Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin S’pura puji semangat, keazaman atlet negara di Sukan SEA 2025

Dec 21, 2025 | 7:00 PM
Pemimpin Singapura mengucapkan tahniah dan memuji semangat kesukanan atlet negara selepas Sukan SEA 2025 melabuhkan tirainya pada 20 Disember, dengan Singapura mencatatkan kempen ketiga terbaik di Sukan SEA luar negara dengan meraih 202 pingat – 52 emas, 61 perak dan 89 gangsa.
Pemimpin Singapura mengucapkan tahniah dan memuji semangat kesukanan atlet negara selepas Sukan SEA 2025 melabuhkan tirainya pada 20 Disember, dengan Singapura mencatatkan kempen ketiga terbaik di Sukan SEA luar negara dengan meraih 202 pingat – 52 emas, 61 perak dan 89 gangsa. - Foto SNOC

Pemimpin Singapura merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada atlet negara atas prestasi membanggakan sepanjang Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Thailand dari 9 hingga 20 Disember.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memuji usaha, ketabahan serta pencapaian bersejarah atlet negara, khususnya golongan muda yang tampil buat kali pertama di pentas Sukan SEA.

Antaranya ialah atlet karate, Marissa Hafezan, yang mengukir sejarah selepas beliau meraih pingat emas pertama Singapura sejak 1993 dalam acara Kumite 55 kilogram (kg) wanita.

Encik Wong juga mengucapkan tahniah kepada atlet 400 meter lumba lompat pagar, Calvin Quek, 29 tahun, dan atlet terjun cantik, Avvir Tham, 21 tahun, yang turut memenangi pingat emas Singapura buat kali pertama dalam 60 tahun bagi acara masing-masing.

“Kepada setiap atlet, jurulatih dan pegawai sokongan, kami berasa bangga dengan anda semua.

“Terima kasih kerana mewakili Singapura dan mengibarkan bendera negara dengan ketabahan, kekuatan dan semangat yang tinggi,” tulisnya dalam satu catatan di Facebook pada 21 Disember.

Presiden Tharman Shanmugaratnam menekankan bahawa yang menonjol dalam penampilan Kontinjen Singapura bukan sahaja atlet individu yang cemerlang, tetapi juga pasukan yang luar biasa.

“Ini seperti pasukan polo air lelaki kita yang muda, dan ramai daripada mereka merupakan peserta sulung, yang berjaya menewaskan Indonesia.

“Atau pasukan lawan pedang kita yang akhirnya muncul sebagai juara dalam kedua-dua acara berpasukan lelaki dan wanita bagi acara foil dan epee,” katanya dalam satu catatan Facebook pada 20 Disember.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, turut menzahirkan rasa bangga terhadap keseluruhan kontinjen Singapura yang terdiri daripada 926 atlet, dengan lebih separuh daripadanya merupakan peserta yang membuat penampilan sulung mereka.

Dalam satu catatan Facebook pada 21 Disember, Encik Lee menghargai kesungguhan dan keazaman atlet negara yang telah membantu Singapura meraih 202 pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA ini.

“Lebih penting, saya berharap pasukan atlet kita memperoleh pengalaman hidup berharga yang akan menyemarakkan impian dan minat mereka,” ujar Encik Lee.

Sementara itu, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, berkata beliau bangga dengan prestasi atlet muda yang menyumbang separuh daripada perolehan pingat negara.

“Prestasi mereka meletakkan kita dalam kedudukan yang baik untuk temasya masa depan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada jurulatih dan pasukan sokongan dalam satu catatan Facebook pada 21 Disember.

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dalam satu catatan Facebook pada 20 Disember, memuji ketahanan mental dan keazaman atlet negara sepanjang temasya berlangsung.

“Daripada pertarungan sengit hingga kejayaan peribadi, atlet kita menunjukkan semangat dan ketahanan luar biasa sepanjang temasya ini,” kongsinya.

Di samping itu, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong, berkata temasya kali ini sarat dengan detik istimewa dan kisah inspirasi yang mencerminkan semangat kesukanan tinggi atlet Singapura.

“Di atas segala-galanya, semangat kesukanan yang tidak pernah luntur inilah yang paling mengujakan,” ujarnya dalam catatan Facebooknya pada 19 Disember.

Sukan SEA ke-33 melabuhkan tirainya pada 20 Disember, dengan Singapura mencatatkan kempen ketiga terbaik di Sukan SEA luar negara dengan meraih 202 pingat – 52 emas, 61 perak dan 89 gangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg