang pada prinsip melakukan sesuatu demi kebaikan negara.

“Bukan mudah untuk mengimbangi kepelbagaian pandangan demi kebaikan masyarakat dan negara.

“Namun, itulah keupayaan yang memerlukan pemimpin yang jelas fikiran dan teguh matlamat,” katanya dalam hantaran Facebook.

Dalam satu video di laman media sosialnya pada 1 Mei, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata beliau telah melalui banyak cabaran sepanjang khidmatnya kepada masyarakat dengan bermacam pandangan berbeza daripada pelbagai pihak tentang pelbagai isu diutarakan.

Beliau akur tidak semua bersetuju dengan pandangannya.

Sebagai pemimpin, beliau menghargai segala maklum balas yang diterima, khususnya sepanjang tempoh berkempen, dan menyatakan tekad untuk memperbaiki kelemahan diri demi menjadi suara yang membawa kebaikan kepada semua.

Encik Masagos mula menceburi arena politik pada 2006 apabila dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines.

Beliau kemudian memegang beberapa jawatan lain dalam pelbagai kementerian termasuk Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Dalam GE2025, beliau kembali bertanding bagi GRC Tampines bersama pasukan PAP, yang terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng; dan dua muka baru PAP – iaitu mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo; dan Profesor Pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen.

Pasukan PAP di GRC Tampines berdepan dengan persaingan sengit empat penjuru, bersama Parti Pekerja (WP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg