Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu besar hati main peranan dalam pembangunan S’pura

May 16, 2024 | 3:59 PM
Cik Rahayu Mahzam dan suaminya, Encik Muhamad Imaduddien Abd Karim, bergambar di depan Istana semasa menghadiri upacara angkat sumpah Kabinet baru pada 15 Mei.
Cik Rahayu Mahzam dan suaminya, Encik Muhamad Imaduddien Abd Karim, bergambar di depan Istana semasa menghadiri upacara angkat sumpah Kabinet baru pada 15 Mei. - Foto FACEBOOK/ RAHAYU MAHZAM

Banyak yang perlu dilakukan dalam pembangunan Singapura dan Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berbesar hati dapat memainkan peranan dalam melaksanakan tugas besar itu.

Beliau antara pemegang jawatan yang telah dinaikkan pangkat dalam Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Cik Rahayu mengangkat sumpah jawatan dalam upacara yang diadakan di Istana pada 15 Mei.

Semasa dihubungi Berita Harian, beliau, yang sebelum ini merupakan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), melahirkan rasa amat bersyukur diberi kepercayaan dan peluang selama ini untuk berkhidmat kepada negara.

“Ia merupakan satu keistimewaan untuk bekerja rapat dengan pemegang jawatan dan rakan sekerja dalam perkhidmatan awam. Banyak yang perlu dilakukan dalam pembangunan negara kita dan saya berbesar hati dapat memainkan peranan dalam melaksanakan tugas besar ini,” kata Cik Rahayu.

Beliau akan menggalas tanggungjawab baru dalam Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), yang bakal bertukar nama kepada Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) mulai 8 Julai.

Cik Rahayu akan terus berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan (MOH) tetapi akan melepaskan jawatannya dalam Kementerian Undang-Undang (MinLaw).

“Saya amat berterima kasih kepada rakan sekerja MinLaw atas bimbingan dan sokongan sedang saya membuat peralihan kepada MDDI,” katanya.

Ditanya apakah rancangannya apabila di MDDI, Cik Rahayu berkata beliau berharap dapat meneruskan tugas dalam ruang digital dan maklumat.

“Khususnya, saya berharap dapat melihat kesan ekosistem digital yang berkembang dan ruang media sosial terhadap masyarakat kita, terutamanya kepada golongan muda,” ujarnya.

Dalam sidang media untuk mengumumkan barisan Kabinet barunya pada 13 Mei, Encik Wong berkata Cik Rahayu telah menjalankan tugasnya sebagai Setiausaha Parlimen Kanan dengan sangat baik.

“Saya fikir Rahayu telah menjalankan tugasnya sebagai Setiausaha Parlimen Kanan dengan sangat baik – jika anda lihat peranan yang telah diberikan kepadanya dalam MinLaw, MOH, beliau telah melaksanakan tugas-tugasnya dengan bersemangat dan bertenaga, menjayakan projek-projek dengan sangat baik.

“Di Parlimen juga beliau berkebolehan apabila beliau membentangkan perundangan, menjawab soalan. Di dalam masyarakat, beliau juga sangat efektif dalam mendekati orang ramai.

“Jadi dengan semua ini, kami rasa beliau sesuai dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara,” ujar beliau ketika itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg