Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin S’pura sampaikan takziah atas pemergian Ratu Sirikit

Ratu Thailand diingati atas jasa pelihara warisan kraf tangan, kebajikan wanita, kanak-kanak
Oct 27, 2025 | 2:49 PM
King Chulalongkorn Memorial Hospital, Sirikit
Pada 25 Oktober, wanita Thailand berkabung di Hospital King Chulalongkorn Memorial di Bangkok sambil memegang gambar Ratu Sirikit selepas pengumuman pemergiannya. - Foto EPA

Ratu Sirikit dari Thailand mangkat pada 24 Oktober pada usia 93 tahun.

Beliau menjalani kehidupan luar biasa dan yang memberi inspirasi, serta sentiasa menjadi pendamping mahupun penyokong setia kepada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Dalam surat yang dikirim kepada Raja Thailand Maha Vajiralongkorn, pada 26 Oktober, Encik Tharman berkata inisiatif mendiang permaisuri telah memperkenalkan keindahan tekstil dan budaya Thailand kepada dunia, serta memelihara warisan kraf tangan tempatan.

Usahanya juga telah meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan memperbaiki kesihatan wanita dan kanak-kanak.

“Usaha-usaha ini membawa manfaat besar kepada negara,” ujarnya.

Menyampaikan ucapan takziah bagi pihak rakyat Singapura, Encik Tharman menambah bahawa mendiang akan sentiasa dikenang atas jasanya terhadap kebajikan rakyat Thailand.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam surat kepada rakan sejawatnya di Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, turut berkata Ratu Sirikit amat disayangi dan dihormati rakyat Thailand.

Beliau menambah bahawa mendiang menjalankan tugas diraja dengan penuh kelembutan dan menjadi kekuatan serta pendamping teguh mendiang Raja Bhumibol sepanjang pemerintahannya.

Encik Wong menjelaskan bahawa dedikasi mendiang terhadap pembangunan mampan, kebajikan wanita dan kanak-kanak, serta usaha memelihara seni kraf tradisional mencerminkan kebijaksanaan serta wawasannya.

“Jasa dan sumbangan beliau akan terus memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat Thailand pada masa depan,” kata Encik Wong.

Beliau menambah bahawa pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar, malah akan dirindui ramai.

“Saya mengucapkan takziah kepada rakyat Thailand pada saat dukacita ini,” katanya.

Putera tunggal mendiang, kini Raja Maha Vajiralongkorn, yang juga dikenali sebagai Rama X, menaiki takhta selepas kemangkatan Raja Bhumibol pada 2016.

Setelah Rama X ditabalkan pada 2019, gelaran rasmi beliau menjadi Ratu.

Dalam surat kepada rakan sejawatnya di Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menyatakan mendiang permaisuri akan sentiasa dikenang atas kasih sayang, kemurahan hati dan pengabadiannya kepada rakyat Thailand.

“Beliau memang dianggap sewajarnya oleh rakyat Thailand sebagai Ibu Negara,” tambahnya.

Dr Balakrishnan berkata Ratu Sirikit telah menyokong mendiang Raja Bhumibol dalam pelbagai misi diraja di seluruh negara mahupun di luar negara, yang membawa pembangunan serta peningkatan dalam mutu hidup rakyat Thailand.

Pasangan diraja itu bersama-sama melancarkan lebih 4,000 projek pembangunan diraja yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat, tambahnya.

Ratu Sirikit turut menumpukan hidupnya kepada kerja-kerja kebajikan dan mengetuai Persatuan Palang Merah Thailand sejak 1956, katanya.

“Beliau meninggalkan kesan mendalam ke atas masyarakat Thailand melalui peranannya membantu memupuk kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati negara hari ini,” jelas Dr Balakrishnan.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah, dan menyifatkan kemangkatan baginda sebagai kehilangan besar yang akan dirasai ramai orang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg