Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tan Cheng Bock: Kami mahu tanding secara bersih

Jan 12, 2025 | 3:16 PM
Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock (bertopi), dan anggota serta sukarelawan lain parti itu beramah tamah dengan penduduk semasa lawatan mereka di Keat Hong pada 12 Januari.
Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock (bertopi), dan anggota serta sukarelawan lain parti itu beramah tamah dengan penduduk semasa lawatan mereka di Keat Hong pada 12 Januari. - Foto ST

Parti Kemajuan Singapura (PSP) mahu bertanding secara bersih dalam pilihan raya umum akan datang, kata pengerusi parti itu, Dr Tan Cheng Bock.

Ditemui media selepas mengadakan lawatan di Keat Hong pada 12 Januari, beliau berkata: “Kami tidak mahu menggunakan taktik yang tidak sepatutnya dilakukan di Singapura.

“Janganlah kita terlibat dalam sebarang jenis kekasaran atau tingkah laku lain yang tidak wajar.”

Dr Tan berkata demikian apabila merujuk kepada insiden antara sukarelawan PSP dengan sukarelawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) semasa satu lawatan di Bukit Gombak di GRC Chua Chu Kang pada 4 Januari, lapor The Straits Times.

Setiap parti itu telah saling mendakwa diganggu dan memberikan kisah peristiwa yang berbeza tentang apa yang berlaku.

Dalam catatan media sosial pada minggu berikutnya, Dr Tan dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Cik Low Yen Ling, berkata keganasan tidak boleh diterima semasa kegiatan politik di Singapura.

Laporan polis telah dibuat seorang sukarelawan PSP dan siasatan sedang dijalankan.

Setiausaha Agung PSP, Cik Hazel Poa, pada 12 Januari mengesahkan bahawa polis telah menghubungi partinya mengenai kejadian itu.

Semasa lawatan ke Keat Hong itu, Dr Tan dan pemimpin serta sukarelawan PSP lain berjalan di sekitar Pusat Makanan dan Pasar Keat Hong, sambil berinteraksi dengan penduduk dan memberikan risalah PSP, The Palm.

Ketika ditanya sama ada ada penduduk yang bertanya kepadanya mengenai kejadian itu, Dr Tan berkata: “Setakat ini, tidak.”

Adalah penting bahawa parti itu berkelakuan secara berbudi bahasa, tambahnya.

Beliau berkata: “Saya harap semua orang saya di sini berkelakuan baik... Jadi saya fikir berkaitan kejadian ini, biarkan polis menyiasat dan menjelaskan perkara itu.”

Pada 10 Januari, Dr Tan berkata dalam satu catatan Facebook bahawa PSP tidak menerima keganasan dan akan mengambil tindakan disiplin jika mana-mana sukarelawannya bertindak agresif, tetapi akan melawan dakwaan jika mereka dituduh secara palsu.

Dalam respons di Facebook pada 10 Januari, Cik Low, yang juga Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) berkata beliau bersetuju dengan Dr Tan bahawa tidak harus ada sebarang keganasan semasa sedang terlibat dalam kegiatan politik, sambil menambah bahawa partinya akan menyerahkan perkara itu kepada polis.

Beliau sebelum ini berkata antara lain seorang sukarelawan PAP telah ditampar dua kali oleh sukarelawan PSP semasa kejadian itu.

PSP telah mempertikaikan versi peristiwa yang dikongsi Cik Low, dan pemimpin parti itu telah berkata sukarelawan tersebut menafikan sebarang penggunaan keganasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg