Ucapan tahniah untuk Perdana Menteri baru Singapura, Encik Lawrence Wong, mencurah-curah sepanjang malam pada 15 Mei daripada tetamu yang hadir di Istana.
Lebih 870 tetamu dari semua lapisan masyarakat Singapura hadir di Istana malam itu untuk menyaksikan majlis angkat sumpah Encik Wong sebagai Perdana Menteri keempat Singapura, bersama Kabinet barunya.
Selain duta dan Anggota Parlimen, turut hadir ialah pelajar, pemimpin agama, petugas barisan hadapan dan sukarelawan masyarakat.
Antaranya ialah Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat A. Rahman. Bercakap kepada akhbar The Straits Times (ST), Encik Saat berkata beliau terharu dengan usaha Encik Wong memperbaiki bahasa Melayu agar dapat mendekati masyarakat Melayu dengan lebih baik.
“Saya dapati bahasa Melayu (PM Wong) telah bertambah baik. Seperti PM Lee (Hsien Loong), beliau juga boleh bertutur dalam tiga bahasa. Saya juga faham beliau telah cuba memperbaiki bahasa Melayunya, jadi saya fikir ini menunjukkan beliau ingin mendekati masyarakat dengan lebih baik.
“Beliau tidak asing dengan isu masyarakat Melayu/Islam. Beliau memang memahami cabaran dan aspirasi masyarakat sejak beliau bertugas sebagai setiausaha peribadi PM Lee dahulu.
“Setelah beliau menceburi bidang politik dan menjadi Menteri Pembangunan Negara, beliau melaksanakan Skim Perumahan Permulaan Baru yang memberi manfaat kepada ramai keluarga Melayu,” kata Encik Saat.
Seorang lagi tetamu di Istana, Cik Nurlaila Maidin, jururawat klinik daripada Hospital Masyarakat Sengkang, berkata PM Wong memberi ucapan yang sangat jujur, ikhlas dan penuh harapan.
“Saya percaya beliau dan pasukannya dapat membantu Singapura menangani cabaran yang mendatang dan menangani keperluan warga Singapura. Saya berasa optimis tentang masa depan Singapura.
“Beliau amat prihatin tentang kesihatan mental. Terutama dalam dunia yang sangat mencabar bagi belia hari ini, dengan beliau terlibat dalam (usaha meningkatkan) kesihatan mental, ia akan banyak membantu belia kita,” kata Cik Nurlaila.
Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, menerusi satu catatan di Facebook pada 16 Mei, berkata bahawa Singapura yang Encik Wong akan pimpin sangat berbeza daripada yang dipimpin Encik Lee 20 tahun lalu.
Namun, ia tidak kurang cabarannya buat Encik Wong.
“PM Lawrence Wong semalam berkata beliau mahu kekal mendekati dan mendengar suara rakyat. Itu permulaan yang baik untuk mana-mana pemimpin.
“Beliau mempunyai sifat rendah hati tertentu dan mendengar dengan baik – sifat-sifat yang akan membuat beliau berada dalam kedudukan yang baik apabila memimpin Singapura, dengan warga di belakangnya,” kata Puan Halimah.
Dewan perniagaan Melayu dan India juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PM Wong menerusi surat penghargaan pada 15 Mei.
Dalam suratnya, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abu Bakar Mohd Nor, mengimbas kembali sokongan Encik Wong terhadap masyarakat perniagaan Melayu, sebagai pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19.
Dana Bantuan Sementara, sebagai contoh, adalah penting dalam menyokong perniagaan dari rumah yang “mempunyai peranan penting dalam fabrik ekonomi masyarakat kita”, katanya.
“Kepimpinan anda sebagai Perdana Menteri datang di tengah-tengah cabaran penting dalam persekitaran serantau dan global kita.
“Kami mengalu-alukan sokongan berterusan anda demi kepentingan perniagaan di Singapura,” kata Encik Abu Bakar.
Anggota Parlimen Dilantik dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perusahaan India Singapura (SICCI), Encik Neil Parekh, berkata perhubungan perniagaan di Singapura bertuah kerana mempunyai pemerintah yang saling berunding, diketuai Encik Wong.
Beliau berkata peranan Encik Wong sebagai Perdana Menteri penting dalam memastikan kepentingan masyarakat perniagaan diberi perhatian semasa penggubalan dasar, terutama semasa musim Belanjawan.
“SICCI, sebagai contoh, telah mengemukakan kebimbangan mengenai peningkatan kos dalam pengurusan perniagaan di Singapura yang telah mendapat liputan secukupnya semasa Belanjawan 2024. Pelbagai inisiatif yang dicadangkan telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat perniagaan.
“Pemimpin perniagaan dari pelbagai dewan perniagaan dan persatuan perdagangan, termasuk SICCI, amat menghargai penglibatan peribadi anda. Kesediaan anda untuk mendengar kebimbangan kami sebelum dan selepas setiap sesi Belanjawan tidak ternilai,” kata Encik Parekh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg