Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Tampines telah bekerjasama rapat dengan penduduk dan mengambil kira idea mereka untuk membangunkan kawasan itu sehingga menjadi seperti hari ini, kata calon PAP di GRC Tampines, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Bercakap kepada wartawan pada 30 April, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, turut mengumumkan bahawa Encik Baey Yam Keng, akan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Bandaran Tampines jika beliau dipilih menjadi Anggota Parlimen (AP).
Selain itu, Encik Baey akan meneliti pembangunan di Tampines Boulevard.
Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berkata demikian ketika calon PAP di GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat bertemu penduduk di Blok 633, Tampines North Drive 2, Tampines GreenCourt.
Mengulas lanjut, beliau menjadikan pembangunan Our Tampines Hub (OTH) sebagai bukti kerjasama erat antara pasukan PAP dengan penduduk.
“Memang terdapat banyak hab di seluruh Singapura, tetapi saya rasa semua orang akan setuju bahawa hab yang paling meriah ialah Our Tampines Hub.
“Kejayaan ini bukan semata-mata kerana agensi-agensi datang dan cuba menyusun serta meletakkan pelbagai kemudahan di satu tempat, ia juga kerana kami mendengar pandangan penduduk,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa mereka cuba menerapkan keinginan penduduk walaupun selepas reka bentuk hab itu siap.
Antaranya ialah permintaan untuk pembinaan gelanggang boling di ruang bawah tanah walaupun ia tidak boleh digunakan untuk kejohanan.
Lawatan bertemu penduduk itu turut dihadiri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Selain Encik Masagos dan Encik Baey, pasukan GRC Tampines bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini dianggotai Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; dan dua muka baru PAP, Encik David Neo dan Dr Charlene Chen.
Calon SMC Tampines Changkat pula ialah Encik Desmond Choo.
Dalam pada itu, Encik Masagos turut berkongsi hasrat pasukannya ingin terus membangunkan Tampines sebagai bandar contoh, berlandaskan cirinya sebagai bandar eko.
Usaha itu akan diteruskan melalui kawasan yang sedang membangun iaitu Tampines Boulevard.
“Di tengah-tengah kawasan perumahan ini (Tampines Boulevard) terdapat Boulevard Garden, dan kawasan kejiranan ini masih dalam proses pembangunan.
“Sama seperti sebuah bandar contoh yang dibina oleh masyarakat yang prihatin, sebuah kawasan kejiranan contoh juga mesti dibina oleh penduduk yang saling mengambil berat antara satu sama lain,” ujarnya.
Beliau menambah, kawasan utara Tampines itu juga akan merangkumi pusat pertukaran bas, stesen MRT Laluan Rentas Pulau (CRL), dan sebuah masjid baru.
Encik Baey bakal meneliti pembangunan di Tampines Boulevard dan mengambil alih peranan Pengerusi Majlis Bandaran Tampines daripada Encik Choo, yang akan memberi tumpuan kepada SMC Tampines Changkat, kata Encik Masagos.
“Ini juga bermakna penduduk di sini berpeluang terlibat sama dalam proses membentuk dan menyepadukan pembangunan kemudahan-kemudahan ini ke dalam keseluruhan bandar Tampines, dan saya yakin Encik Baey Yam Keng akan menjalankan tugas ini dengan baik,” ujarnya.
Encik Baey, yang menerajui daerah Tampines North sejak GE2011, berkata beliau berbesar hati memanfaatkan pengalamannya sekiranya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Bandaran Tampines.
“Sepanjang 10 tahun lalu, saya telah mengambil alih sekitar tujuh projek BTO baru, kebanyakannya di kawasan Tampines Boulevard.
“Seperti di setiap pembangunan baru, pasti ada cabaran awal yang perlu ditangani, dan saya telah mengadakan mesyuarat pasukan petugas bersama agensi-agensi serta sesi dialog bersama penduduk untuk memahami dan menyelesaikan isu-isu tersebut.
“Saya berharap pengalaman saya dapat membantu dan menyambut penduduk baru untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Tampines,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg