Seruan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, agar rakyat Singapura berganding bahu menulis bab baru dalam lembaran sejarah negara boleh mendorong badan Melayu/Islam (MMO) bekerjasama dengan lebih erat bersama pemerintah dan pihak berkepentingan lain.
Kerjasama sedemikian adalah penting dalam usaha membina masyarakat yang yakin serta berdaya tahan, kata beberapa pemimpin masyarakat yang dihubungi Berita Harian (BH) pada 18 Ogos.
Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2025 pada 17 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio, Encik Wong berkata demi memastikan Singapura terus maju dalam dunia yang semakin mencabar, rakyat perlu membina masyarakat berdaya fikir “Kita Dahulu”.
Ini dengan mengukuhkan ikatan antara satu sama lain dan tidak hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain, berkata daya fikir tersebut adalah satu seruan agar setiap rakyat Singapura turut menyumbang secara positif demi kebaikan bersama.
“‘Kita Dahulu’ bermaksud membina masyarakat yakin dan berdaya tahan dan membimbing golongan belia untuk mencapai potensi sepenuhnya.
“Ia juga memperkukuh institusi keluarga agar terus maju, serta memperkasa masyarakat kita untuk menyumbang secara bermakna kepada masa depan Singapura.
“Dengan bekerjasama rapat bersama pemerintah serta agensi khidmat sosial lain atau MMO, kita dapat membina sebuah Singapura di mana setiap masyarakat berkembang dengan penuh keyakinan, dan setiap rakyat Singapura berpeluang menyumbang serta membawa perubahan,” ujar Encik Nassar.
Bersependapat, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, mengalu-alukan masyarakat berasaskan “Kita Dahulu”.
“Ini sememangnya sesuatu yang amat kami alu-alukan, khususnya sebagai golongan minoriti.
“Kami akan berasa lebih diperkasakan. Kami juga berasakan semangat kebersamaan yang lebih kukuh apabila mengetahui semua orang berada di samping kami.
“Kami tidak berada di sini untuk bermusuhan antara satu sama lain, bersaing sesama sendiri, atau tidak sependapat hanya sekadar untuk mengadakan pendapat berbeza,” kata Ustaz Tarmizi.
Justeru, beliau menambah, jika Singapura bersatu, sepakat dan mempunyai visi yang sama bagi masa depan, ia akan dapat mencapai keadaan yang menjanjikan pekerjaan dan pendidikan yang lebih baik, mencegah mudarat, dan menjaga warga emas.
Sementara itu, Presiden Muhammadiyah, Ustaz Azri Azman, berpendapat dengan memupuk semangat kekitaan dalam masyarakat, ia membolehkan masyarakat Melayu/Muslim melihat dirinya sebagai sebahagian daripada keluarga besar Singapura.
“Ia mendorong kita agar menyumbang bukan sahaja ke dalam masyarakat kita, bahkan ke luar, dengan menyokong rakyat Singapura lain tanpa mengira kaum atau agama.
“Pada masa yang sama, kita juga harus merasai kesusahan yang dialami oleh rakyat dan masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Gaza.
“Kita juga harus berdiri teguh sebagai rakyat Singapura yang prihatin dan berempati untuk memberikan apa jua sokongan yang mampu kita hulurkan kepada mereka,” kata Ustaz Azri.
Sementara itu, Encik Wong turut mengumumkan pemerintah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap rokok elektronik, atau vape, termasuk mengenakan hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi penjual vape yang bercampur dengan bahan berbahaya.
Menyokong tindakan tersebut ialah Presiden Kehormat, Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Encik Ameerali Abdeali.
Menurutnya, pertubuhan masyarakat dan agama mempunyai peranan penting dalam memastikan agar belia tidak menjadi mangsa ketagihan dadah.
Beliau menegaskan kepentingan pertubuhan Melayu/Islam sebagai ‘mata dan telinga’ untuk menangani cabaran seperti isu vape dalam kalangan anak muda dengan berani dan belas kasihan, kata Encik Ameerali.
Di samping itu, Encik Nassar, Ustaz Azri dan Ustaz Tarmizi berkongsi sentimen serupa dan berkata bahawa pendidikan dan pencegahan mesti bermula awal, di rumah, masjid, sekolah dan dalam kalangan belia.
Di luar penguatkuasaan, masjid, MMO dan pemimpin agama memainkan peranan penting untuk memupuk nilai, meningkatkan kesedaran dan membimbing belia agar membuat pilihan yang sihat dan berasaskan iman.
“
“Dengan bekerjasama rapat bersama pemerintah serta agensi khidmat sosial lain atau MMO (badan Melayu/Islam), kita dapat membina sebuah Singapura di mana setiap masyarakat berkembang dengan penuh keyakinan, dan setiap rakyat Singapura berpeluang menyumbang serta membawa perubahan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg