Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, dilihat mengagihkan limau kepada peniaga dan pengunjung di Pusat Makanan dan Pasar West Coast pada pagi 18 Januari menjelang Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
Beliau ditemani dua lagi anggota PSP iaitu Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa, yang juga Setiausaha Agung PSP, serta beberapa relawan parti.
Kumpulan itu turut ditemani maskot Dewa Kekayaan yang mengagihkan coklat ‘wang syiling emas’ kepada orang ramai.
Semasa lawatan itu, Dr Tan, Cik Poa dan Encik Leong bersalaman dan bertanya khabar dengan pegerai dan pengunjung serta mengambil gambar dengan mereka.
Lawatan PSP di West Coast itu menyusuli lawatan mereka di Keat Hong pada 12 Januari di mana Dr Tan berkata partinya mahu bertanding secara bersih dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau juga berkata pihaknya tidak mahu menggunakan taktik yang tidak sepatutnya dilakukan di Singapura.
Beliau turut menyeru agar parti “tidak terlibat dalam sebarang jenis kekasaran atau tingkah laku lain yang tidak wajar”.
Dr Tan berkata demikian dengan merujuk kepada insiden yang berlaku antara sukarelawan PSP dengan sukarelawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) semasa satu lawatan di Bukit Gombak di GRC Chua Chu Kang pada 4 Januari.
Dalam kejadian itu, PAP dan PSP saling mendakwa diganggu semasa lawatan temui penduduk di Chua Chu Kang tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg